Secubit Rasa - Grafitti vs pelekat iklan Mr Ah Long

Salam sejahtera. Tadi, 12 Jan sempat saya menonton bersama anak-anak rancangan 360 di TV3. Kali ini 'highlight'nya ialah GRAFITTI atau lukisan dinding yang satu ketika dulu dianggap sebagai vandalisme.

Saya rasa tercuit hati nak menulis dari apa yang saya tonton dari 360 itu. Tak dinafikan, saya juga berjiwa seni dan amat menghargainya. Kagum betul saya melihat kesungguhan anak-anak muda kini yang kreatif melakarkan lukisan dari hati di dinding yang tidak ada perasaan langsung itu. Menurut kata Dey, si pelukis grafitti yang ditemuramah, sekurang-kurangnya dua kali seminggu beliau bersama kawan-kawan akan turun ke lokasi untuk melukis. Kalau tak melukis, dirasakan dirinya kosong dan tidak produktif walaupun ianya adalah kerjaya separuh masa.

Namun, yang 'catchy'nya ialah, dinding untuk mereka lukis grafitti ini tertakluk kepada kebenaran pemiliknya atau pun pihak berkuasa iaitu majlis perbandaran atau dewan bandaraya. Dinding bangunan yang dilukis (tidak kira cantik atau tidak) dianggap diconteng dan boleh dikenakan tindakan kerana merosakkan harta awam. Tapi Dey berterima kasih pada DBKL kerana membenarkan dinding tebing di Sungai Kelang (boleh nampak dari LRT Pasar Seni) diwartakan/dibenarkan oleh DBKL sebagai tempat untuk lakaran grafitti. Usaha ini sebagai menggalakkan peminat seni grafitti mempunyai platform untuk meluahkan idea dan kreativiti mereka - senang cerita tanpa segan silu dan takut-takutlah. Siap ada festival lagi (sila klik pautan DBKL).

Tapi agak menarik perhatian saya bila wartawan itu menemuramah seorang pegawai penguatkuasa banguna MBPJ yang mengatakan apa-apa saya yang dilukis di dinding bangunan yang tidak dibenarkan dianggap CONTENG dan VANDALISME. Menariknya, seni grafitti kepada majlis perbandaran PJ ini dianggap conteng tapi pelekat iklan pinjaman wang tunai Mr Ah Long tidak pula dianggap vandalisme kepada mereka? Saya sungguh berani berkata begini sebab tidak ada berkurangan pun pelekat-pelekat ini di sekitar Petaling Jaya. Itu hanya di Petaling Jaya, saya tak pasti di kawasan lain sebab dunia saya sekitar itu saja (maksud saya Shah Alam, Klang dan sebagainya). Bertambah pelik sebab iklan pelekat pinjaman Mr Ah Long siap dicetak nombor telefon lagi. Jadi 'direct communication' sudah ada apa lagi YDP MBPJ?

Mungkin saya tidak faham tatakerja ahli dan pegawai Majlis. Tapi saya lebih rela mata saya melihat lukisan grafitti di setiap dinding bangunan tinggi di Petaling Jaya ini daripada melihat papan iklan gergasi di tepi jalan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalanraya. Saya lebih suka melihat lukisan grafitti idea 'adik-adik' saya yang saya faham jiwa mereka dari melihat tulisan lucah di dinding dan pintu bilik air tandas awam yang wajib bayar 30 sen sekali masuk. Kalau boleh, saya nak semua dinding dan pintu tandas awam seliaan MBPJ juga dihiasi lukisan grafitti agar yang sembelit tu senang saja nak buat bisnes. Sekurang-kurangnya mata akan terpaku pada lukisan grafitti dan lupa sekejap pada bau yang bercampur aduk itu.

Dalam 360 itu juga, dilaporkan ada satu persatuan penduduk di apartment di Selayang mengeluarkan belanja kira-kira RM 1000 sebagai usaha mereka membendung gejala conteng di dinding bangunan apartment itu dengan mengajak anak-anak muda di situ melibatkan diri dengan seni grafitti. Mereka di ajar oleh beberapa penggiat seni grafitti cara-cara yang betul untuk melakar kemudian berbincang dan seterusnya mezahirkan idea itu di dinding putih itu. Saya tabik dengan usaha persatuan ini sebagai kaedah memahami kemahuan generasi muda dari sudut yang positif.

Lepas ini, kalau ada anak-anak kita hendak menconteng dinding di rumah, biarkan sajalah bukannya buruk pun rumah kita tu. Daripada menconteng arang di muka, saya fikir adalah lebih baik mereka menconteng dinding dengan luahan hati mereka.

Tak setutju? Anda berhak untuk tidak bersetuju kerana kita manusia ada pilihan untuk berbuat demikian.

Jumpa lagi.

watiestylo : conteng kertas sambil bercakap di telefon lebih-lebih lagi bila memikirkan macam mana nak buat 'win-win situation'.

Comments

  1. salam....izan setuju la ngan pendapat akak ni. sepatutnya kita sokong diorg utk mengelakkan diorg terjebak dlm gejala yg kurg sihat...

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila komen apa-apa pun, tapi tertakluk pada terma dan syarat.

Popular Posts