Alkisah...Pak Ayob sebagai penggali kubur

Selain dari terer bermain alat muzik dan alat tuut, Pak Ayob juga mengambil upah menggali kubur. Dugaan dan gangguan ketika melakukan kerja-kerja menggali sudah menjadi kebiasaan pada Pak Ayob terutamanya pada waktu senja dan tengah malam. Kelebihan Pak Ayob pula ialah beliau boleh berinteraksi dengan mayat, termasuklah mayat hidup yang banyak di kampungnya. Pada satu malam, ada satu kematian di mana jenazah perlu dikebumikan pada malam itu juga. Jenazah pemuda kampung yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya itu cedera teruk dan akan dimandi dan dikafankan di hospital. Ketika Pak Ayob menerima berita kematian tersebut, jam menunjukkan pukul 10 malam. Pak Ayob berkira-kira dengan kalkulator miliknya ditolak, dikali, dibahagi dan dicampur, beliau ada lebih kurang 4 jam saja untuk menyiapkan liang lahad sebelum jenazah tiba. Pak Ayob baru teringat yang bosnya, Lebai Hussin pula tiada di rumah ketika itu kerana bercuti ke Bandung. Nampaknya, Pak Ayob seorang sajalah melakukan kerja-kerja penggalian pada malam ini.

Pak Ayob bersiap-siap dengan pakaian yang biasa dipakai untuk melakukan kerja-kerja penggalian. Pak Ayob dengan segera keluar rumah menaiki basikal 'mountain bike' milik anaknya. Baru beberapa kayuh saja, Pak Ayub terdengar bunyi 'prakkk' dari arah belakang. Pak Ayob berhenti seketika. Melihat ke belakang kalau-kalau ada benda yang terjatuh atau telah dilanggarnya. Tiada apa pun kelihatan. Pak Ayob teruskan mengayuh basikalnya dan sekali lagi bunyi 'praakk' kedengaran. Gangguan sebegini bukanlah kali pertama beliau dapat. Setiap kali bila Pak Ayob nak keluar menggali kubur, pasti dia akan diganggu dengan bunyi-bunyian yang Pak Ayub tidak tahu dari mana datangnya. Tapi disebabkan ini juga adalah punca rezekinya, Pak Ayob buat 'derk' sajalah dengan gangguan itu semua.

Sesampai sahaja Pak Ayob di kawasan perkuburan, Pak Ayob 'parking' basikalnya elok-elok dan merantainya di tiang pagar masuk ke kawasan perkuburan. Selain dari melayan kerenah mayat yang ada di tanah perkuburan, Pak Ayob juga terpaksa berhati-hati dengan kerenah mayat hidup yang suka sangat pinjam basikalnya. Kalau pinjam kemudian di pulangkan tak apalah juga, ini langsung tak nampak bayang. Pak Ayob buka pintu stor untuk mengambil cangkul, penyodok pasir serta beberapa peralatan untuknya menggali nanti serta beberapa gulung tikar mengkuang. Sambil dia menyusun peralatan tersebut di luar stor, dia terdengar lagi bunyi 'praakk', bunyi yang sama didengarnya ketika mengayuh basikal tadi. Tapi kali ini lain sikit sebab selain dari bunyi ada bau. Pak Ayob pandang sekeliling, tiada apa pula yang dilihatnya. Tiba-tiba dia rasa gatal di lututnya. Pak Ayob menggaru lututnya dan terasa ada koyak pada seluarnya. Baru Pak Ayob teringat yang bunyi 'praakk' itu sebenarnya bunyi seluarnya yang koyak di bahagian lutut itu. Dan bau yang tak menyedapkan itu ialah sebab Pak Ayob baru saja melepaskan bom atom yang berkumpul dalam usus besarnya.

Pak Ayob pikul peralatan menggalinya dan berjalan ke kawasan perkuburan. Pak Ayob melalui beberapa buah kubur. Ada yang berasap di tengah-tengah. Ada yang berasap di hujung, yang tak berasap pun ada banyak juga. Terkumat kamit mulut Pak Ayob membaca ayat suci Al-Quran sebagai pedinding diri. Ada juga kelihatan lembaga yang menakutkan bertenggek di kubur. Pak Ayob buat tak tau saja sambil mulutnya terus terkumat kamit membaca ayat-ayat Al-Quran. Lembaga yang sedang bertenggek di kubur tuannya dan kelihatan begitu menyeramkan, mengangkat tangan pada Pak Ayob sebagai tanda “hai” pada Pak Ayob. Pak Ayob angkat tangan sebagai membalas “hai” pada lembaga tersebut. Pak Ayob teruskan berjalan sambil berhati-hati bimbang kakinya tersadung akar pokok yang menjalar. Sampai di sebuah kubur, Pak Ayob terlihat satu lagi lembaga. Terang bercahaya lembaga ini menyinari laluan di tanah perkuburan itu. Lembaga itu tidak menakutkan malah cahayanya membantu penglihatan Pak Ayob melihat-lihat di atas tanah. Lembaga itu ialah tiang Lembaga Letrik Negara ataupun setelah melalui penjenamaan semula – Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada betul-betul di sebelah kubur itu.

Pak Ayob meneruskan lagi perjalananya menaiki sedikit cerun. Di situlah jenazah yang baru ini akan dikebumikan. Pak Ayob membaca sedikit doa sebagai memohon dijauhkan segala kesulitan ketika melakukan kerja-kerja menggali. Seperti sedia maklum, hal-hal kematian dan kubur selalunya dikaitkan dengan kisah-kisah misteri sebagai dugaan pada hambaNya. Ada juga yang mengatakan apa saja kesulitan dan kisah yang berlaku ketika dan selepas pengkebumian, ada kaitannya dengan kisah hidup si mati. Pak Ayob memang mengakuinya tapi tidaklah 100% kerana dia percaya ada yang terjadi sekadar kebetulan sahaja. Pernah pada satu ketika, keimanan Pak Ayob diuji dengan hebat.

Ketika itu hujan rintik, Pak Ayob bersama Lebai Hussin baru memulakan kerja-kerja penggalian. Pak Ayob yang berbaju Pagoda putih manakala Lebai Hussin pula berbaju hijau muda. Kedua-duanya sudah basah kuyup. Tanah merah yang berlecah terpercik di baju mereka. Sedang mereka berdua menggali tiba-tiba terpacul seekor harimau dari arah belakang kawasan perkuburan. Terkejut bukan kepalang Pak Ayob dan Lebai Hussin dan tercampak segala cangkul dan penyodok yang sedang dipegang. Manakan tidak, belum pernah lagi ada terdengar orang kampung kecoh pasal ada harimau di kampung mereka. Lagi pun kampung itu terletak berhampiran dengan pekan mana mungkin ada harimau di situ. Tapi yang peliknya, harimau itu tidak pula mengaum. Pak Ayob ketika itu berada di bahagian atas kubur hanya terkedu dan terkebil-kebil bila melihat harimau itu sekadar berdiri di tempat ianya keluar. Lebai Hussin pula yang berada di dalam lubang kubur, sudah terketar-ketar bimbang diterkam harimau yang entah dari mana datangnya. Harimau tersebut datang perlahan-lahan ke arah mereka berdua. Harimau itu tiba-tiba berdiri dan tersenyum dan berkata “Kotornya baju pakcik ni, nah, ambil ni serbuk pencuci Harimau Kuat, membersihkan kotoran degil dan akan kelihatan seperti baju baru”. Tercengang Pak Ayob dan Lebai Hussin. Sebaik saja harimau itu habis berkata-kata, ia pun beredar dan terus menghilang.

Iklan rupa-rupanya......

Pak Ayub meneruskan kerja-kerja menggali dengan begitu teliti. Pun begitu dia masih lagi dapat melihat asap berkepul-kepul dari satu kubur tidak jauh dari tempat dia menggali. Kemudian dengan mata kasarnya dia dapat melihat satu lembaga menakutkan muncul dari kepulan asap itu. Lembaga itu merangkak-rangkak dari satu kubur ke satu kubur. Lembaga itu kemudian berhenti di kubur yang terletak di sebelah kubur yang sedang Pak Ayob gali. Sungguh mengerikan sekali keadaan lembaga itu. Dengan wajah yang sudah koyak rabak menampakkan tulang pipi dan hidungya, Pak Ayob boleh lihat dengan jelas lembaga itu sudah 'nazak' keadaannya dan kalau di pukul dengan penyodok pun boleh terpelanting tulang temulang lembaga itu. Kemudian satu lagi kubur keluar asap berkepul-kepul. Sama juga seperti tadi, ada lembaga yang muncul dari kepulan asap tersebut. Lembaga itu tidak pula merangkak-rangkak seperti lembaga yang ada di depan Pak Ayob sebaliknya berjalan berdengkit-dengkit ke arah lembaga yang ada di depan Pak Ayob. Lembaga yang kedua ini juga tidak kurang hodohnya dengan lembaga yang pertama. Cuma lembaga yang berjalan berdingkit itu tadi ada memegang sebuah helmet 'full-face' di tangan kirinya yang hampir putus. Sambil-sambil Pak Ayob menggali lubang kubur, Pak Ayob menjeling ke arah dua lembaga tadi. Dan terdengarlah Pak Ayob perbualan dua lembaga itu :-

Lembaga 1 : Yo, brader. Mati jugak lu akhirnya kan. Wa ingat lu ni spesies liat nak mati.

Lembaga 2 : Eh Mat. Lu lupa ke lu yang buat wa accident kelmarin kan..?

Lembaga 1 : Oh ye ke, lupa pulak. Tu lah, gua selalu nampak lu rempit kat jalan hujung kampung tu. Wa rilek je perhatikan lu sambil bertenggek kat batu tepi jalan tu. Wa dah agak dah, satu hari nanti lu mesti mati menyayat hati punya. Tengok, mati pun nak bawak helmet ke bro?

Lembaga 2 : Tu lah mat. Kalau lu tak kacau gua rempit hari tu, mesti gua tak teruk cam ni tau. Lu arr..tiba-tiba melintas jalan masa gua tengah baeeeek punya lipat kat selekoh tu. Mana tak terpelanting. Time tu lah pulak lori ikan lalu gelek gua. Lu tau mat helmet ni gua baru beli sehari sebelum gua mati tau. Tu pun sebab gua dapat duit menang race.

Lembaga 1 : Tu lah bro. Wa dah banyak kali kasi lu isyarat, peringatan supaya lu berenti rempit-rempit ni bro. Lu buat 'derk' je. Wa kacau lu sekali, lu buat bodo. Wa kacau lu 2 kali, lu cabar gua, Wa kacau lu kali ketiga wa ingat lu akan berenti, haram lu nak berenti kan. Lepas tu apa lagi, wa pun sergah ar lu, baeeekk punya melintas. Hah sekarang, ambik kau, mati pun nak bawak helmet. Nasib baik tangan tu tak putus lagi. Cuma perut lu je yang terburai kan.

Lembaga 2 : tu lah mat. Wa pun nyesal gila nih. Tak sempat nak taubat.

Lembaga 1: Selain rempit, apa lagi lu buat bro?

Lembaga 2: (termenung menyesal) banyak arr mat wa buat. Tapi semua tu benda tak baik. Masa wa umur 15 tahun, wa pernah rogol budak kampung sebelah. Masa tu wa ikut brader senior sekolah gua. Biasa arr bro, wa masa tu baru akhil baligh kan. Wa belasah arr budak tu sampai 3 round. Wa betul nyesal mat. Tadi wa kene himpit dengan tanah, sakit mat...banyak pulak ular berbisa dalam tu. Ada yang kepala tiga, kepala dua. Aduuh mat....sakit wa.

Lembaga 1 : Itu baru kubur bro, belum kat neraka. Sekarang lu dah mati, tak leh buat ada dah bro. Tawakkal pun tak leh gunapakai dalam kubur ni. Doa mak bapak pun dah tak sampai dekat lu bro.

Lembaga 2: (menangis) ada lagi mat. Sebulan sebelum wa mati, wa ikut brader senior tu pergi pecah rumah ketua kampung. Wa dapat sapu rantai emas bini dia. Pas tu wa gadai rantai tu dapat RM800. Lepas tu wa balik, wa tengok mak wa demam. Wa pun bawak dia pergi klinik. Wa bayar ubat dia dengan duit gadai rantai tu. Bila mak wa tanya mana wa dapat duit, wa kelentong arr dia yang wa keje cuci kereta dapat upah sikit. Kalau mak wa tau duit yang wa beli ubat tu duit haram mat, mesti dia kencing kat kubur wa punya. (menangis meraung).

Lembaga 1 : Ishh..serius betul salahlaku lu ni bro. Tapi bro, takkan lah emak lu yang mengandungkan lu 9 bulan dan menyabung nyawa melahirkan lu nak kencing kat kubur lu pulak. Wa rasa Tuhan balas perbuatan lu tu kat lu aje bro. Lu tau kan, mak lu tu kuat pegangan agamanya. Tapi wa pelik gak bro, apasal lu ikut perangai setan ah? Apsal lu tak ikut macam mak lu?

Lembaga 2: (masih lagi menangis) Mat, panjang cerita, mat.

Lembaga 1 : Kasik pendekkan aje lah bro...

Lembaga 2 : Masa wa umur 12 tahun wa baik mat. Wa duduk asrama sekolah agama. Wa terkenal dengan ke'terer'an gua mengaji, tahfiz dan hal-hal agama ni. Memang wa cemuh arr gejala sosial ni. Masa wa umur 15 tahun, bapak wa meninggal, wa disuruh balik kampung sebab mak wa tingal sensorang. Jadi wa dengan berat hati, wa tinggalkan asrama sekolah agama dan tukar sekolah kat kampung ni. Dari situ, wa kenal dengan budak-budak kampung sebelah. Mula-mula iman wa tebal mat. Apa yang diorang ajak buat, wa mengelak aje. Lama-lama tu, iman pun tipis. Wa cuba-cuba aje hisap rokok, lepas tu hidu gam. Bila dah laluk mat, wa rasa kepala ringan dan apa wa buat pun syok aje. Wa pun dah mula liat arr nak sembahyang kan. Mula-mula tinggal subuh, lepas tu zuhur lepas tu asar lepas tu langsung tak buat. Tahfiz langsung arr wa dah tak practice. Wa asyik practice buat pacak je. Mak wa marah wa, wa marah mak wa balik, mat. Bila wa tak de duit, wa mintak mak wa. Bila mak wa tak kasi, wa tendang pintu sekuat hati. Tak kiralah pintu umah, pintu bilik, pintu bilik air asalkan pintu. Sampai pintu bilik air pecah tak berganti, masuk bilik air pun tak payah nak tutup pintu. Sebab tu masa wa bayarkan bil klinik tu, dia ingat wa dah jadi baik. Mat, wa nyesal gila mat...nyessssaaalll......(meraung).

Lembaga 1: Nak buat macam mana bro. Lu dah mati. Nyesal pun tak guna. Lu tunggu lah kiamat nanti, lu kena timbang, pas tu lau pikir arr sendiri ekk.. Bro, nanti kita ada jiran baru tau. Mamat tu baru je meninggal tadi. Accident jugak. Tu pun hebat gak. Buat maksiat macam buat roti canai. Lepas satu perempuan, satu perempuan dia tebar. Sebelum dia mati, kawan wa ada menyamar jadi perempuan tua 'slow talk' dengan dia tapi dia belasah kawan wa tu. Sekali tu kawan wa dapat arahan dari bahagian atasan suruh belasah dia balik. Kawan wa pun turut perintah je beb. Tidak lambat dan tidak awal sesaat pun, bro. Ok lah bro. Lu nak nangis ke, lu nak meraung ke, lu masuk arr balik kubur lu bro. Kejap lagi ramai orang hidup nak datang.

Lembaga 2 : Mat, sebelum wa balik, wa nak tanya. Lu mati sebab apa ah?

Lembaga 1 : Wa mati sebab dah ajal gua bro. Itu yang pasti lah. Wa bukan lah riak bro, tapi sebelum wa mati, alhamdulillah wa sempat juga mengucap, wa sempat minta maaf dengan mak bapak gua. Wa sempat lagi bayar zakat last call gaji gua hari tu. Tapi....(tersedu sedan menangis) satu je wa tak sempat nak buat. Wa tak sempat nak pergi umrah.Sepatutnya esok wa punya flight pergi Mekah buat umrah 2 minggu. Tapi Izrail dah datang jemput gua bulan lepas. Wa serah nasib kat Tuhan je bro..

Pak Ayob : Ahh..sudah lah tu, masuk le kubur masing-masing. Dah ada orang datang tu. Nanti malam esok sambung lah borak lagi. Jangan lupa ajak jiran baru kau ni nanti.

Lembaga 1 & Lembaga 2 : Baik Pak Ayob. Kami balik dulu ya..

Lembaga 1 : Pak Ayob sebelum terlupa, nanti pesan dengan anak Pak Ayob jangan lupa pulangkan basikal saya ya.

Pak Ayob : (Gulp!) err..ok ok...

Pak Ayob mengemaskan kawasan liang lahad dan mengalihkan peralatan yang digunakan tadi. Pak Ayob bentang tikar mengkuang untuk digunakan oleh Pak Imam dan waris si mati duduk membaca talqin. Sambil menunggu jenazah tiba, Pak Ayob membaca ayat-ayat Al-Quranul Karim sebagai sedekah kepada mukminin dan mukminat dan muslimin serta muslimat. Pak Ayob pohon agar dipermudahkan segala urusan harian dan sentiasa disinari cahayaNya serta rahmat dariNya. Amin amin ya rabbanal al-amin.

Comments

Popular Posts