Kegembiraan menjadi janda dan kepiluan seorang balu

Salam Sejahtera kepada semua pembaca. Kepada yang terlibat dalam fehomena alam di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, bersabar dan redhalah atas kejadian itu. Sesungguhnya kawasan anda itu telah dipilih oleh Allah swt untuk diuji penduduknya. Fenomena ini juga mendidik masyarakat lain untuk menjadi lebih bertimbangrasa, pemurah dan menolong sesama sendiri. Insyallah.

Tajuk posting saya kali ini mungkin agak kasar dan mampu menyentuh sensitivi sesetengah masyarakat, wanita dan para isteri. Saya mohon anda baca dulu untuk memahami huraiannya.

Walaupun saya seorang janda, namun tidak pernah terlintas di hati saya untuk suka dan menggalakkan wanita yang bersuami MEMINTA-MINTA UNTUK MENJADI JANDA apa lagi menjadi balu. Status janda diperoleh apabila seorang wanita yang telah berkahwin dicerai atau bercerai dengan suaminya. Manakala balu adalah status seorang wanita yang telah berkahwin namun diuji oleh Allah swt dengan mengambil suaminya kembali ke Rahmatullah, Innalillah.

Apakah perbezaan dua status ini? Tentu banyak bezanya terutama dari segi emosi. Setelah menjadi janda, saya pasti ada sedikit KEGEMBIRAAN bakal terpancar di wajah janda baru itu kerana tidak perlu lagi bersusah payah hidup bersama lelaki yang tidak bertanggungjawab. Walaupun perlu menguruskan hidupnya secara solo, pada seorang janda, itu adalah lebih dari terpaksa memendam perasaan dan menderita.

Berbeza dengan seorang balu. Tiada siapa dapat menjangkakan suami yang tercinta, bertanggungjawab dan baik tiba-tiba dijemput Illahi. Di kala seorang isteri tiada pekerjaan, mempunyai anak-anak untuk diuruskan, bil-bil untuk dibayar dan pelbagai lagi perlu dihadapi, tiada yang menggembirakan pada dirinya sebaliknya adalah KEPILUAN DAN KESEDIHAN.

Apabila berlaku perceraian secara sah di Mahkamah Syariah, pihak bekas isteri masih lagi boleh menuntuk hak beliau seperti harta sepencarian, nafkah edah dan nafkah perbelanjaan anak-anak. Walaupun proses tersebut ada yang mengambil masa hingga bertahun, jika rezeki berpihak pada bekas isteri maka 'beruntung'lah bekas isteri tersebut kerana mendapat sokongan kewangan dari bekas suami.

Bagaimana pula seorang balu hendak menuntuk haknya? Anda boleh bayangkan betapa peritnya situasi yang perlu dihadapi oleh sesetangah balu ini sekiranya :-
1) Arwah suami tidak menamakan isterinya sebagai penama di akaun KWSP
2) Sekiranya arwah suami tidak pernah mengambil sebarang insuran dan meninggal akibat kemalangan, si isteri terpaksa menanngung kos atau baki perubatan ketika arwah di hospital kerana syarikat hanya menanggung sebahagian (mungkin syarikat kecil jadi 'coverage' insurans perubatannya juga kecil)
3) Adik-beradik arwah pula masuh campur dalam pengagihan harta
4) Anak-anak arwah suami bersama isteri yang sebelumnya juga menuntuk hak secara faraid
5) Si isteri tidak mempunyai anak kandung bersama arwah suami namun memelihara anak angkat. Segala harta sepencarian pasangan ini juga menjadi rebutan adik-beradik yang lain.
6) Lebih memilukan sekiranya arwah suami pergi dengan meninggalkan hutang yang banyak tanpa pengetahuan isteri.

Di atas hanyalah sebahagian dari kisah yang pernah kita baca dan dengan atau mungkin tak pernah di antara kita ambil tahu. Bayangkan anda seorang isteri, tidak bekerja (sekadar menjual kuih tempahan orang untuk duit poket sendiri) dan mempunyai 4 orang anak. Suami menjalankan perniagaan keluarga dan harta kegunaan harian seperti kereta dan motor dibeli atas nama syarikat. Apabila suami meninggal dunia, syarikat mengambil kembali kegunaan harian ini dengan alasan ianya hak syarikat. Bagaimana anda hendak bergerak ke pasar, ke sekolah dan menghantar kuih-muih untuk jualan? Syarikat keluarga pula (maknanya syarikat yang diuruskan oleh bapa mertua) pula hanya memberi wang saguhati beberapa puluh ribu ringgit untuk balu (atau bekas menantunya) meneruskan hidup bersama-sama 4 orang anak. Anda tinggal di ibukota dengan kos perbelanjaan sebanyak RM2000 sebulan. Jadi, apakah perasaan anda jika diuji begini? Berapa lamakah wang saguhati yang beberapa puluh ribu itu boleh bertahan? Sebelum semua ini berlaku, adakah anda mengetahui ianya akan berlaku dan adakah anda telah merancang kewangan anda? Selain dari terkejut dengan pemergian suami tercinta, kemudian kepayahan yang perlu ditempuh serta perasaan sedih, rindu dan tekanan yang mendatang, mampukan seseorang balu ini menghadapinya tanpa sebarang persediaan?

Berbeza dengan seorang janda. Sebelum seseorang itu bergelar janda, sudah tentu ada pihak yang memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah. Jadi perkara ini telah dirancang oleh pihak yang meminta (planitif) dan sudah tentu planitif ini telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi segala yang mendatang. Sudah tentu seorang yang bakal jadi janda atas kehendaknya sendiri telah bersedia dengan kehidupan barunya nanti.

Nampakkah anda perbezaannya?

Adakalanya, wanita yang telah bersuami amat angkuh dengan kehidupannya bersama suami. Segala-galanya suami yang uruskan. Apabila suami cuba membantu seorang kawan dan kebetulan kawan tersebut adalah seorang janda, maka bermacam-macam 'amaran' diberikan kepada suami dan kawan tersebt sehingga terkeluar ayat “aku tak mau jadi janda macam kau”. Namun Allah swt lebih berkuasa, memang si ister tidak menjadi janda tapi menjadi balu sebaliknya. Innalillawainna ilaihirojiun. Ini adalah kisah benar yang terjadi pada saya. Sehingga kini saya tidak mampu untuk berjumpa dengan balu ini walaupun kami saling kenal mengenali. Saya bimbang saya tak mampu nak mengawal perasaan saya sekiranya bertemu dengan beliau yang sangat baik. Cuma mungkin pada ketika itu beliau amat risau saya merampas suaminya kerana kami sentiasa bertemu dalam satu kumpulan motosikal yang diterajui oleh arwah suami beliau. Pernah pada satu ketika saya pernah berkata-kata dalam hati “padan muka kau, tak nak jadi janda tapi terus jadi balu”padahal saya amat menghormati arwah suaminya yang .. Allah sahaja yang tahu keihklasannya membantu saya pada satu ketika dulu. Namun, lama-kelamaan, saya menyesali perasaan “padan muka” itu kerana Allah juga akan menguji saya sekiranya jodoh saya diizinkan lagi. Kalau bukan pada saya, mungkin Allah akan uji anak, adik atau sepupu perempuan dan makcik saya.

Samada menjadi janda atau balu – hakikatnya mesti ada masyarakat yang memandang serong dan rendah dengan kemampuan dan niat kita. Tuduhan nak kacau suami dan rumahtangga orang sudah menjadi satu cop rasmi di dahi setiap wanita yang bergelar janda atau balu. Tapi bila berkawan atau berkahwin dengan si bujang, dikatakan mengguna 'ubat guna-guna'. Kenapa tak pilih duda? Tahukah anda, jika anda sendiri merasakan agak sukar nak memelihara dan mendidik anak kandung, mampukan anda memelihara dan mendidik anak-anak tiri?

Menjadi janda atau balu juga bukanlah hina. Namun, cara janda atau balu itu membawa dirinya di khalayak ramai dan masyarakat itulah yang membuatkan anda dinilai. Sebelum memilih jadi janda, carilah cara terbaik menyelematkan keadaan. Keajaiban mungkin berlaku dengan izin Allah swt.

Pernah seorang kenalan akhirnya memohon untuk bercerai namun Allah swt tidak mengizinkan dengan cara menghadiahkan pasangan ini janin di dalam rahimnya. Allahuakhbar.

Jika ada para pembaca yang hendak dan telah memfailkan perceraian anda di Mahkamah Syariah, fikirlah sekali lagi. Ada ramai wanita di luar sana yang hendak bersuami namun belum mendapat keizinanNya. Anda yang telah bersuami, hanya dengan alasan tiada persefahaman, dengan mudah memfailkan perceraian? Ada juga kes yang suami tak pernah menduakan isteri, tak pernah pukul dan tak pernah mensia-siakannya, si isteri tetap memfailkan kes perceraian dengan alasan, suami gagal memberi perubahan pada kehidupan selepasa beberapa tahun berkahwin. Allahuakhbar! Namun ada juga suami yang selalu memukul dan menduakan isteri, namun si isteri langsung tak menfailkan apa-apa kerana bimbang kehidupan akan jadi lebih tidak terurus selepas bercerai.

Kematian tidak dapat diduga oleh manusia kerana itu adalah salah satu enam rahsia Allah swt kepada manusia. Kepada para isteri yang sedang bahagia, bersedialah apabila nyawa suami ditentukan Allah swt sehingga pada saat itu. Beruntungnya ada suami yang menyediakan pelbagai kemudahan, tapi jangan lalai dan hanyut dengan kemudahan itu sehingga anda jatuh terduduk.

Ramai yang menepis bila ada yang bercerita pasal mati sedangkan ianya pasti berlaku. Oleh kerana itulah ramai waris yang tak bersedia bila kematian berlaku.

Tulisan ini adalah peringatan ikhlas dari hati saya dan maaf dipohon sekiranya ada pembaca yang terguris hati. Belajarlah dari pemerhatian dan kesilapan. Jangan meminta-minta perkara yang tidak baik, sebaliknya bersedia ke arah perkara tidak baik yang bakal berlaku. Insyallah, Dia akan mempermudahkan.

Comments

Popular Posts