Secubit Rasa #1

Hujan sudah mula membasahi bumi. Aku merancang hendak ke pasar malam, membeli juadah makan malam selepas matahari terbenam nanti. Waktu berlalu, hujan semakin lebat mencurah. Aku nekad untuk keluar juga. Bersama anak lelaki ku, Fahmi dan emak saudara, aku memandu dalam samar-samar akibat rembesan air hujan yang lebih laju dari pengilap cermin kereta aku yang menunggu masa untuk diganti. Dari Kelana Jaya aku memandu ke pasar malam di Seksyen 17 PJ berdekatan UIA. Hujan masih lagi lebat mencurah sewaktu aku sampai di situ. Sambil berpayung, kami bertiga berjalan-jalan dahulu hingga ke penghujung untuk melihat-lihat dahulu barang jualan. Lebih ramai peniaga dari pengunjung dalam cuaca sebegini. Kali terakhir aku ke pasar malam ini ialah lebih kurang 11 tahun yang lalu. 11 tahun? Ya.. 11 tahun yang lalu - ketika itu tidak hujan dan ramai pengunjung, Masyallah. Kelihatan beberapa peniaga seakan kecewa dengan kekuasaan Allah swt yang mencurahkan hujan ke bumi. Akhirnya dapat aku membeli sebungkus nasi kerabu, yong tau foo dan makcik aku mendapat diskaun istimewa – beli 2 bungkus mee sup dengan harga RM5.00 sahaja. Harga sebenar sebungkus RM 3.00. Alhamdulillah. Peniaga ini ada juga keinginan untuk bersedekah dengan cara ini. Setelah mendapat apa yang diinginkan dan setelah basah pakaian kami -walaupun masing-masing berpayung, kami pun berjalan pulang. Sampai di laluan bertangga yang berbumbung, tiba-tiba Mak Cik aku terasa nak minum cincau bandung yang dijual di gerai yang baru saja kami lewati. Menyuruh anak aku membelinya, kami tunggu saja di bawah bumbung itu. Mata kami berdua memandang ke arah peniaga air yang sedang mencurahkan satu dari beberapa tab yang berisi air jualan ke TANAH. Kelihatan seperti air asam boi kegemaran anak perempuan ku, Sarah.
“Hmm, terbuang saja air itu,” luah Mak Cik ku.
“ Itulah dia. Ketika panas terik, air dia laku, rezeki dia mencurah macam hujan yang turun ini. Sekarang Allah uji dia dengan menurunkan hujan, jualannya tak berapa menjadi malam ni dan dia buang saja air jualan itu” aku membalas.

Sambil memandu pulang, hujan masih lagi turun kali ini tidaklah selebat ketika dalam perjalanan datang tadi. Sudah lama juga aku tidak melalui jalan-jalan di Seksyen 17 ini. Dalam perjalanan pulang, sukar untuk aku melupakan kejadian mencurah air jualan itu tadi. Aku terfikir, kenapa si peniaga itu tidak membungkusnya saja dalam beberapa plastik yang kecil dan sedekahkan saja pada orang yang lalu lalang di situ atau pada peniaga-peniaga yang lain atau pada anak aku yang sedang membeli secawan air untuk Mak Cik aku tadi? Aku terfikir tidakkah dia melihat bahawa hujan ini juga satu rahmat dari Allah setelah sekian lama Allah permudahkan urusan perniagannya dalam tahun ini? Sehingga saat aku menulis ini, aku masih lagi memikirkan, tidakkah dia terfikir seperti aku berfikir?

Dalam aku berfikir, aku telah pun sampai di hadapan pagar rumah. Sebaik saja kami masuk ke dalam perkarangan rumah, hujan pun berhenti. Kelakar juga aku rasakan – redah hujan lebat dan banjir kecil hanya untuk membeli makanan kegemaran. Namun berbaloi kerana nasi kerabu yang aku beli memang sedap. Semoga rezeki peniaga nasi kerabu itu serta peniaga lain, lapang hendaknya. Insyallah.

WatieStylo : masih lagi berhasrat untuk meniaga ice-blended drinks jenama “Stylo”

Comments

Popular Posts