Tijah The Series Episode 11 – Malam Yang Indah

Selesai makan malam dengan Azlan di restoran, Tijah terus memandu pulang. Tijah sudah mengubat rindunya yang tersimpan beberapa hari ini. Tijah gembira kerana Azlan bukan saja kini kekasihnya malah Azlan juga seorang pendengar setia dan sentiasa memberi pendapat. Azlan telah banyak berubah dan semakin matang. Azlan kini sudah bijak mengatur masa dan jadual hariannya. Azlan kini sudah lebih 'cool' bila berhadapan dengan sesuatu krisis atau masalah. Keadaan tadi membuktikan Azlan lebih banyak berfikir sebelum bercakap. Kalau sebelum ini dia lebih banyak menyumpah seranah jika seseorang itu menimbulkan masalah kepadanya, kini dia tidak lagi begitu. Ketika Tijah menceritakan tentang hal Faizul kepada Azlan, dia lebih banyak mendengar dan berfikir. Kemudian Azlan menasihatkan Tijah agar lebih berhati-hati kerana bimbang Faizul akan mengganggu Tijah lagi. Azlan juga bimbang kalau-kalau Faizul berdendam kepada Tijah dan tidak mustahil orang sebegitu bertindak luar batasan.

Tijah sudah sampai di perkarangan letak kereta di kawasan apartmentnya. Macam biasa Tijah parkir keretanya di tempat biasa. Tijah keluarkan beg-begnya dari but belakang. Terkial-kial Tijah membawa beg-beg tersebut di kiri kanan tangannya sambil menaiki tangga. Di saat itu handphonenya berbunyi.Tijah cepat-cepat naik tangga untuk segera sampai di unit apartmentnya dengan hasrat hendak menjawab panggilan itu. Belum sempat lagi Tijah sampai di depan pintu, panggilan tersebut telah berhenti berbunyi. Segera Tijah membuka pintu rumahnya dan menyeret beg-beg itu ke dalam. Sambil mengunci pintu rumahnya, Tijah seluk begnya untuk mengambil handphonenya. Ingin benar dia tahu siapa yang menghubunginya pada waktu-waktu sebegini. Dilihatnya 'private number' terpampang sebagai 'missed call' yang diterimanya tadi. Ishh, private number lagi, bisik hati Tijah yang masih lagi tertanya-tanya siapa pemanggilnya. Sedang Tijah berfikir-fikir, masuk satu lagi panggilan 'private number'. Cepat-cepat Tijah jawab panggilan itu.

“Awak Khatijah?” suara wanita disebalik talian bertanya. Tijah dapat mengagak dari suara itu wanita tersebut dalam lingkungan umur lewat 40-an.
“Ya, saya Khatijah,” jawab Tijah mendatar. Dia syak ini Datin M.
“Apa hubungan awak setakat ini dengan Faizul?” terus wanita tersebut bertanya kepada Tijah tanpa memperkenalkan diri. Pantang betul Tijah kalau pemanggil yang tidak dikenalinya tidak mahu memperkenalkan dirinya terlebih dahulu.
“Siapa yang bercakap ini?” paras suhu badan Tijah sudah mula naik.
“Oh sorry. I am Datin M. I ni 'sugar mummy' Faizul. So I like to know how deep are you in love with Faizul?” pemanggil menyambung. Wah, wah, wah.. getus hati Tijah. Sangat berbangga wanita ini memperkenalkan dirinya sebagai 'sugar mummy' Faizul. Ada hati lagi bertanya tentang hubungannya dengan Faizul pula. Paras suhu api kemarahan Tijah bertambah satu tahap lagi.
“Oh, Datin the Sugar Mummy rupanya. Baik-baik datin, nanti kalau banyak sugar, boleh dapat kencing manis. Bila dah dapat kencing manis, anak ikan pun dah tak ada selera nak dekat. For your information ya Datin M, I ni besar kuman pun tak ada perasaan cinta pada Faizul. Malah I rasa jijik dengan dia tu. So I guess this explains well!” balas tijah dengan nada marah. Tak kuasa dia nak berbudi bahasa dengan orang macam ni. Sudahlah semalam si datin ini menghantar SMS beramaran kepada Tijah, kali ini lebih berani 'call' Tijah pula.

“Well, good that you don't love him. Tapi kalau I dapat tahu you berbohong, tahulah you macam mana I kerjakan you,” balas Datin M.

Wah, ini sudah kes berat, bentak hati Tijah. Sudah main ugut pula. Tijah rasa kalau emaknya yang mendapat panggilan ini sudah tentu Datin M ini kenyang makan maki hamun mak Tijah. Disebabkan Tijah tak kuasa nak layan orang macam ini, Tijah terus matikan talian. Tijah tak mahu mood berbunga-bunga kegembiraan tadi dicemari dengan hal-hal remeh ini. Lagi pun, Faizul sudah tidak menjadi masalah besar kepada Tijah lagi. Lebih baik Tijah fikirkan persiapan dipinang Azlan tidak lama lagi. Tijah masih ingat pesan emaknya, walaupun Mak Yam dan Mak Som merestui perhubungannya dengan Azlan, tidak bermakna mereka berdua boleh keluar berdua-duaan selalu. Bimbang perkara tidak elok berlaku.

Tijah ganti pakaiannya dan terus masuk tidur. Baru saja dia hendak melelapkan mata, handphonenya bergetar lagi. Tijah sudah tahu itu Faizul kerana Tijah sudah set panggilan Faizul kepada mod 'silent'. Sangkaan Tijah meleset yang Faizul tidak akan mengganggunya lagi. Tijah nekad dalam hati agar tidak melayan lagi segala panggilan dari Faizul dan Datin M. Tijah biarkan handphonenya bergetar dan akibat kepenatan, getaran itu tidak langsung mengganggu gugat tidurnya.

*************************************

Selepas waku pejabat Tijah bergegas mahu pulang ke rumah. Tijah ada banyak perkara nak dibuat di rumah termasuklah mengemaskinikan akaun facebooknya. Belum sempat Tijah melangkah masuk ke dalam kereta, Azlan menghubungi Tijah.
“Cik Adik manis, masih di pejabat ke?” Manja Azlan bersuara memulakan perbualan.
“Cik Abang handsome, Cik Adik baru je nak balik. Cik Abang di mana?” tersengih-sengih Tijah kegembiraan berbicara dengan kekasih hati di talian. Kunci kereta masih lagi di tangan.
“He..he..he..he..Jah, Lan ada kat bengkel ni, jom temankan Lan minum sekejap,” terang Azlan. Tanpa berfikir panjang, Tijah terus berpatah balik ke lobi lif untuk naik ke tingkat atas dan berjalan keluar dari bangunan untuk berjumpa Azlan di restoran yang biasa mereka berjumpa.

Sebaik Tijah sampai di hadapan Restoran Maju Mundur, Azlan sudah pun tercegat di luar menanti Tijah. Kali ini Azlan tidak sekadar tercegat dengan tangan kosong. Dengan senyum meleret di wajah Azlan, di dalam genggaman tangannya ada sejambak bunga ros merah untuk Tijah. Terkejut sungguh Tijah dengan sikap romantis Azlan pada petang itu. Jantung Tijah berdegup kencang dan hati turut berbunga riang dan indah. Seindah taman kencana yang dihiasi jambangan bunga ros yang berada di tangan Azlan.

Azlan hampiri Tijah dengan senyum ikhlas dari seorang kekasih kepada ratu hatinya. Hiruk pikuk di hadapan restoran dengan Mat Bangladesh yang ke hulu ke hilir sedikit langsung tidak mengganggu saat romantis dua sejoli ini bertentang mata.

“Selamat Hari Jadi, sayang,” ucap Azlan di saat mereka bertentang mata. Sambil menghulurkan jambangan bunga ros merah kepada Tijah, sempat lagi Azlan mengenyitkan matanya, nakal.

Argh, Tijah hampir lupa yang hari ini adalah hari ulang tahun kelahirannya. Ini bermakna, hari ini juga ialah hari ulang tahun Azlan. Bezanya Tijah lahir 1 jam selepas Azlan dilahirkan. Tijah tepuk dahinya dan ketawa kecil. Sempat lagi Tijah kira kuntuman bunga ros ada 7 kesemuanya menandakan 7 haribulan.

“Terima kasih, Lan. Tijah minta maaf, Tijah lupa hari ni 'birthday' kita,” tergelak kecil Tijah mengenangkan kecuaiannya mengingati hari penting sebegini. Tersenyum Azlan dengan keletah Tijah dan mencuit hidung Tijah dengan manja.

“Tak apa, Lan faham. Banyak sangat perkara yang berlaku akhir-akhir ni kan, sampai Jah lupa hari istimewa ni,” Azlan memujuk. Kesal sungguh Tijah dengan keterlupaannya.

“Jah, hari istimewa macam ni, tak romantik la kalau makan kat sini. Jadi Lan nak bawa Tijah pergi makan di satu tempat yang sangat istimewa,” sambung Azlan.

“Jadi, jom ikut Lan,” Azlan menarik tangan Tijah mengikutinya ke arah tempat letak kereta. Bertambah terkejut Tijah bila Azlan buat kejutan begini. Nasib baik hari itu Tijah berpakaian cantik, dengan gaun labuh hijau muda berbunga-bunga. Azlan pun Tijah lihat berpakaian sangat kemas ; dengan kemeja biru gelap berpetak merah jambu, berseluar panjang biru gelap juga. Bertambah kacak pula Azlan Tijah lihat petang itu. Maklumlah, kalau hati sudah berbunga cinta, pakai apa pun nampak cantik.

“Nak pergi mana?” Tanya Tijah tak sabar nak tahu.
“Rahsia.” Jawab Azlan ringkas sambil tersenyum. Azlan menekan penggera kereta Honda City merah dan mengajak Tijah masuk ke dalam kereta. Tijah yang masih terkejut dalam kegembiraan terus memasuki kereta. Namun dia tertanya-tanya juga kereta siapa pula yang Azlan guna ini sedangkan setahu Tijah, Azlan bukan jenis yang sukakan kereta, hanya motosikal yang digemarinya.
“Lan beli kereta ke?”
“Tak lah, kawan pinjamkan. Daripada beli kereta, baik Lan beli motor Kawasaki yang Lan cakapkan hari itu. Jah tahukan yang Lan lebih suka naik motor dari bawa kereta,” tanpa segan silu Azlan berterus terang.

“Lagipun, sekarang ni kenalah perlu berjimat cermat sebab nak guna duit untuk meminang tuan puteri di sebelah ni,” sambung Azlan lagi. Tijah cuit pipi Azlan sambil bergurau. Tijah rasa dia benar-benar seperti seorang puteri yang dicintai seorang putera raja. Walaupun putera raja di sebelahnya tidaklah sehebat putera raja yang sebenar atau di kayangan, ini sudah memadai bagi Tijah dan amat bersyukur kepadaNya.

Mereka sudah sampai di kawasan letak kereta berhampiran dengan restoran yang hendak mereka pergi. Azlan sejak dari awal lagi sudah membuat tempahan makan malam di restoran masakan barat itu. Azlan sudah tahu apa makanan kegemaran Tijah. Jadi dia buat tempahan awal-awal dan berbincang dengan pengurus restoran untuk menyediakan sesuatu yang istimewa pada malam itu.

Sambil berjalan menuju ke restoran, Azlan pegang tangan Tijah seperti seorang putera raja yang sedang berjalan-jalan dengan puterinya di taman kayangan. Tijah benar-benar rasa terharu dan hatinya tersentuh dengan kesungguhan Azlan meraikan hari yang istimewa ini. Selepas apa yang terjadi kebelakangan ini dengan hal peminangan Faizul yang tidak diharapkan, makan malam istimewa yang dirancang Azlan secara senyap-senyap ini telah mengubat segala duka di hati Tijah.

Pelayan lelaki yang menanti ketibaan Azlan dan Tijah menyambut kedatangan mereka berdua dengan layanan istimewa. Tidak ramai pelanggan di kala mereka tiba. Pelayan membawa Tijah dan Azlan ke meja makan yang telah ditempah khas oleh Azlan. Meja yang terletak di satu sudut menghadap tasik yang berlampu indah di kala matahari terbenam, menambahkan lagi suasana romantis petang itu. Sebak pula hati Tijah dengan suasana sebegini. Sepanjang hidupnya ketika mempunyai teman lelaki sebelum Azlan, belum pernah dia dihadiahkan dan diraikan sebegini. Sungguh Tijah tidak sangka jiwa Azlan jauh di dalamnya ada kelembutan yang belum pernah Tijah nampak dengan mata hatinya.

Pelayan lelaki itu menuangkan air kosong ke dalam gelas untuk mereka berdua. Mata Tijah masih lagi menikmati indahnya petang itu dengan hati yang tenang. Pelayan berbisik sesuatu kepada Azlan. Azlan mengangguk tanda setuju dan pelayan terus berlalu.

“Terima kasih Lan,” ucap Tijah.
“Small matter. Bagus juga kita sambut birthday pada hari yang sama, kan?” Di kala ini, tiada apa yang dapat dibualkan. Masing-masing kelu lidah nak berkata-kata. Cahaya suram restoran dengan kerlipan lilin yang menerangi meja makan itu serta iringan muzik jazz yang berkumandang menjadi teman pasangan itu. Azlan renung wajah kekasih hatinya sambil mengenggam erat tangan Tijah. Tersipu malu Tijah dilayan sebegitu. Azlan rasa amat bertuah dengan adanya Tijah bertakhta di hatinya. Tidak patut Azlan sia-siakan anugerah ini.

“Jah, Lan dah bagi tahu dengan mak untuk pinang Jah minggu depan,” Azlan bersuara.
“Iya? Bila Lan cakap dengan mak?” terpancar keriangan di wajah Tijah.
“Tadi. Lan dah bagi tahu dengan mak kalau boleh kita bertunang tiga bulan saja. Lan tak mahu lama-lama. Susah hati Lan dibuatnya,” terang Azlan sambil tersenyum. Tiga bulan? Wow, tiga bulan lagi Tijah akan bergelar isteri kepada Azlan. Tiga bulan lagi, Tijah akan ada teman hidup. Dan tiga bulan lagi Tijah akan tidur di atas katil king size bed yang lama diidamkan.

Ketika itu pelayan lelaki tadi kembali dengan membawa hidangan. Pelayan lelaki itu menghulurkan sekuntum bunga ros kepada Tijah sambil mengucapkan “Happy Birthday” kepadanya. Tijah sambut dengan senyum mesra. Pelayan lelaki itu kemudia meletakkan hidangan Sirloin steak Tijah di hadapannya kemudian meletakkan Rib Eye steak kegemaran Azlan di hadapannya pula. Kemudian pelayan lelaki itu menuangkan pula Apple Juice di gelas mereka dan beredar.

Tersenyum Tijah dan mengucapkan terima kasih pada Azlan yang telah membuat pesanan makanan terlebih dahulu dan tahu akan citarasanya.

“Ok, jemput makan tuan puteri,” gurau Azlan. Tijah nikmati hidangan makan malam dengan penuh sopan. Malam istimewa, mana mungkin Tijah makan laju-laju macam hari-hari biasa. Dalam suasana romantis pula. Sambil makan, sempat Azlan bercerita tentang perlumbaan motosikalnya hujung minggu ini. Jadi jadual latihan Azlan akan menjadi padat selepas ini dan mengharapkan Tijah memahaminya. Sudah tentu Tijah memahaminya kerana itu adalah minat Azlan selain dari punca rezekinya juga.

Selesai makan, pelayan lelaki tadi tanpa disuruh terus menghampiri meja dan mengambil pinggan mereka. Tidak lama itu, datang tiga lelaki dan seorang wanita menghampiri meja mereka. Setiap lelaki memegang satu alat muzik – gitar dan bongo. Sambil tersenyum, wanita itu menyanyikan “happy birthday' diiringi muzik yang dimainkan tiga lelaki tadi. Ternganga dan terkejut lagi Tijah manakala Azlan sekadar memerhati tersenyum. Selesai lagu dinyanyikan, penyanyi wanita bersalaman dengan Azlan dan Tijah sambil mengucapkan “Happy Birthday” kepada mereka. Persembahan mereka disambung dengan nyanyian “Falling In Love” dendangan Elvis Presley. Sambil Tijah amati lirik lagu itu, Tijah pandang wajah Azlan dengan penuh rasa cintanya. Azlan genggam tangan Tijah dan sesekali mencium tangan Tijah. Dendangan lagu secara unplugged itu membuatkan Tijah rasa sebak dan terharu. Tijah rasa matanya mula berair lantas tidak dapat menahannya dari menitis. Tijah belum pernah dirai dan dilayan sebegini. Azlan yang merancang ini semua juga tidak menduga yang keadaan akan menjadi seromantis ini. Azlan mengesat air mata Tijah dengan jarinya. Malu tersipu pula Tijah.

Penyanyi wanita tadi sudah habis menyanyi lagu Falling In Love, memberi isyarat ada satu lagi lagu yang hendak dinyanyikan. Kali ini penyayi itu beritahu Tijah boleh minta apa saja lagu untuk dia nyanyikan kepada Azlan. Suka betul Tijah lantas meminta penyanyi itu menyanyikan “Wonderful Tonight” nyanyian Eric Clapton. Permintaan Tijah ditunaikan tapi dinyanyikan oleh pemain gitar lelaki pula. Suara garau lelaki itu membuatkan lagu itu kedengaran sungguh romantis dan bermakna pada Azlan. Hati Tijah turut berlagu riang dan berbunga indah. Seindah lirik Wonderful Tonight yang sedang dinyanyikan.

Airmata gembira Tijah menitis lagi. Sungguh dia tidak sangka Azlan yang pernah jadi Mat Rempit ini bertaman juga hatinya. Tijah tidak sangka yang Azlan akan membuat persiapan sebegini hebat untuk mereka berdua malam ini.

Penyanyi telah selesai membuat persembahan dan sekali lagi bersalaman dengan Tijah dan Azlan sambil mengucapkan terima kasih.

“Lan, terima kasih Lan. Tijah tak pernah rasa segembira sebegini. Romantik juga Lan ya,”
“Sayang, ini saja yang Lan dapat buat untuk gembirakan Tijah dan raikan harijadi kita. Dah lama kita kenalkan tapi ini kali pertama kita sambut bersama, perasan tak?” balas Azlan.

Tijah perasan juga yang selama mereka kenal, belum pernah lagi mereka meraikan sambutan harijadi mereka bersama-sama. Biasanya, Azlan akan menyambut bersama kawan-kawannya dan Tijah pun begitu juga.

Tak sedar jam sudah hampir 10.30malam, Tijah ajak Azlan balik. Memahami keadaan itu, Azlan pun bersetuju. Azlan pimpin tangan Tijah dan berjalan keluar. Pelayan lelaki tadi mengucapkan terima kasih pada mereka. Sesampai di kereta, Azlan buka pintu untuk Tijah dan menjemputnya masuk. Wah, gentleman juga si Azlan ini. Tijah memasang tali pinggang keledar. Di kala itu Tijah teringat untuk memeriksa handphonenya. Baru Tijah sedar yang dia terlupa hendak menukar ringtone nya dari mod silent kepada ringtone asal. Tijah ada 4 panggilan tak berjawab dan satu pesanan suara. Semuanya panggilan dari emaknya. Tijah dengar pesanan suara yang ditinggalkan emaknya. Ada nada cemas dan pesanan itu menyuruh Tijah menelefon emaknya kembali. Berkenaan Hasni, kata emaknya. Tijah rasa tak sedap hati dan memaklumkan kepada Azlan.Risau pula Tijah dengan Hasni.

“Asslamualaikum, mak,” Tijah memulakan perbualan di talian.
“Wa'alaikumsalam, Jah. Risaunya mak kamu tak jawab telefon,”
“Sorry mak. Tijah terlupa dan tukar ringtone. Tadi silent mode. Mak kenapa dengan Hasni?” Tak sabar Tijah nak tahu. Sudah beranakkah dia. Kalau iya sudah beranak pun, takkanlah ada nada cemas suara emaknya tadi.
“Jah, Hasni dah bersalin petang tadi. Anak lelaki. Tapi Jah, darah dia ada masalah, Jah. Sekarang ni dia kritikal. Ada di hospital lagi,” terang Mak Yam.

Tijah terkedu dengan berita ini. Azlan disebelah yang sedang memandu, merasa gelisah. Kenapa dengan Hasni? Tijah ulang kata-kata emaknya - darahnya bermasalah. Namun, tidak pula Tijah terfikir dengan lebih lanjut masalah darah yang bagaimanakah sedang hasni hadapi. Besar ujian buat Hasni, kata hati Tijah. Dulu dia kehilangan suami, kini setelah selamat melahirkan anak lelaki, dia pula ada masalah darah. Tijah mendoakan agar sahabatnya itu selamat. Tijah akhiri perbualan telefon dengan emaknya dengan berpesan agar disampaikan salam kepada Hasni kalau dia dah sedar nanti. Tijah terkenang ketika Hasni menemaninya pada malam kelmarin ketika rombongan Hajjah Maimunah datang meminang. Hasni kelihatan sihat walafiat saja selain dari mengah kerana perut yang memboyot. Itulah kuasa Tuhan, bisik hati Tijah. Bila-bila masa, Dia boleh tarik kesihatan kita.

“Jah, apa kata kalau Lan hantar Jah balik terus ke rumah. Kalau Lan hantar Jah balik ke Bangunan Prima nanti, Jah balik sorang-sorang pulak. Dah malam sangat ni,” cadang Azlan risaukan keselamatan kekasihnya.

“Ok, tapi esok nak pergi kerja..” balas Tijah.
“Esok pagi Lan jemput Jah. Lan pun nak pergi bengkel ambil motor dan pergi Sepang pukul 11.00 pagi esok,” maklum Azlan.

Bagus juga kalau begini selalu, bisik hati Tijah. Ada yang menjemput, ada yang menghantar.

Sebaik sampai di kawasan apartment Tijah, Azlan sedikit kehairanan bila terlihat sebuah kereta yang sangat dikenalinya berada di tempat letak kereta. Baru Azlan teringat itu kereta Encik Azam, pengurusnya. Setahu Azlan, Encik Azam tidak tinggal di sini. Melihatkan Azlan yang sedikit kehairanan, Tijah pun cuba bertanya.

“Kereta Encik Azam tu. Dia buat apa dekat sini?” balas Azlan.
“Mungkin dia datang rumah kawannya kut. Tapi kan Lan, hari itu Tijah ada nampak isteri dia dekat sini juga tau. Tapi masa tu isteri dia seorang je, Encik Azam tak ada,” Tijah mula bercerita tentang kejadian isteri Lelaki Tingkat 2 tempoh hari yang kelam kabut menuruni tangga apartment tempoh hari.

Azlan pandang Tijah serta merta. “Macam mana Tijah kenal isteri Encik Azam?” tanya Azlan.
“Hari tu, lepas kita makan tengahari di restoran Thai, ingat tak yang Lan terus ke bengkel dan Jah dengan Encik Azam balik ke ofis?” Tijah cuba mengingatkan Azlan.

“Ya, ingat. Bila masa isteri dia datang?”
“Lan nak tau, masa kitorang tunggu lif, tiba-tiba bini dia keluar dari lif tu dan bila nampak saja Encik Azam di situ dia terus membebel marahkan Encik Azam. Langsung tak hirau orang sekeliling,” cerita Tijah lagi.

“Jah. Ini antara kita saja tau,” Azlan mula hendak berkata sesuatu. Tijah sudah mula cuak.
“Jah, Encik Azam ada masalah dengan isterinya. Dia syak iserinya ada buat hubungan sulit dengan seorang lelaki Cina. Tadi masa di bengkel, Encik Azam sempat bercerita pada Lan yang dia dah dapat maklumat di mana isterinya selalu berjumpa dengan kekasihnya. Tapi dia tak cerita pulak alamat tempat tinggal lelaki tu di mana,” jelas Azlan. Terbeliak mata Tijah mendapat tahu akan kisah sebenar. Padanlah Tijah lihat Lelaki Tingkat 2 seolah-olah mempunyai masalah dengan isterinya. Tak sangka Tijah orang kaya seperti Lelaki Tingkat 2 itu pun boleh dipermainkan isteri sendiri.

Tijah termenung seketika. Malam ini, ada beberapa kejadian yang membuatkan dia berasa syukur dan redha dengan nikmat yang diberikan oleh Tuhan kepadanya.

Pertama, Tijah bersyukur kerana Tuhan telah membukakan hati Azlan untuk menerimanya dan menganugerahkan perasaan kasih sayang yang dicari selama ini. Kedua, bersyukur kerana Tuhan telah memberikan satu kehidupan kepada anak Hasni yang selamat dilahirkan walaupun tidak berbapa. Ketiga, bersyukur Tijah juga kerana Tuhan masih memberi kudrat kepadanya untuk menikmati hidup ini sedangkan Hasni yang tenat sedang bertarung nyawa. Keempat, Tijah redha dengan kehendak Ilahi jika perkahwinan Lelaki Tingkat 2 itu berakhir begini dan mengharapkan perkahwinannya dengan Azlan nanti dilimpahi rahmat dan dijauhkan segala dugaan hebat sebegini. Terakhirnya, Tijah bersyukur kerana walaupun dia sekeluarga serta Azlan bukanlah dari keluarga yang berharta dan senang, namun kehidupan mereka tenang. Tijah terus berdoa di dalam hati dan memohon rahmat dariNya. Tijah dapat bayangkan betapa tidak senangnya hidup Lelaki Tingkat 2 yang kaya raya itu dengan masalah rumahtangganya itu.

Apakah yang berlaku seterusnya pada malam itu? Nantikan sambungannya di minggu hadapan, Insyallah.

Comments

Post a Comment

Sila komen apa-apa pun, tapi tertakluk pada terma dan syarat.

Popular Posts