Alkisah...Pak Ayob pada satu malam Jumaat

Khamis malam Jumaat, Pak Ayob baru saja selesai mengurut seorang lelaki pertengahan umur. Menurut lelaki tersebut, sudah hampir 2 bulan dia merasa badannya lesu dan sengal. Dia minta Pak Ayob mengurut seluruh badannya agar segala urat saraf dapat diperbetulkan. Pak Ayob mengurut seluruh anggota badan lelaki tersebut dengan teliti bimbang tersalah urat, alamat lain jadinya nanti.

Pak Ayob jeling jam di dinding, sudah 11.50 malam. Lelaki separuh umur yang baru Pak Ayob urut tadi memohon diri. Sambil bersalaman, lelaki itu menyelitkan beberapa keping not duit ke tangan Pak Ayob. Kembang kempis hidung Pak Ayob bila dapat upah.

Pak Ayob tutup pintu rumahnya rapat-rapat dan terus masuk semula ke bilik rawatannya. Pak Ayob khaskan satu bilik rawatan untuknya mengurut pesakit. Pak Ayob mengemas bilik rawatan itu yang baru saja digunakan tadi. Pak Ayob betulkan lapik tilam nipisnya itu. Di luar, bunyi cengkerik bersahut sahutan. Sesekali terdengar laungan burung hantu yang selalu kelihatan berlegar-legar di tanah perkuburan berhampiran. Tiupan angin malam yang begitu dingin menyucuk ke liang-liang roma.

Pak Ayob terdengar ada benda jatuh dari bilik anak bujangnya di sebelah namun tidak pula diendahkan. Aroma minyak urut yang dibuatnya sendiri dari santan kelapa yang digunakan untuk mengurut tadi, masih lagi menusuk hidungnya. Namun sedikit demi sedikit bau minyak kelapa itu hilang. Sedikit demi sedikit, aroma minyak kelapa buatannya itu bersilih ganti dengan bau wangi. Bau wangi ala-ala minyak POLO sport pun ada, ala-ala BRUT pun ada. Pak Ayob teruskan mengemas bilik rawatan itu tanpa menghiraukan bau wangi yang bersilih ganti itu. Namun bau wangi itu semakin tebal dan semakin menusuk hidungnya. Pak Ayob sudah tidak boleh tahan lagi. Lebih mencabar kesabarannya bila Pak Ayob rasa badannya bergegar. Seperti ada seseorang yang menggegarkan badannya. Pak Ayob duduk bersila kemas. Dia meluruskan kedua tangannya sambil pergelangan kedua-dua tangannya berada kemas di kepala lutut kiri dan kanan. Pak Ayob memejamkan matanya rapat-rapat. Bau wangi masih lagi berlegar-legar di dalam bilik rawatan itu. Masih lagi terasa bergegar badannya. Entah apa agaknya bau wangi ini dan dari mana datangnya, Pak Ayob mencari-cari jawapannya. Sambil matanya terpejam, Pak Ayob tenangkan fikirannya mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pendinding diri. Memang dari senja tadi Pak Ayob rasa tak sedap hati.

Tiba-tiba dirasakan ada sesuatu yang berdiri di hadapannya. Bau wangi itu semakin tebal dan dekat dengannya. Semakin laju dan kuat suara Pak Ayob membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pelindung diri. Lembaga yang berdiri di hadapannya masih lagi di situ. Pak Ayob paksa matanya untuk dibuka bagi melihat sendiri apakah makhluk yang berdiri di hadapannya.

“Pak, mana Pak letak penyapu?” tiba-tiba suara garau itu menegur Pak Ayob. Penyapu? Berderau dada Pak Ayob terkejut dan pelik kerana lembaga itu bersuara bertanyakan di mana dia letakkan penyapu. Pak Ayob beranikan diri dan membuka matanya. Rupa-rupanya lembaga yang berdiri di hadapannya itu ialah anak lelakinya, Izat, sedang berdiri di hadapannya.

“Pak, mana penyapu? Puas Izat cari nih. Izat nak sapu kaca botol minyak wangi yang pecah terjatuh tadi,” ulang Izat menerangkan.

Botol minyak wangi? Pecah? Baru Pak Ayob tahu yang bunyi benda jatuh tadi ialah dari botol minyak wangi Izat yang jatuh dan pecah. Lantas, bau minyak wangi yang tumpah itulah yang merebak dan menusuk ke hidungnya di waktu malam dingin itu. Lega dada Pak Ayob. Di fikirnya ada sesuatu yang datang mengganggunya malam-malam sebegini. Maklumlah, sebagai pengamal perubatan tradisional dan penggali kubur, Pak Ayob tidak terlepas diganggu makhluk halus mahu pun makhluk kasar.

Pak Ayob toleh ke belakang untuk mencari penyapu yang digunakan tadi untuk membersihkan bilik rawatannya. Dia capai penyapu itu dan diberikan pada Izat.

“Bersihkan sekali minyak wangi yang tumpah tu,” pesan Pak Ayob.

Pak Ayob lunjurkan kakinya dan perlahan-lahan bangun dari tempat duduknya. Dia tinggalkan bilik rawatan yang sudah dikemasnya dan merapatkan daun pintu. Dia jenguk ke luar rumahnya dari tingkap tiga nako yang rongak itu. Ada beberapa cermin yang telah pecah masih belum berganti dan dibiarkan kosong di bahagian atasnya. Pak Ayob lihat di sekeliling rumahnya. Gelap. Hanya bunyi cengkerik dan burung hantu yang melaung. Namun, tiupan angin kuat yang menghempas dinding rumahnya membuatkan dia tidak sedap hati. Dadanya berdebar. Seram sejuk Pak Ayob dari tengkuknya hinggalah ke sendi tulang. Pak Ayob betulkan langsir tingkap yang sudah lama tidak berganti. Pak Ayob duduk di kerusi rotan berhampirannya. Belum sempat punggungnya mencecah kerusi itu, tiba-tiba matanya terpandang pada satu bungkusan putih sebesar penumbuknya betul-betul di muka pintu bilik rawatannya.

Seingat Pak Ayob, tiada pun dia perasan bungkusan tersebut berada di situ ketika dia melangkah keluar tadi. Pak Ayob beranikan diri menghampiri bungkusan tersebut dan mengambilnya. Bungkusan putih itu dibungkus rapi dan dibuat seperti bunjut sup. Namun bungkusan putih itu ringan. Pak Ayob beranikan dirinya membuka bunjutan itu. Sambil membaca ayat suci Al-Quran, Pak Ayob perlahan-lahan membukanya. Ada satu lagi lapisan kain putih di dalam bunjutan itu. Pak Ayob berdebar-debar. Dibukanya lagi lapisan bunjut yang kedua perlahan-lahan. Terkejut Pak Ayob kerana lapisan ketiga juga dibaluti kain putih. Balutan demi balutan Pak Ayob buka sehingglah bungkusan seolah bunjut sup itu menjadi kecil. Dalam hati Pak Ayob tertanya-tanya, siapalah agaknya yang berhasad dengki terhadapnya dan 'menghantar' bungkusan misteri ini. Seingat Pak Ayob, dia tidak menyakiti hati sesiapa pun malah membantu ramai orang menyelesaikan masalah. Walaupun bantuannya tidaklah sebesar mana, tapi sedikit sebanyak membantu juga.

Pak Ayob kuatkan lagi hatinya dan membuka balutan bungkusan yang keenam pula. Seketika itu, Izat tiba-tiba terjengul di hadapan Pak Ayob. Terkejut dengan tindakan Pak Ayob yang membuka balutan kain putih itu, Izat terus mengambil bungkusan itu dari tangan Pak Ayob.

“Pak buat apa ni?”

“Eh, kenapa kau ambik tu? Bapak nak tengok apa benda dalam tu. Bapak rasa ada orang dengki dengan kita ni,” terang Pak Ayob.

“Dengki? Dengki apa pulak Bapak?” Izat bertanya tidak berpuas hati. Bungkusan putih itu masih lagi tangannya.

“Masa Bapak keluar bilik tadi, benda tu tak ada pun di depan pintu itu. Tiba-tiba aje ada di situ. Ni yang Bapak nak tengok apa benda di dalamnya, boleh bapak 'matikan' benda tu” kata Pak Ayob.

Ketika itu, Izat ketawa. Semakin lama, semakin terbahak-bahak ketawa Izat sambil memegang perutnya. Pak Ayob semakin panik. Pak Ayob merasakan anaknya telah dirasuk makhluk halus. Izat masih lagi ketawa padahal Pak Ayob langsung tidak membuat lawak. Izat masih lagi ketawa kali ini, dia ketawa sambil berguling-guling di atas lantai papan rumahnya. Pak Ayob bersiap sedia dengan jampi serapahnya kalau-kalau Izat berubah bentuk macam robot Transformer yang ditontonnya di TV. Pak Ayob membuka silat Gayungnya sebagai persediaan tenaga zahir dan batinnya.

Izat yang sudah kepenatan ketawa, cuba berhenti namun dia gagal. Di tangannya masih lagi tergenggam bungkusan putih yang diambil dari tangan Pak Ayob tadi. Pak Ayob sudah naik angin. Pak Ayob baca lagi jampi yang lebih 'power' agar makhluk halus yang merasuk anaknya itu keluar dari badan Izat. Paling tidak, agar makhluk halus itu dapat bersuara dan seterusnya berkomunikasi dengan Pak Ayob.

Izat cuba mengawal ketawanya dan memberikan isyarat dengan menunjukkan tapak tangannya sebagai tanda tunggu. Ketawa Izat sudah berkurangan dan diselang seli dengan batuk-batuk pula.

“Pak,” Izat cuba bersuara ingin menerangkan sesuatu. Pak Ayob memerhatikan saja bila Izat sudah kembali sedar dari dirasuk.

“Pak, bungkusan ni..” terputus-putus percakapan Izat dengan ketawa kecilnya serta batuk-batuk. Pak Ayob menghentikan langkah silatnya namun masih lagi membaca ayat-ayat Al Quran.

“Pak, bungkusan ini Izat punya,” Izat mula menjelaskan. Pak Ayob masih ragu-ragu jika yang bersuara itu ialah anaknya atau makhluk halus yang merasuknya.

“Cakap, siapa hantar kau?” Pak Ayob cuba berkomunikasi dengan makhluk halus itu. Izat yang telah berhenti ketawa tiba-tiba kembali ketawa bila mendengar soalan Pak Ayob. Melihat keadaan itu, Pak Ayob buka kembali langkah silatnya.

“Pak, bungkusan ni Izat yang punya. Benda ni tergolek keluar dari bilik masa Izat guna tadi. Puas Izat cari bawah katil, belakang pintu. Rupanya ada dekat luar ni dengan Bapak,” jelas Izat yang masih lagi ketawa.

Pak Ayob berhenti bersilat namun masih lagi ragu-ragu. Pak Ayob hampiri Izat dan memegang ubun-ubunnya sambil membaca jampi serapah. Namun, Izat tidak pula bertindak agresif seperti kebanyakan pesakit yang dirasuk yang pernah dirawatinya sebelum ini. Sahlah Izat tidak lagi dirasuk. Pak Ayob yakin anaknya telah sedar dan makhluk halus itu telah pun keluar dari badan Izat.

“Pak..bungkusan ini, Izat bungkus macam ni untuk buat tuam lutut Izat yang lebam terlanggar tiang pintu tadi. Sambil Izat tuam, Izat terlelap dan terlepaslah benda ni dari tangan Izat. Bila Izat sedar, Izat carilah bawah katil, belakang pintu tak ada pun. Izat keluar aje tengok Bapak tengah buka bungkusan ni. Bapak ni, selalu sangat ingat yang bukan-bukanlah sampai benda macam ni pun Bapak ingat orang 'hantar'.” Izat masih lagi ketawa kecil.

Pak Ayob yang menyedari 'kehebatannya' tercabar dan telah menjadi lawak malam Jumaat, terus berlalu masuk ke bilik air tanpa sepatah kata. Izat pun terus masuk ke biliknya dan masih lagi ketawa....


Moral : sila postkan moral apakah yang dapat anda pelajari dari kisah di atas... :-E

Comments

  1. salam...lawak la pak Ayob nih. moral nya jgn cepat melatah....fikir secara rasional dulu. hehehe....

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila komen apa-apa pun, tapi tertakluk pada terma dan syarat.

Popular Posts