Tijah The Series Episode 9 - Airmata Kasih

Tijah kunci pintu rumahnya baik-baik kemudian merapatkan pula pintu jerijinya, lantas mengatup kunci mangga sebesar penumbuk. Tijah menuruni tangga sesopan mungkin agar tidak tersalah langkah atau terjatuh. Sebaik Tijah masuk ke dalam kereta, dia memasang 'handsfree' pada handphonenya. Dia merancang untuk menelefon emaknya pada pagi yang indah ini sambil memandu ke tempat kerja nanti. Tijah bercadang untuk balik hujung minggu ini, bertujuan memaklumkan penolakannya secara rasmi cadangan emaknya hendak mengahwinkan Tijah dengan Faizul. Tijah mula membayangkan betapa bertambah seri warna hidupnya bila Azlan sudah bergelar suaminya nanti. Tergelak sendirian Tijah bila terkenangkan Azlan yang dari kecil dikenalinya itu bakal menjadi suaminya, dengan izinNya. Dari pelbagai spesies lelaki yang pernah menjadi kekasihnya – Mat Saleh pun ada, lelaki Cina pun ada, lelaki Melayu pun oleh tahan juga, akhirnya bekas Mat Rempit itu juga yang menjadi pilihan. Benarlah kata orang cinta sejati itu jika benar milik kita, jauh mana pun kita pergi, di celah batu mana pun kita menyorok, ianya akan tetap datang pada yang berhak.
Tijah terdengar suara emaknya di talian.
“Assalamualaikum,”
“Wa'alaikumsalam mak,”
“Tijah sihat? Paginya telefon mak ni?”
“He he he..Tijah sihat mak, alhamdulillah. Tijah nak bagi tahu mak ni Tijah ingat nak balik minggu ni,”
“Eh, sejak bila pulak Tijah kena bagi tahu mak yang Tijah nak balik? Tijah kan anak mak, rumah di kampung ni kan rumah Tijah, balik aje lah,”
“He he he..ye. Tahu, maksudnya, mak kena masak sedap-sedap lah untuk Tijah nanti,”
“Ye, itu mak faham dah. Tijah balik sorang ke?”
“A'ah sorang saja. Azlan ada aktiviti hujung minggu ni, tak dapat nak joint Tijah balik,”
“Emm..ye lah. Baik-baik memandu tu Tijah,” Mak Som mengakhiri perbualan dengan anak tunggalnya. Lega sedikit hati Tijah dapat bercakap dengan emaknya pagi ini. Walaupun hanya sekadar memberitahu hendak balik kampung hujung minggu ini, itu sudah cukup membuatkan sebahagian dari serabut di otaknya berkurangan. Kedengaran lagu 'I'll Be There For You' di corong radio nyanyian Jon Bon Jovi dan Tijah menekan butang 'volume' untuk mendengar lagu tersebut dengan lebih jelas. Berlagu riang Tijah pagi itu seperti berada di taman kencana, dikelilingi bunga-bunga indah dan pohon-pohon redup rendang menghijau. Tapi Tijah berasa sangat panas walaupun dia berada di alam fantasi. Baru Tijah teringat dia terlupa nak tekan butang penghawa dingin keretanya. Pecah segala lamunan, angan taman kencana Tijah. Tijah menghitung kurang dari 48 jam saja lagi untuk dia menamatkan konflik cintanya ini. Selepas 48 jam ini, Tijah amat berharap tiada lagi bayangan Faizul dalam hidupnya. Tiada lagi dilema cinta dan tiada lagi gangguan tengah malam dari Faizul yang bertopeng maaruf itu. Tijah kira lagi, selepas 48 jam ini, hidupnya akan bertambah seri bila cintanya dengan Azlan bakal diikat dengan talian hayat yang sah. Tijah terus terusan merancang hidupnya sambil memberi tumpuan di jalanraya ketika memandu dan semakin hampir dengan bangunan pejabatnya. Fikiran Tijah menerawang tentang tempat kerjanya pula. Sudah hampir seminggu Lelaki Tingkat 2 menerajui syarikat Mr K. Lantas, Tijah terkenang pula akan isteri Lelaki Tingkat 2 yang sombong itu. Tijah teringat kembali bagaimana kelam kabutnya isteri Lelaki Tingkat 2 itu menuruni tangga apartmentnya malam tadi. Bagi dikejar hantu pun ada. Lantas Tijah terfikirkan sesuatu. Entah-entah dia pergi rumah skandalnya, fikir Tijah. Ish, jahatnya aku ni, Tijah menafikan pada dirinya sendiri. Tijah pun tak faham kenapa insiden kelam kabut itu menarik perhatiannya sehinggakan dia membuat andaian sendiri. Padahal bukannya kes berat pun orang turun tangga apartment dalam keadaan kelam kabut. Tapi jauh di sudut hati Tijah dia masih tak berpuas hati dengan insiden itu. Dia masih ingin tahu, rumah siapakah isteri Lelaki Tingkat 2 itu pergi malam tadi?


*****************************


Tijah memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Esok pagi dia akan bergerak memandu pulang ke kampung sendirian. Tijah keluarkan blaus ungu pemberian Azlan dan menggantungnya di luar almari untuk dipakainya esok. Tijah harap blaus ungu itu akan menjadi pengubat rindunya kepada Azlan. Tijah tidak sempat nak berjumpa dengan Azlan petang tadi kerana Azlan sedang sibuk dengan persiapan acara charity race yang akan berlangsung Ahad nanti. Tijah pun tidak mahu ganggu tumpuan Azlan kerana itu juga adalah sebahagian dari tugasnya juga. Sambil mengemas pakaiannya, Tijah berdoa agar Faizul tidak mengganggunya malam ini agar Tijah da;pat tidur dengan lena. Tak sampai 5 saat, handphone Tijah dah bergetar. Terduduk Tijah di birai katil bujangnya sambil menepuk dahi. Baru tadi dia berfikir tentang Faizul dan harap tidak akan diganggu dengan panggilan telefon dari Faizul. Sekarang sudah terpacul panggilan telefonnya pula. Ini baru betul telepati, kata hati Tijah. Tijah masih lagi memegang handphonenya yang masih bergetar menanti untuk dijawab. Dengan rasa menyampah, berat hati dan bercampur dengan kasihan, Tijah lembutkan hatinya juga untuk menjawab pangilan telefon Faizul.
“Hello my dear,” Faizul memulakan bicara. Macam nak muntah Tijah mendengar Faizul dengan mukadimahnya.
“Hmm, apa awak nak?”
“Amboi, sombongnya dengan bakal suami. Takkan bakal suami tak boleh nak telefon bakal isteri?” Sekali lagi macam nak muntah Tijah bila Faizul menyebut 'bakal suami' dan 'bakal isteri'. Kali ini bukan setakat nak muntah, batuk, selsema, sembelit dan nak pitam pun ada. Gila ke Faizul ini tak semena-mena mengaku dirinya bakal suami Tijah dan mengaku Tijah bakal isterinya? Bukankah Tijah sudah nyatakan yang dia tidak akan menerima cadangan orang tuanya untuk disatukan dengan Faizul. Bahasa apakah yang perlu aku ucapkan untuk kasi dia faham, bentak hati Tijah kegeraman.
“Excuse me, Cikgu ooppps .. En Faizul. Tak ada bakal suami atau bakal isteri di sini. Tolong ya, saya ada hal saya sendiri dan awak boleh teruskan berangan malam ni – tapi cari orang lain ya. Bukan dengan saya,” balas Tijah. Marah, geram, menyampah, bengang dan apa saja ekspresi gelombang negatif sedang perlahan-lahan meresap dalam badannya. Tijah terdengar Faizul ketawa jahat di sebalik talian.
“I have a surprise for you tomorrow night,” Faizul masih tidak putus asa terus menyakitkan hati Tijah. Huh, surprise? Suka hati kaulah Faizul, kau surprise lah seorang diri malam esok, Tijah berkata dalam hati.
“Bye,” Faizul mengakhiri perbualan telefon dengan nada suara nakal ; ada juga nada mengejek. Tijah jelir lidahnya ke handphonenya seolah Faizul boleh melihat Tijah mengejeknya. Geram Tijah yang teramat sangat dengan Faizul yang hanya mementingkan diri sendiri. Tijah rasa nak menjerit sekuat hatinya. Lantaklah apa jiran sebelah menyebelah fikir tentang Tijah. Nak kata Tijah histeria pun, suka hati jiran tetanggalah asalkan hati Tijah puas dapat meluahkan rasa geramnya. Baru saja Tijah nak menjerit dan dengan mulutnya yang masih ternganga luas dan sambil mengenggam tangannya, ada satu lagi panggilan telefon masuk. Dengan mulutnya yang masih ternganga luas, dilihat 'private number' terpapar di skrin handphonenya. Tijah rapatkan mulutnya kembali dan tidak jadi hendak menjerit sambil matanya memandang skrin handphonenya. Tidak pula Tijah ketahui siapa di antara rakan-rakannya yang menggunakan 'private number'. Tijah tekan butang 'yes' dan menjawab panggilan tersebut. Malangnya panggilan tersebut terputus. Tijah mula menuduh Faizul yang mungkin hendak mengganggunya lagi dengan menggunakan nombor lain pula. Tiada lagi perkara yang baik tentang Faizul di mata dan kepala Tijah. Mahu saja dia menelefon Azlan untuk mengadu tentang Faizul. Mahu saja Tijah suruh Azlan berjumpa dengan Faizul dan memberitahunya agar jangan ganggu Tijah lagi. Tapi bila difikirkan baiknya tiada, buruk saja bakal menimpa, Tijah batalkan hasratnya. Lebih baik Tijah mengadu pada emaknya esok, macam budak-budak pula Tijah rasakan nak mengadu pada emak. Tijah zip beg pakaiannya dan letakkan di tepi almari pakaiannya. Tijah keluar ke ruang tamu dan membuka daun pintu untuk memeriksa kembali kunci mangga pintu jerijinya sudah dikatup atau belum sebagai langkah memastikan keselamatannya di rumah. Kemudian Tijah terdengar bunyi bising dari unit sebelah. Macam orang bergaduh pun ada, bergurau pun ada. Seingat Tijah jiran yang tinggal di unit sebelahnya ialah seorang lelaki Cina yang tinggal berseorangan. Bukan selalu pun Tijah dapat berjumpa dengan jiran-jirannya itu. Namun disebabkan Tijah ini seorang yang peramah, maka hampir seluruh jiran yang tinggal di tingkat yang sama mengenali Tijah. Mungkin ada tetamu di rumahnya, fikir Tijah. Sesudah memastikan kunci mangga pintu jerijinya sudah dikatup, Tijah merapatkan kembali daun pintu dan menguncinya dengan baik. Tijah pandang keliling rumahnya. Sungguh Tijah tak sangka yang unit apartment kos sederhana ini berjaya juga dimilikinya dengan titik peluh sendiri. Dengan menggunakan sebahagian dari wang simpanan arwah ayahnya, dapatlah dia membayar wang pendahuluan untuk membeli rumah ini. Tijah kira-kira dengan jarinya, ada lagi 3 tahun untuk dia melangsaikan hutang pinjaman rumahnya itu. Tijah berkira-kira lagi, selama 3 tahun ini, dia hanya bersendirian di rumah ini dan tak lama lagi ada Azlan yang akan menemaninya. Ahhh...indahnya hidup ku nanti, angan Tijah sambil melangkah di bilik tidurnya. Tijah masih lagi mendengar suara lelaki dan perempuan dari unit sebelahnya. Ada suara menjerit sakit, di selang seli dengan suara mengeram. Sesekali terdengar ketawa suara lelaki. Pelik betul Tijah dengan jirannya malam ini. Bergaduh ke bergurau, sama saja bunyinya. Lebih baik aku tidur, fikir Tijah dan menarik selimutnya. Terus Tijah pejamkan mata dan berdoa agar segala urusannya esok dipermudahkan. Bunyi bising dari unit sebelah semakin hilang di bawa malam ; dan Tijah terasa dia di bawa ke taman kencana lagi.


********************************


Tijah pandu perlahan-lahan masuk ke simpang kawasan kampungnya. Di tengah jalan dia nampak Budin bersama isterinya menaiki motor. Tijah tekan hon dan melambai-lambai ke arah mereka. Budin melambai kembali dan isterinya sekadar memandang sambil tersenyum. Melihatkan isteri Budin tersenyum, teringat Tijah akan Faizul yang juga abang kepada isteri Budin. Nasib kau tak jadi ipar aku, kata Tijah sendirian. Tijah pandu berhati-hati bimbang ada kanak-kanak yang melintas jalan. Tijah belok ke kawasan rumahnya dan melihat ada beberapa jiran wanita sebaya emaknya di tepi rumah, sedang melakukan sesuatu. Pelik juga Tijah takkan lah nak masak untuk Tijah pun sampai panggil orang kampung tolong. Tijah nampak emaknya sedang berkata sesuatu pada kumpulan wanita tersebut lantas menekan hon keretanya. Mak Som tersenyum lebar menyambut anak tunggalnya pulang. Tijah salam dan cium tangan Mak Som dengan hati yang tertanya-tanya. Sambil mengusap-usap kepala Tijah, Mak Som ajak Tijah masuk ke rumah. Tijah sempat jeling ke bahagian tepi rumahnya di mana sekumpulan wanita tadi duduk. Ada yang sedang mengopek bawang, ada yang sedang memotong sayur, ada yang sedang menyiang ayam dan ada juga yang duduk memerhati saja yang lain bekerja. Seperti ada acara memasak untuk kenduri saja situasinya. Mak Som masih lagi tersenyum di sisi anaknya yang masih tertanya-tanya di dalam hati.
“Jah, kenapa tak bagi tahu mak terus?” Mak Som memulakan bicara. Hanya mereka dua beranak saja yang ada di dalam rumah itu.
“Hah, kan kelmarin Tijah dah bagi tahu mak yang Tijah nak balik minggu ini, mak lupa ke?” balas Tijah. Sedikit pelik kerana emaknya sudah menjadi seorang pelupa.
“Itu mak tahu. Mak ingat. Maksud mak, kenapa Tijah bagi tahu Faizul saja, tapi tak bagi tahu mak sekali yang Tijah setuju dengan hal ini?”

Faizul? Dan tak bagi tahu emak? Arggghhh, Tijah semakin keliru dengan persoalan emaknya dan bertambah geram bila nama Faizul dikaitkan dengan kepulangannya. Tijah pejam matanya dan menarik nafas dalam-dalam sebagai terapi menenangkan diri.
“Mak, apa mak cakap ni? Bagi tahu Faizul apa?” Tijah cuba mencari jawapan. Tersengih Mak Som dengan keletah anaknya. Mak Som sangka mungkin Tijah malu hendak memberitahunya tentang cadangannya.
“Jah tak perlulah malu kepada emak. Hajjah Maimunah telefon mak malam tadi. Dia bagi tahu mak yang Tijah ada berjumpa dengan Faizul dan bersetuju dengan cadangan kami berdua nak satukan Tijah dengan Faizul. Kata Faizul lagi, Tijah serahkan pada Faizul untuk segala hal merisik, meminang dan bertunang.Si Faizul pula, tak sabar dan terus menyuruh emaknya buat segala urusan tu malam ini bila dapat tahu yang Tijah nak balik hari ini,” terang Mak Som. Tijah terjelepok ke lantai kayu rumah emaknya itu. Fikiran Tijah gelap seketika. Pandangan Tijah berbalam-balam. Ada segumpal perasaan yang tidak diketahuinya apakah perasaan itu meluap-luap di dadanya. Tijah rasa wajahnya sudah panas menahan api kemarahan dari keluar tersembul dari mulutnya. Jika api kemarahan itu mampu disembul dari mulutnya, sudah pasti Tijah akan mengukir sejarah. Tijah bakal dikenali sebagai Tijah The Dragon pula. Tijah beristighfar di dalam hati. Mak Som sedikit kelam kabut dan sedikit pelik dengan telatah anaknya hari ini. Dipegangngya bahu Tijah dan menampar manja pipi anaknya. Bimbang Tijah pengsan pula sebab dari tadi tidak bergerak. Tijah pandang wajah emaknya dengan ekspresi kekecewaan.
“Mak....,” Tijah cuba untuk berkata sesuatu tapi tekaknya seperti tiada suara. Mak Som yang tadinya berwajah gembira kini berubah menjadi pelik.
“Tijah, kenapa ni?”
“Mak, Tijah balik ni nak bagi tahu emak yang Tijah tak mahu disatukan dengan Faizul,” Tijah mencari kekuatan untuk meneruskan ayatnya.
“Faizul bohong mak. Tijah tak cakap dengan dia yang Tijah setuju. Faizul bohong mak,” Tijah sudah mampu untuk bersuara. Kali ini, suaranya diiringi airmata. Sungguh Tijah tidak menyangka buruk sekali sikap Faizul yang memutarbelit cerita dan memerangkap dirinya dalam misi kotornya itu. Mak Som yang tadi sekadar melutut, turut duduk terjelepuk di sisi Tijah dan mengeluh. Mak Som masih lagi merasa pelik dengan anaknya. Malam tadi, Hajjah Maimunah kata Tijah yang beria-ia memberitahu Faizul yang dia setuju disatukan. Pagi ini, setelah jauh memandu tup!tup kata Faizul bohong pula. Mana satu yang hendak Mak Som percaya. Keliru Mak Som dibuatnya.
“Jah, apa yang Jah cakap ni. Hajjah Maimunah yang kata Jah beria-ia menyuruh Faizul merisik dan meminang Jah,” Mak Som sudah mula mengalirkan airmata tatkala melihat airmata anaknya berjurai-jurai tanpa henti. Tersedu sedan Tijah cuba menceritakan perihal Faizul. Tijah tiada pilihan lagi untuk memberitahu emaknya yang Faizul sendiri mengaku yang dia setuju dengan cadangan emaknya kerana hendak mewarisi harta arwah ayah Faizul. Dalam tangis sendu itu, Tijah tiada pilihan untuk terus bercerita yang Faizul bukanlah seperti yang emaknya lihat dan tidak seperti apa yang Hajjah Maimunah gambarkan. Dalam tangis sendunya itu juga Tijah mohon kepada emaknya agar menolak pinangan Faizul. Mak Som tidak berdaya untuk berkata apa-apa dan memeluk erat anak tunggalnya. Ketika dalam pelukan emaknya, Tijah teringatkan Azlan. Tijah tiada pilihan lagi. Tijah mesti suarakan perasaan hatinya yang sebenar. Tijah lepaskan pelukan Mak Som dan memandang wajah sayu emaknya.
“Mak, Tijah balik ni nak bagi tahu mak tentang Tijah dan Azlan,” bertambah keliru ekspressi wajah Mak Som.
“Mak, Tijah nak bagi tahu yang Tijah dan Azlan dah bersetuju untuk berkahwin, mak.” Ternganga mulut Mak Som mendengar pengakuan Tijah. Kali ini giliran Mak Som pula kelu tak bersuara. Mak Som sungguh tak menduga yang Tijah dan Azlan ada menyimpan perasaan. Mak Som sungguh tak menduga yang Tijah akan memilih Azlan sebagai pasangan hidupnya. Mak Som pandang wajah anaknya dalam-dalam. Wajah suci anaknya mengingatkannya pada arwah suaminya yang kembali ke rahmatullah sekian lama. Andai arwah suaminya ada di ketika ini, sudah pasti arwah suaminya akan membela nasib Tijah. Pada arwah suaminya, Tijah adalah kebahagiannya. Bahagia Tijah adalah bahagia mereka bersama. Duka Tijah, adalah duka mereka bersama. Mak Som tak sanggup lihat anaknya berduka. Mak Som mula memikirkan cara untuk menangguhkan rombongan meminang oleh pihak Faizul nanti.
“Mak, Tijah minta maaf mak. Tijah minta maaf kalau apa yang Tijah cakapkan tadi buat mak kecewa dan marah pada Tijah”,
“Tidak nak, mak tak marah. Mak tak kecewa. Tijah lebih penting pada mak sebab mak yang lahirkan Tijah. Darah daging mak. Hajjah Maimunah tu orang luar. Mak tak kisah kalau dia nak marah mak asalkan anak mak tidak dipergunakan”, bela Mak Som. Tijah peluk kembali emaknya dan meluahkan rasa syukur kerana segalanya telah terungkai. Drama sebabak itu rupanya telah disaksikan oleh Mak Yam yang secara kebetulan yang sedang mencari Mak Som di dalam rumah. Menitis airmata Mak Yam bila mendengar pangakuan Tijah tentang hasratnya untuk berkahwin dengan Azlan. Akhirnya hasrat dan doa Mak Yam hendak bermenantukan Tijah dimakbulkan Tuhan. Mak Yam teringat yang Azlan juga ada meluahkan hasratnya melalui telefon malam tadi. Tapi Mak Yam rasa serba salah tentang persiapan majlis untuk malam ini. Mak Som yang menyedari Mak Yam berdiri di muka pintu, menjemput Mak Yam masuk.
“Som, aku dah dengar semuanya, Som”, Mak Yam bersuara. Airmata Mak Yam masih lagi menitis ; kegembiraan dan kesedihan. Gembira kerana doanya termakbul. Sedih kerana ada hati yang bakal terluka nanti. Tijah menghampiri Mak Yam dan memeluknya pula. Mak Som bertambah sebak bila mengenangkan Mak Yam yang sudah sekian lama dikenalinya, bakal berbesan dengannya.
“Yam, aku kena selesaikan hal Hajjah Maimunah ni dulu. Kemudian baru aku boleh bincang hal anak-anak kita,” luah Mak Som. Tijah melepaskan pelukannya dan menarik tangan Mak Yam duduk disebelah emaknya. Mak Yam angguk tanda setuju dan menghormati pandangan Mak Som. Mereka bertiga berbincang dari hati ke hati. Mak Som meminta pandangan Mak Yam tentang hal malam ini – cara yang terbaik untuk menolak pinangan Faizul. Mujur majlis itu diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Mak Som hanya menjemput ketua kampung, Haji Kasmin dan isterinya Hajjah Bedah untuk mengetuai majlis bagi pihak perempuan. Selebihnya beberapa jiran terdekat itu pun kerana Mak Som memohon bantuan mereka menyiapkan sedikit juadah. Sempat lagi Tijah berpesan kepada kedua orang tua itu agar tidak menghebahkan tentang Faizul bagi menjaga nama baik Hajjah Maimunah. Sudah tentu kedua wanita separuh umur sedia maklum tentang itu. Tijah mohon diri untuk masuk ke bilik. Mak Yam dan Mak Som masih lagi berbincang bagaimana hendak memaklumkan pada Haji Kasmin nanti. Tijah biarkan kedua-duanya berbincang sambil dia duduk berteleku di birai katil di dalam biliknya. Tijah berdoa agar malam ini tiada perselisihan faham di antara Hajjah Maimunah dengan emaknya.Tijah terus berdoa agar segala urusan pada malam ini di permudahkan olehNya. Tijah teringat kata-kata Faizul malam tadi, 'I have a surprise for you tomorrow night'. Barulah Tijah mengerti maksud kata-kata itu. Ini memang rancangan Faizul durjana. Malang sekali, Faizul pula yang akan mendapat surprise malam ini, kata hati Tijah. Tijah kuak tingkap biliknya dan melihat ke rumah Mak Yam. Dia terbayangkan Azlan melambai-lambai dari serambi rumahnya. Tijah sudah mula rindukan Azlan tapi tidak mahu menganggu Azlan pada ketika ini. Tijah sendiri pun belum bersedia untuk berbicara dengan Azlan dengan suara selepas menangis. Jauh fikiran Tijah menerawang sehinggakan Mak Som yang berada di sebelahnya pun Tijah tak perasan, Tijah kesat matanya yang masih basah dan hidungnya dengan kertas tisu. Mak Som gosok bahu Tijah sebagai tanda memujuk anaknya yang sedang berduka.
“Jah, mak macam tak percaya aje bila Jah ceritakan pasal Faizul, betul ke Jah? Jah ada saksi, ada bukti?”. Tijah capai handphonenya dan mencari kembali SMS Faizul yang berbaur lucah dan ditunjukkan pada emaknya. Tijah terangkan pada emaknya mana-mana perkataan yang menggunakan ejaan ringkas agar emaknya lebih faham. Mak Som menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Lagi satu mak. Azlan pun ada siasat latar belakang Faizul. Kebetulan adik kawan Azlan pernah bertunang dengan Faizul dan baru putus tunang 3 bulan lepas. Mak ingat tak mak pernah bagi tahu Tijah yang Faizul pernah putus tunang 5 tahun lepas? Tapi kawan Faizul kata 3 bulan lepas adik dia putus tunang dengan Faizul, mana satu ye mak?” Mak Som mula terfikir akan kata-kata Tijah. Memang itu yang Hajjah Maimnah katakan padanya dahulu. Mak Som tidak salah dengar.
“Mak tak salah dengar Jah. Memang Hajjah Maimunah kata dah 5 tahun putus tunang tak ada pengganti. Tak apalah Jah, kita tawakkal sajalah pada Allah tentang ini semua. Mak dah bincang dengan Mak Yam kamu dan dia akan berjumpa dengan Haji Kasmin lepas Zohor nanti untuk maklumkan hal ini. Pandai-pandailah kami orang tua uruskan. Dah lah Jah jangan risau. Mak tak mahu seri muka anak mak ni hilang nanti”, pujuk Mak Som sambil memeluk bahu anaknya. Jauh di sudut hati Mak Som rasa bersalah juga kerana tidak bertanya tentang ini terlebih dahulu malam tadi. Hanya jika Mak Som bertanya dengan Tijah terlebih dahulu benar atau tidak dakwaan Hajjah Maimunah malam tadi, sudah tentu kekusutan ini tidak menjadi. Mak Som pejamkan matanya dan bersyukur kerana Tuhan masih lagi memberikannya peluang untuk menyelamatkan anaknya. Perlahan-lahan Mak Som terbayangkan wajah arwah suaminya yang sedang tersenyum dan Mak Som turut tersenyum, di sisi Tijah yang sedang merindui Azlan.

Comments

Popular Posts