Tijah The Series Episode 7 - Rahsia Terungkai

Azlan minta diri untuk ke bengkel motosikal setelah mengucapkan terima kasih kepada Lelaki Tingkat 2 di atas kesudian menjemput dia makan tengahari bersama. Tijah melambai-lambai manja pada Azlan tatkala dia beredar. Tijah berjalan seiringan dengan Lelaki Tingkat 2 kembali ke pejabat. Rasa janggal pula Tijah bila berjalan berdua-duaan dengan Lelaki Tingkat 2. Bau wangi POLO sport perfume masih lagi menusuk hidung Tijah. Walaupun Tijah ada resdung yang selalu membuatkan hidungnya tersumbat, bau wangi Lelaki Tingkat 2 masih boleh dihidunya.
“You suka makanan Thai?” Lelaki Tingkat 2 memulakan bicara.
“Ya, suka. Tapi belum pernah lagi makan di restoran tadi tu,” balas Tijah. Ye lah, restoran mewah sebegitu mana mungkin Tijah dapat pergi.
“Tak sangka pula I yang you dan Azlan ni jiran sekampung”, Lelaki Tingkat 2 menukar topik perbualan. Tijah rasa segan silu pula bila hal dia dan Azlan menjadi topik perbualan. Tijah rasa nak cepat-cepat sampai ke pejabat agar Lelaki Tingkat 2 tidak terus-terusan mengorek sebarang cerita tentang dia dan Azlan. Bukan Tijah tak sudi nak berkongsi cerita dengan Lelaki Tingkat 2 tentang dia dan Azlan, tapi belum bersedia nak menghuraikan kisah peribadinya lagi.
“I pun tak sangka pula yang you ni anak saudara Mr K,”Tijah cuba mengalih perbualan sebaik mereka berdua masuk ke dalam bangunan pejabat. Tergelak kecil Lelaki Tingkat 2 bila Tijah berkata demikian. Sebaik Lelaki Tingkat 2 menekan butang lif, pintu lif pun terbuka dan berpusu-pusu orang keluar dari lif tersebut. Ketika itulah seorang wanita tinggi lampai persis model iklan pelangsingan badan menarik perhatian Tijah. Seperti pernah melihat wanita ini dan Tijah cuba mengingat kembali kelibat wanita itu. Tatkala wanita itu terlihat Lelaki Tingkat 2 di sebelah Tijah, wanita itu terus berhenti memerhatikan Lelaki Tingkat 2 dengan wajah yang sudah cukup membuatnya kelihatan buruk.
“Azam, where have you been? I was looking for you high and low. You did not answer my call. What the hell are you trying to do?” sergah wanita tersebut. Kecut juga Tijah bila wanita itu tiba-tiba menyerang Lelaki Tingkat 2 sebegitu. Tijah yang berada di tengah-tengah antara wanita tersebut dan Lelaki Tingkat 2 jadi terpinga-pinga. Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak lepaskan peluang menjeling ke arah mereka untuk melihat drama sebabak itu. Baru Tijah teringat yang wanita itu pernah dilihat bersama Lelaki Tingkat 2 ketika dia window-shopping di kedai tekstil beberapa minggu yang lalu. Tijah pernah terlanggar kakinya yang panjang itu tapi wanita itu buat sombong bodoh pula bila Tijah minta maaf. Naik menyampah pula Tijah bila terkenangkan betapa sombongnya wanita itu. Lelaki Tingkat 2 menarik tangan wanita tersebut ke satu sudut dan cuba menenangkannya. Tijah cuba-cuba juga nak jadi paparazzi tak bertauliah tapi dibatalkan niatnya dan terus masuk ke dalam lif. Kasihan pula Tijah bila melihat Lelaki Tingkat 2 disergah sebegitu di khalayak ramai. Tapi siapa pula wanita itu, berputar-putar soalan “kepoci' dalam kepala Tijah. Sambil Tijah berjalan masuk ke dalam pejabatnya, teringat pula “kehebatan” Faizul di restoran tadi. Tijah pasti itu memang Faizul walaupun baru sekali mereka bertentang mata. Tidak pasti pula Tijah kalau Azlan pernah melihat atau berkenalan dengan Faizul ketika di majlis perkahwinan Budin tempoh hari. Tapi kalau Azlan kenal dan cam muka Faizul, sudah tentu Azlan akan “kepoh” dengan Tijah tadi. Tapi Azlan tidak pula berkata apa-apa ketika makan tadi.

Sedang asyik Tijah membetul-betulkan kedudukan kerusinya, Lelaki Tingkat 2 masuk melulu ke pejabat tanpa memandang apalagi hendak menjeling Tijah yang berada di mejanya. Terkejut juga Tijah bila skala mood Lelaki Tingkat 2 naik mendadak sebegitu. Baru beberapa minit tadi skala mood Lelaki Tingkat 2 berada di paras “neutral”. Mungkin disebabkan nilai “asid” wanita tinggi lampai tadi membuatkan nilai pH Lelaki Tingkat 2 naik mendadak dan mencanak sehingga wajahnya yang putih melepak itu menjadi kemerah-merahan. Ms Lam yang berada di pantri, tiba-tiba keluar dan meluru ke arah Tijah. “Tijah, apa you sudah buat dengan Encik Azam, eh? Tadi you bertiga keluar makan bersama. Apa hal?” tanya Ms Lam sambil berbisik pada Tijah. Kecoh pula Ms Lam ni, desis hati Tijah. “Tak tau lah Ms Lam. Tadi I naik lif dulu. Dia jumpa kawan dia. Mana I tau apa jadi lepas tu,” jawab Tijah. Mencebik Ms Lam bila Tijah beri jawapan skema. Cepat-cepat Tijah jawab panggilan telefon bagi mengelak dari terus berkongsi maklumat sulit dengan Ms Lam. Tijah tak kuasa nak berkongsi hal peribadi dirinya sendiri apalagi hal orang lain. Lebih baik Tijah selesaikan halnya berkaitan Faizul dan Azlan. Ada juga faedahnya. Tijah cuba cari jalan bagaimana hendak memulakan percaturan di antara dia dan Faizul terlebih dahulu. Adalah lebih baik kalau dia sendiri bersemuka dengan Faizul, berbicara dari hati ke hati sebagai orang dewasa agar simpulan perasaan ini dapat dirungkai. Mana tahu, mungkin Faizul juga dalam dilema sepertinya. Tijah berkira-kira dalam hati, mungkin juga Faizul tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya, sekadar nafsu yang bermaharajalela. Kemudian, apabila segalanya telah dirungkai, barulah dia memaklumkan hal ini kepada emaknya. Tijah mahu bersiap sedia dahulu dengan pelbagai fakta bernilai positif unttk menyokong penolakannya terhadap cadangan emaknya hendak menyatukan Tijah dengan Faizul. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Tijah mahu lebih berhati-hati agar yang pertama, hubungan emaknya dan Hajah Mainumah tidak tercalar. Kedua, hubungan Tijah dan emaknya tidak terganggu dek emosi dan mentaliti “malu pada orang”. Ketiganya, tidak mahu emaknya berfikiran yang Azlan menjadi punca Tijah menolak cadangan emaknya. Tijah cuba membuka mindanya dengan berfikiran positif tetang Faizul. Tijah harap Faizul juga akan bersikap terbuka dalam hal ini.

Tapi Tijah tidak mahu Azlan tahu akan rancangannya ini. Pada Tijah, biarlah hal dia dengan Faizul diselesaikannya sendiri tanpa melibatkan Azlan. Tijah curi-curi tengok jadual latihan Azlan dalam fail yang berada di kabinet di belakang tempat duduknya. Hujng minggu ini Azlan ada latihan jam 8 pagi dan berakhir lebih kurang jam 3 petang di Sepang. Tijah berkira-kira jika itu adalah masa yang terbaik untuknya berjumpa dengan Faizul. Tijah capai handphonenya untuk menghantar SMS pada Faizul. Tijah mulakan dengan ayat skema sebagai pengenalan. Handphone Tijah bergetar dengan kemasukan SMS baru. Faizul membalas SMS Tijah dengan jawapan yang Tijah dapat rasakan tidak jujur. “Saya ada kelas sekarang, nanti saya call awak,” ringkas jawapan “Cikgu Faizul”. Baru satu jam setengah yang lalu Tijah nampak “Cikgu Faizul” ini menjamu selera di restoran mewah dengan “gurubesar”nya. Sekarang sudah berada di kelas pula, mengajar? Lupa pula mahu ditanya pada Faizul sekolah mana dia mengajar. Kalau Tijah dapat tahu sekolah mana yang Cikgu Faizul mengajar, sudah tentu Tijah menjalankan siasatan edisinya yang tersendiri. Mengeluh Tijah seketika.

**********************************************

Tijah bersiap-siap hendak balik. Sambil duduk di kerusinya, dikemaskan mejanya dan meletakkan segala dokumen yang hendak dihantar oleh mat despatch ke dalam 'tray' dokumen bertulis “out”. Dalam posisi duduk di atas kerusi yang beroda itu, Tijah letakkan semula fail jadual latihan Azlan ke tempat asalnya dengan sekadar berpusing. Ruang untuk fail itu berada di bahagian atas dan Tijah rasa malas pula nak berdiri. Tijah cuba asak fail itu dengan memegang hujung bawah fail itu tanpa memikirkan kesannya. Fail itu masuk ke ruang kosong tapi sebahagian sahaja dan Tijah tidak menyedarinya. Lantas fail yang setebal 2 inci itu terjatuh dan mengenai kepala Tijah. Terdiam Tijah seketika menahan sakit sambil memikirkan kebodohannya sendiri.
“Kan lebih baik kalau you berdiri tadi,” tiba-tiba Lelaki Tingkat 2 bersuara. Tijah tak perasan bila pula mamat Tingkat 2 itu berada di situ. Tersengih-sengih Tijah bila ditegur Lelaki Tingkat 2.
“By the way,” Lelaki Tingkat 2 bersuara tersekat-sekat sambil melihat sekeliling pejabat.
“by the way, I am so sorry about just now,” Lelaki Tingkat 2 menyambung bicara perlahan saja suaranya. Bimbang jika didengar orang lain pula.
“Err, just now?” Tijah cuba mengingatkan kembali “just now” yang mana si Lelaki Tingkat 2 ini katakan.
“the lady...yang keluar dari lif tadi, yang marah-marah tu,” Lelaki Tingkat 2 cuba membantu Tijah mengingatkan semula kejadian tengahari tadi. Baru Tijah teringat kejadian itu.
“Oh, it's ok. Mula-mula terkejut juga, ingatkan dia marah I ke. Siapa tu?” Tijah dengan selamba bertanya tanpa berlapik. Lelaki Tingkat 2 teragak-agak hendak menjawab. Serba salah pula Tijah. Ditampar mulutnya sendiri kerana terlalu celupar. “Sorry,” Tijah mohon maaf kerana bertanya soalan begitu.
“That is my wife,” jawab Lelaki Tingkat 2 sambil memandang tepat ke mata Tijah. Tercengang Tijah mendengar jawapan Lelaki Tingkat 2. Dah kahwin rupanya mamat ni, bisik hati Tijah. “Oh, really? She is so pretty. Like a model,” Tijah cuba menyedapkan hati. Lelaki Tingkat 2 sekadar tersenyum. Sekadar tersenyum seperti terpaksa. Tijah rasa tak sedap hati dengan situasi ini. Tijah pandang jam di tangannya, sudah pukul 5.10 minit petang. Tijah sengih pada Lelaki Tingkat 2 sambil menarik tali begnya. Memberi isyarat untuk meminta diri. Lelaki Tingkat 2 mengiringi Tijah keluar dari pejabat. Kemudian ke ruang menunggu lif. Tiada bicara di antara mereka ketika itu. Sekadar bunyi kunci kereta yang Tijah lambung-lambung. Sebenarnya Tijah macam tak percaya yang wanita tinggi lampai tadi itu adalah isteri Lelaki Tingkat 2. Garang betul. Tak kira tempat dia nak memarahi suaminya sendiri. Lif sudah terbuka dan Lelaki Tingkat 2 menahan pintu lif sambil membiarkan Tijah masuk dulu. Ada beberapa lelaki di dalam lif itu sekadar memandang. Sampai di B1, berpusu-pusu mereka keluar. Tijah sengaja membiarkan semua lelaki tadi keluar. Lelaki Tingkat 2 yang berdiri di sebelah Tijah, menekan butang lif agar pintu terus terbuka. Sebaik semua lelaki itu keluar, barulah Tijah melangkah keluar dari lif.
“Tijah, you nak terus balik ke?” Lelaki Tingkat 2 mula bertanya setelah beberapa ketika berdiam diri.
“A'ah. Nak keluar berjalan pun tak ada kawan,” balas Tijah yang mula merasakan Lelaki Tingkat 2 ada hajat nak belanja dia minum lagi.
“I nak pergi minum dulu. You nak join ke?” Lelaki Tingkat 2 membuka raung untuk Tijah bersamanya. Risau pula Tijah kalau-kalau isteri Lelaki Tingkat 2 tu nanti ada bersama.
“Err...boleh juga tapi isteri you....?” Tijah cuba memancing Lelaki Tingkat 2 dengan soalan sebegitu.
“Oh, tentang itu tak perlu risau. I'm sure it is not a problem to her. Kalau macam tu, kita pergi ke Restoran Maju Mundur, ok?” Lelaki Tingkat 2 memberi cadangan. Tijah mengangguk tanda setuju. Tijah masuk ke dalam keretanya sambil tersengih. Tersengih sebab dalam pejabatnya, Tijahlah orang yang bertuah kerana dapat makan dan minum petang dengan Lelaki Tingkat 2 dua kali berturut-turut dalam sehari. Seingat Tijah, Ms Lam sendiri pun belum lagi dapat peluang seperti ini. Tijah mengekori kereta mewah Lelaki Tingkat keluar dari perkarangan tempat letak kereta. Kedua-duanya menuju ke Restoran Maju Mundur yang terletak di belakang bangunan pejabat mereka. Sebaik sampai di restoran, Tijah mencari-cari kedudukan meja yang sesuai. Lelaki Tingkat 2 mencadangkan meja yang diletakkan di sebelah luar. Tijah menuruti sahaja.
“You selalu minum sini?” Lelaki Tingkat 2 bertanya pada Tijah selepas selesai memesan minuman dengan pelayan dari Bangladesh yang sekadar menggeleng dan mengangguk kepala bila ditanya.
“Adalah sekali dua, dengan Azlan”, jelas Tijah.
“Oh, Azlan. Saya suka dia. Bersemangat dan mahu belajar. Tak sia-sia Mr K memilih dia masuk Team K. Dulu dia kata dia Mat Rempit,” Lelaki Tingkat 2 mula bercerita tentang Azlan.
“A'ah. Dulu dia Mat Rempit. Baguslah kalau dia masuk Team K. Sekurang-kurangnya dia tak lagi merempit di jalanraya. Err.. En Azam, I nak tanyalah. Dari kecik lagi Azlan tu ada masalah dengan lelangitnya yang menyebabkan suaranya sengau. Kebanyakan orang yang tidak biasa dengannya, ada juga masalah nak memahami pertuturannya. Tapi I tengok you tak ada masalah langsung nak memahami pertuturan dia,”
Tergelak kecil Lelaki Tingkat 2 bila Tijah bertanya sebegitu.
“Ya, I tahu dia ada masalah dengan pertuturan dia tapi I tak ada masalah nak memahaminya sebab..” percakapan Lelaki Tingkat 2 terhenti. Dia menarik nafasnya dalam-dalam dan menyambung,
“...sebab anak I pun ada masalah yang sama”. Ada raut sesal di wajah Lelaki Tingkat 2. Tijah sekali lagi merasa serba salah dengan soalannya sendiri.
“En Azam, I minta maaf kalau hari ini sahaja I dah buat you kecik hati dengan soalan bodoh I ni”, Tijah memohon maaf.
“Bukan apa En Azam, dari dulu lagi, saya selalu jadi penterjemah tak bertauliah si Azlan ni. Jadi, saya risau juga,” jelas Tijah lagi mengharapkan agar Lelaki Tingkat 2 faham akan maksud Tijah.
“Tijah, its ok. Sekurang-kurangnya you have the intention to help. Not like my wife.” Bicara Lelaki Tingkat 2 terhenti seketika bila lelaki pelayan Bangladesh tadi datang membawa minuman yang dipesan.
Huh, “not like my wife” apa pulak ni, Tijah terpinga-pinga. Tercengang-cengang Tijah dengan muka “blur”.
“I have son, he is 4 years old. Dia ada masalah cleft lip yang agak teruk. Dari umurnya 6 bulan, dia dah menjalani pembedahan untuk mencantumkan kembali lelangit dan bibirnya yang terbelah tu. Oleh kerana kes anak I ini agak teruk, pembedahan terpaksa dilakukan berperingkat. Sekarang pembedahan tak diperlukan lagi, cuma terapi pertuturan saja. Jadi, masalah pertuturan sengau tidak menjadi masalah langsung pada I, cuma my wife yang tidak dapat menerima keadaan anak I yang tak sempurna macam anak orang lain. Jadi bila I tengok Azlan tak merendah diri dengan kekurangan yang ada pada dia, I bangga dan berharap anak I juga ada semangat macam tu bila besar nanti,” panjang lebar Lelaki Tingkat 2 menjelaskan keadaan. Padanlah Tijah lihat Lelaki Tingkat 2 suka betul berbual dengan Azlan sejak mereka berdua berjumpa. Terdetik di hati Tijah tentang kebaikan dan kejujuran Lelaki Tingkat 2 ini.
“I nak tanya pasal you dengan Azlan, boleh? You dengan Azlan ni ada hubungan istimewa ke?” Lelaki Tingkat 2 cuba membolosi hal peribadi Tijah. Tersengih-sengih Tijah mengiyakan dan memberitahu Lelaki Tingkat 2 yang mereka baru saja buat 'declaration' tentang hal mereka berdua.
“Baguslah Tijah. You have accepted him as who he is. Azlan tu sangat rajin, Tijah. I sebagai pengurus Team K sangat bertuah dapat pelumba macam Azlan. You are lucky too”. Kembang kempis hidung Tijah bila Lelaki Tingkat 2 memuji Azlan melangit. Tapi dalam kepala Tijah masih lagi sukar nak percaya tentang isteri Lelaki Tingkat 2 yang sombong itu. Kasihan pula Tijah padanya. Begini agaknya perkahwinan orang berada, fikir Tijah. Bila harta dan wang sudah jadi alat, rezeki dan kurnia dari Ilahi dirasakan seperti beban pula. Sambil mereka berbual, Tijah jeling jam di tangan yang menunjukkan pukul 7 petang. Tijah teringat tentang SMS dari “Cikgu Faizul” tengahari tadi. Melihatkan Tijah seperti gelisah, Lelaki Tingkat 2 bertanya jika Tijah sudah mahu pulang.
“Ye lah, baik I balik sekarang. Banyak kerja nak dibuat di rumah,” Tijah memohon diri. Tijah cuba mengambil bil minuman di atas meja namun Lelaki Tingkat 2 telah dengan pantas membawa bil itu ke kaunter bayaran. Tekaan Tijah tidak tersasar yang mengagak Lelaki Tingkat 2 mahu belanja dia lagi. Bangga pula Tijah bila Lelaki Tingkat 2 begitu bermurah hati membayarkan Milo O Ais yang diminumnya tadi. Seiringan mereka berdua ke tempat letak kereta. Tijah mengucapkan terima kasih sebelum melambai ke arah Lelaki Tingkat 2. Tijah sempat jeling ke arah kereta Lelaki Tingkat 2 dan melihat Lelaki Tingkat 2 masih lagi berdiri di sisi keretanya memerhatikan Tijah yang sedang mengundurkan kereta. Berlagu riang di hati Tijah. Riang kerana Lelaki Tingkat 2 memuji sifat rajin Azlan dan memuji Tijah yang menerima Azlan seadanya. Ya, memang Tijah menerima Azlan seadanya Azlan. Baik buruk, terkurang terlebih, Azlan tetap diterimanya kerana Azlan cinta hati Tijah yang sejati.. Tijah memandu dengan nyanyian cinta sambil tersenyum sendirian. Sambil memandu, Tijah berdoa agar Tuhan mempermudahkan segala urusannya. Urusannya untuk merungkai rahsia perasaan Faizul.

Berjayakah Tijah menyelesaikan masalahnya dengan Faizul? Insyallah berjumpa lagi di minggu hadapan.

Comments

Popular Posts