Tijah The Series Episode Terakhir (13) - TIJAZ sah bersatu

Pagi Sabtu yang indah. Tijah baru selesai menunaikan solat sunat Dhuha. Kurang tiga minggu lagi dengan izinNya, Tijah bakal diijabkabulkan dengan Azlan. Tijah memohon agar majlis pernikahan itu nanti berjalan dengan mudah tanpa sebarang gangguan.

Majlis pertunangan telah selamat diadakan dalam kadar yang sederhana lebih dua bulan sudah. Kedua-dua pihak telah setuju yang tempoh pertunangan dalam masa tiga bulan sahaja. Tijah belek cincin tunangnya yang terukir TIJAZ sambil tersenyum sendirian. Tijah terkenang di saat cincin itu disarung ke jari manisnya oleh Mak Yam. Pelukan Mak Yam selepas itu Tijah rasakan ada seribu erti. Kemudian, emak Tijah pula berpelukan dengan Mak Yam tanda syukur yang hubungan kejiranan ini telah diikat kemas dengan penyatuan dua hati oleh anak masing-masing. Haji Kasmin dan Hajjah Bedah sebagai orang kuat dan kepercayaan Mak Som tersenyum gembira. Sempat juga Azlan memecut pulang ke kampung petang itu walaupun pada awalnya dia tidak dapat pulang kerana jadual latihan yang ketat. Dengan baju biru laut sedondon, Tijah dan Azlan bergambar kenangan untuk dimuatnaik ke akaun Facebook mereka, buat tatapan rakan-rakan mereka nanti.

Tijah tanggalkan telekung dan menggantungnya baik-baik. Pukul 11 pagi nanti Tijah akan bergerak ke kampungnya untuk berjumpa dan berbincang dengan tauke butik pembuat pelamin merangkap jurusolek pengantinnya nanti. Hari ini juga Azlan ada perlumbaan motosikal Malaysian Super Series di Sepang dan ianya adalah perlumbaan pertama Azlan dalam kategori 'Superbikes”. Tijah sudah maklumkan pada Azlan yang Tijah akan uruskan semua hal ini agar tumpuan persiapan Azlan untuk perlumbaan pertama kategori Superbikes tidak terganggu. Bangga sungguh Azlan dengan sokongan Tijah yang tidak berbelah bahagi. Sempat juga Tijah berpesan pada Azlan agar berhati-hati supaya tiada kemalangan berlaku di trek nanti. Bimbang juga Tijah kalau-kalau ada kemalangan berlaku ketika perlumbaan, di kala majlis perkahwinan bakal berlangsung kurang tiga minggu lagi. Azlan pula sambil berseloroh mengatakan dia juga bimbang kalau-kalau malam pertama mereka berdua nanti bermula dengan keadaan kaki atau tangan Azlan bersimen, rugi benar rasanya.

“Insyallah, Jah. Harap-harap tak berlaku la semua tu,” Azlan cuba menyedapkan hati Tijah kertika mereka berbual di telefon malam tadi.

Sebelum Tijah meninggalkan rumah, Tijah sempat pandang ke rumah jirannya yang berbangsa Cina itu. Sejak kes malam itu, Tijah jarang sekali melihat jirannya. Keretanya pun sudah tidak kelihatan di ruang letak kereta. Mungkin sudah pindah, fikir Tijah. Sambil menuruni anak tangga, Tijah terfikir juga bagaimana rumahtangga Lelaki Tingkat Dua sekarang selepas kejadian itu. Selepas kejadian malam itu, Lelaki Tingkat Dua jarang sekali berbual dengannya. Menurut Azlan, Lelaki Tingkat Dua juga sudah tidak lagi menyebut tentang hal itu kepadanya. Lelaki Tingkat Dua sekadar mengucapkan terima kasih kepada Azlan kerana menjadi saksi pada kejadian itu dan memaklumkan yang keadaan adalah terkawal. Tijah anggap kejadian malam itu sebagai pelajaran bermakna padanya. Dugaan berumahtangga amat besar. Kedua-dua suami dan isteri mesti bijak memainkan peranan agar tidak mudah hanyut dengan godaan nafsu. Sambil memandu di lebuhraya, Tijah berdoa agar dijauhkan segala dugaan besar apabila berumahtangga kelak. Tijah yakin, Azlan seorang yang mudah dibawa berbincang dan berharap sifat itu akan kekal di dalam diri Azlan agar segala masalah rumahtangga dapat diselesaikan dengan baik.

*****************************


Tijah mencuba kebaya songket biru muda dan melihat-lihat dirinya di cermin. Tijah rasa dirinya sungguh istimewa dengan berpakaian sebegitu. Tidak dapat Tijah bayangkan Azlan yang berbaju melayu songket siap bertanjak di sebelahnya sedang bersanding. Pembantu mak andam si lelaki lembut membetul-betulkan kedudukan kebaya songket di tubuh Tijah. Ada bahagian pada kebaya songket itu yang perlu dipinkan mengikut bentuk tubuh Tijah yang semakin ramping itu. Kemudian Tijah belek baju melayu songket untuk dipakai Azlan nanti. Tijah mengukur seluar songket itu dan memaklumkan pada lelaki lembut itu, dengan ketinggian Azlan 5 kaki 7 inci itu, kaki seluar itu perlu dibuka jahitannya agar tidak kelihatan tergantung bila dipakai Azlan nanti.

Mak Som memerhatikan anaknya dengan rasa sayu dihati. Anak tunggalnya bakal menjadi isteri orang dan akan melangkah ke alam baru. Ada kalanya Mak Som rasa bimbang bolehkah Tijah yang manja itu melayari bahtera perkahwinan nanti. Mak Som berdoa dan berharap Azlan tidak akan mensia-siakan hidup anaknya. Mak Som juga mendoakan agar perkahwinan Tijah dan Azlan dirahmatiNya dan sentiasa dilindungi dari sebarang gangguan orang ketiga.

Tijah membayar wang deposit kepada tauke butik pakaian pengantin untuk pembayaran pakej persandingannya nanti. Satu hal sudah selesai, kata hati Tijah. Selepas ini, Tijah akan membawa Mak Som ke rumah Ecik Hassan, tauke penyedia makanan untuk urusan memilih lauk pauk pula. Setelah selesai hal dengan En Hassan, Tijah dan emaknya akan ke rumah saudara mara untuk menjemput sambil mengedar kad jemputan kahwinnya pula. Dua hari di hujung minggu ini Tijah khaskan untuk urusan menjemput saudara mara terdekat.

Dalam kesibukan itu. hatinya tersentuh bila emaknya menyebut nama Hajjah Maimunah. Tijah lantas terkenangkan Faizul. Tentu dia bahagia diulit mimpi indah siang dan malam di samping Datin M. Mak Som seikhlas hati hendak menjemput Hajjah Maimunah. Menurut kata Mak Som, sejak majlis pinangan yang tak diundang itu ditolak, Hajjah Maimunah jarang kelihatan di masjid di kampungnya mahupun di kampung Tijah. Ada juga Mak Som menghubungi Hajjah Maimunah bertanyakan khabar namun Hajjah Maimunah macam hendak tak hendak saja berbual dengannya lagi. Mungkin rajuknya belum hilang, pujuk Tijah kepada Mak Som. Jauh di dalam hati Tijah dia amat berharap agar perkara itu tidak menjadi dendam pada keluarga Hajjah Maimunah. Tijah juga tidak menduga yang kesannya masih terasa hingga ke waktu itu biarpun bukan salahnya atau emaknya. Tijah pujuk dirinya sendiri agar tidak sentimental dengan perkara itu dan bertawakal dengan kehendakNya.

*************************************


Tijah memeriksa 'checklist'nya buat kali ketiga pada hari itu. Kini ada lagi lima hari lagi untuk Tijah melangkah ke alam baru. Sambil memeriksa 'checklist' itu, Tijah teringat akan satu SMS yang diterimanya pagi tadi. SMS yang diterima dari nombor yang tidak dikenali itu sekadar mengucapkan tahniah tanpa memperkenalkan dirinya. Kenapa pula penghantar SMS ini terlebih dahulu mengucapkan tahniah melalui SMS sedangkan seingat Tijah semua kawan-kawannya Tijah jemput secara peribadai dengan panggilan telefon dan disusuli dengan penghantaran kad jemputan. Jadi, ucapan tahniah sudah tentu secara spontan pada saat dia menghubungi rakan-rakannya. Tak kuasa nak menghabiskan kreditnya, tidak pula Tijah hendak membalas SMS itu. Di saat-saat begini fikir Tijah, kredit 10 sen pun amat berharga kerana ada banyak panggilan dan SMS hendak dibuat.

Esok juga adalah hari terakhir Tijah bekerja sebelum Tijah bercuti panjang untuk majlis perkahwinannya. Lelaki Tingkat Dua sudah Tijah jemput secara peribadi. Begitu juga dengan rakan-rakan sekerjanya. Ada yang sedang berbincang hendak berkonvoi kereta untuk ke kampung Tijah nanti. Azlan juga bukanlah asing pada rakan-rakan sepejabat Tijah dan kerana itu juga mereka semua bercadang dan beria-ia hendak meraikan Tijah dan Azlan sebagai raja sehari.

Jam tepat lima petang dan Tijah bersiap-siap hendak balik. Azlan sudah menunggunya di tempat letak kereta. Mereka berdua nak keluar membeli sedikit lagi barang untuk dibuat hantaran. Tersengih-sengih Azlan tatkala melihat permaisurinya berlenggang lenggok berjalan ke arahnya. Di kala itu Lelaki Tingkat Dua juga baru saja memandu masuk ke tempat letak kereta. Lain sungguh wajah Lelaki Tingkat Dua pada petang itu.

Sebaik Lelaki Tingkat Dua keluar dari kereta, Azlan menghampirinya dan bertanya khabar. Seingat Azlan sudah hampir dua minggu mereka tidak berjumpa baik sebagai ahli pasukan Team K-Plus mahupun sebagai bakal rakan kongsi.

“Azlan, saya ada hal nak bagi tahu,” Lelaki Tingkat Dua memulakan bicara sebaik menyambut salam Azlan. Berdebar-debar pula dada Azlan hal apakah yang hendak Lelaki Tingkat Dua ini maklumkan. Tijah yang berada di sebelah Azlan juga turut berdebar-debar dan saling berpandangan dengan Azlan. Raut wajah Lelaki Tingkat Dua juga sedikit sugul ketika berbicara.

“Firstly, Mr K dalam keadaan tenat sekarang dan dimasukkan semula ke hospital tadi,” dengan wajah sugul beliau memaklumkan keadaan kesihatan Pak Ciknya. Terkejut juga Tijah kerana baru minggu lepas dia dan Azlan menziarahi Mr K di rumahnya sambil mengedarkan kad jemputan perkahwinan mereka. Menurut Lelaki Tingkat Dua, ada jangkitan kuman pada salur darah Mr K dan kuman itu sudah menjangkiti saluran jantungya pula. Namun, di hati Tijah, 'firstly' yang diungkaplan oleh Lelaki Tingkat Dua tadi membawa maksud ada lebih dari satu berita yang hendak disampaikan. Tijah ternanti-nanti apakah 'secondly' yang bakal dimaklumkan oleh Lelaki Tingkat Dua.

“Secondly..” Lelaki Tingkat Dua menyambung. Dada Tijah semakin berdebar. Azlan mengerutkan dahinya, tanda musykil.

Sambil memandang wajah Azlan dan Tijah, Lelaki Tingkat Dua menyambung lagi percakapannya.
“Secondly, saya nak maklumkan yang saya dah bercerai dengan isteri saya,” tenang bicaranya memaklumkan status rumahtangganya.

Terkedu Tijah mendengar berita kedua itu. Azlan tepuk bahu Lelaki Tingkat Dua dan menyuruhnya bersabar dengan dugaan itu.

“Encik Azam, I ingatkan you dah selesaikan dengan baik hal ni?” tanya Tijah yang sukar mempercayai akan hal itu. Tijah fikir Lelaki Tingkat Dua mampu membaikpulih hubungannya kembali dengan isterinya.
“Ya Tijah. I pun fikir begitu tapi kaunseling pun tidak membantu. Jadi I rasa itu yang terbaik buat ketika ini. Kalau ada jodoh, kami rujuk,” jawab Lelaki Tingkat Dua.

Tijah semakin takut. Tijah semakin takut dengan hal cerai berai di saat dia hendak melayari bahtera perkahwinan beberapa hari lagi. Tijah bertambah gentar dengan kemampuannya. Mampukah aku melayari bahtera ini dengan Azlan jika ada ujian yang hebat sebegini, tanya hati Tijah.

“Tijah bila awak mula bercuti?” soalan Lelaki Tingkat Dua memecah lamunan Tijah.
“Rabu, Encik Azam,” balas Tijah.
“Encik Azam, saya harap Encik Azam dapat datang ye ke majlis perkahwinan kami,” Azlan mengingatkan Lelaki Tingkat Dua.
Oh, ya sudah tentu. Kalau tiada aral Insyallah saya sampai,” balasnya lagi.

Lelaki Tingkat Dua memohon diri untuk naik ke pejabatnya dahulu. Azlan mengekori Tijah ke keretanya sambil mengenang kembali kisah rumahtangga Lelaki Tingkat Dua. Azlan juga turut bimbang kalau dia gagal menjadi ketua keluarga dan gagal membahagiakan Tijah. Azlan bimbang juga jika ada gangguan orang ketiga di dalam rumahtangganya nanti. Sambil memasang tali pinggang keledar, Azlan tanamkan dalam hatinya azam menjadi seorang suami yan baik dan akan cuba membahagiakan permaisuri hatinya.


********************************


Pagi Jumaat itu rumah Tijah sudah mula riuh dengan kehadiran jiran tetangga serta saudara maranya yang tinggal berhampiran. Ahli kariah masjid di kampung Tijah sedang sibuk menyediakan bahan-bahan untuk dijadikan juadah majlis pernikahan malam nanti. Si lelaki lembut dari butik pakaian pengantin sedang sibuk memasang pelamin yang berlatarbelakangkan warna dari kain putih dan merah. Pelamin putih dan merah itu melambangkan putih dan suci cinta Tijah dan Azlan manakala merah melambangkan cinta mereka yang membara dan berani menghadapi segala dugaan kelak.

Tijah di dalam bilik, dibantu oleh sepupunya sedang dipakaikan inai di kedua-dua tangan dan kakinya. Bilik tidurnya sudah siap dihias juga berlatarbelakangkan putih dan merah. Hiruk pikuk suasana di bilik pengantin dengan gelak ketawa tiga sepupu itu. Ketawa besar Tijah bila sepupunya mengusik tentang malam pertamanya nanti.

Mak Som sedang sibuk memastikan semua bahan-bahan yang hendak dimasak malam itu mencukupi. Sesekali, Mak Som menjenguk ke bilik Tijah untuk melihat-lihat persediaan si pengantin.

Azlan yang berada di rumah, sudah tidak senang duduk. Sekejap-sekejap dia duduk di luar berbual dengan beberapa orang tua kampung. Sekejap-sekejap dia masuk ke rumah untuk berehat pula. Serba tak kena dirasakan oleh Azlan sementara menunggu malam menjelang tiba. Malam nanti majlis akad nikah berlangsung dan Azlan berdebar-debar menanati saat itu. Sebentar lagi Azlan akan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Jumaat dan berharap debarannya akan berkurangan selepas solat nanti.

Sesekali dia jeling ke arah rumah sebelah melihat-lihat kalau Tijah ada di balik tingkap. Tadi Tijah ada hantar SMS memberitahu yang dia sedang dipakaikan inai. Mungkin belum habis lagi agaknya, fikir Azlan. Mak Yam yang dari tadi sibuk membantu menyiapkan barang hantaran, sekadar memerhati kerenah anak bujangnya yang bakal menjadi suami orang. Mak Yam membisikkan sesuatu pada anak saudaranya yang juga sepupu Azlan untuk meredakan kegelisahan Azlan. Sepupunya lantas bangun dan menghampiri Azlan mengajaknya ke luar. Mak Yam faham, Azlan ketika ini memerlukan seorang saudara lelaki untuk berbual-bual sambil megurangkan rasa gelisah dan debaran raja sehari. Mak Yam sekadar memerhati dari dalam rumah dan tersenyum melihat Azlan sudah mula berketawa bila sepupu lelakinya memulakan bicara orang lelaki.


*********************************


'Sah?” tanya Tok Kadi pada para saksi sebaik Azlan melafazkan akad nikahnya.
“Sah..!” jawab saksi-saksi berhampiran.
“Alhamdulillah,” balas Tok Kadi. Tidak semena-mena ada titisan airmata gugur dari mata Azlan sebaik saja disahkan menjadi suami kepada Tijah. Sambil menadahkan tangannya dan mengaminkan doa Tok Kadi, dalam hati Azlan tidak henti-henti melafazkan syukurnya kehadarat Illahi.

Tijah sebaik mengetahui yang segalanya sudah selamat di luar, terus mengalirkan airmata syukurnya kerana kini sudah sah menjadi Puan Khatijah, isteri kepada Azlan Amin. Terpacul wajah Mak Som di muka pintu sambil tersenyum dan menunjukkan ibujarinya tanda bagus. Tergelak Tijah dengan kerenah emaknya. Sepupu-sepupu Tijah yang lain menghampiri dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Lelaki lembut yang ditugaskan menyolekkan Tijah memberi isyarat kepada Tijah untuk keluar dari bilik bagi acara menyarung cincin. Di luar ada disediakan pelamin kecil untuk acara tersebut.

Tijah duduk bersimpuh di pelamin kecil itu dan melihat ke arah Azlan. Dengan berbaju melayu cekak musang satin putih itu Tijah lihat Azlan sungguh kacak dan berseri. Tersenyum lebar Azlan menghampiri Tijah sambil diiringi emak serta emak saudaranya. Dalam hati Tijah tidak henti-henti menyebut 'suamiku, suamiku'. Sambil tersenyum, Azlan menyarungkan rantai ke leher Tijah sebagai ganti cincin perkahwinan. Terkejut tijah kerana Azlan tidak pula menyebut hendak memberikan seutas rantai emas. Sebaik rantai emas sudah kemas disarungkan, Tijah menyalam tangan Azlan dan mencium tangan suaminya dengan penuh rasa syukur. Sanak saudara sibuk mengambil gambar merakamkan saat bersejarah itu. Azlan tanpa menunggu disuruh, mengucup dahi isterinya sambil berdoa agar Allah swt memberikan rahmat kepada mereka berdua. Menitis sekali lagi air mata gembira Tijah.

Mak Yam dan Mak Som pula berpelukan sebagai tanda sah mereka telah berbesan. Kemudian keduanya menghampiri mempelai mengucup dan memeluk kedua mereka dengan penuh syahdu. Sanak saudara dan tetamu yang hadir turut sebak melihat empat beranak itu yang telah ditakdirkan hidup bersama setelah dua puluh enam tahun hidup berjiran.

Tijah dan Azlan kini disatukan menjadi TIJAZ dengan izinNya.

Comments

Popular Posts