Secubit rasa – bercerita atau mengumpat?

Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Sudah hampir 3 minggu tidak berblogging, sejak Tijah The Series berakhir pada Januari lalu. Bukanlah tiada luahan hati cuma adakalanya 'angin' tak berapa baik dan maka luahan hati pun berkisar kepada perkara negatif saja. Jadi, lebih baik tidak meluahkan apa-apa bimbang nanti blog saya pula di'gam'.

Sekarang angin sudah di tahap neutral dan boleh meluahkannya dengan baik. Insyallah, mudah-mudahan kita mendapat iktibar.

Lumrah dua manusia bila bertemu, ada saja yang nak diceritakan. Dari hal dunia, politik, masuk pula kisah artis. Paling tidak kisah keluarga masing-masing. Jarang sekali dua manusia bercerita tentang kucing beranak tepi jalan tak ada orang peduli. Lebih kerap lagi orang bercerita pasal rumahtangga si anu yang begitu begini.

Tidak kira lelaki atau perempuan. ada saja kisah menarik dibualkan. Bermula dari berbual kosong, bila masuk satu topik menarik, seronok pula, langsung jadi cerita. Bila dah bercerita, lupa pula tatasusilanya akhirnya jadilah mengumpat.

Saya ada satu 'penyakit' baru dan saya semakin bimbang dengan penyakit ini. Penyakit tersebut ialah, sakit hati. Saya sakit hati bila terdengar ada orang mula bercerita pasal orang lain. Bertambah sakit hati bila bukan sekadar bercerita untuk tauladan, tapi lama kelamaan, saya mendapati bercerita itu telah bertukar menjadi mengumpat. Lantas menimbulkan rasa keji dan jadilah ia UMPAT KEJI.

Mungkin pada manusia yang sedang bercerita itu, apa yang dibualkan hanyalah sekadar bercerita tentang adik beradik, suami, anak-anak, mertua dan ipar duai. Tapi kalau bercerita sampai lupa batas-batas berbual dan lupa yang perkara itu boleh terkena pada batang hidung sendiri, maka saya tidak rasa itu sekadar BERCERITA. Saya percaya itu sudah menjadi mengumpat.

Akibat dari terdengar dua manusia ini bercerita pasal orang lain, hati saya sudah mula menunjukkan simpton 'sakit hati'. Sebelum simpton 'sakit hati' menjadi parah akibat hasutan syaitan, saya terpaksa beredar dari situasi itu dengan harapan, simpton sakit hati akan terhenti serta merta. Jika tiada plihan untuk meninggalkan situasi tersebut, saya redha dan menahan sakit hati ini dengan mendengarnya sebagai tauladan. TIDAK sekali-sekali saya membawa cerita yang terpaksa saya dengar tadi kepada orang lain. Kerana saya bimbang, jika saya mula bercerita, ia mungkin akan berakhir dengan MENGUMPAT juga.

Adakalanya saya cuba tegur mereka yang sedang rancak bercerita ini kerana saya boleh agak lama kelamaan ia akan menjadi umpat keji. Tapi, saya tidak berdaya kerana yang bercerita itu adalah mereka yang lebih berilmu dan berumur dari saya. Ilmu yang dimaksudkan bukanlah ilmu alam atau ilmu hisab, tapi ilmu Allah. Sekadar berdoa mudah-mudahan dia segera berhenti.

Adakalanya, bila terlalu sedap mengumpat, kita terlupa pula kehadiran waris orang yang diumpat. Sudah tentu si waris berkecil hati, malu dan mungkin boleh berlaku perselisihan faham.

Al-Humazah! (pengumpat) Celakalah (azablah) untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela (Al-Humazah ayat 1)

Sudah menjadi lumrah manusia juga, yang di larang itu lagi seronok dibuat. Tapi tidakkah mereka terfikir, kalau mereka sendiri tidak malu hendak bercerita tentang hal orang lain, nanti ada orang lain pula yang tidak akan segan silu bercerita tentang mereka pula. Dunia kita bulat. Apa yang diceritakan, akan datang kembali pada si pencerita. Kesan dari perbuatan ini, ada yang bergaduh sesama adik beradik, anak beranak, suami isteri serta jiran tetangga. Ini sudah tentu merosakkan keharmonian institusi kekeluargaan. Ini sebahagian dari kesan mengumpat.

Bagaimana nak mengelak dan membezakan mengumpat dengan sekadar bercerita? Senang saja, kalau takut nak mengumpat, jangan mula bercerita.

Habis cerita!

Watiestylo: pesan dengan anak-anak cerita dalam rumah jangan dibawa ke luar rumah. Cerita luar rumah jika dibawa ke dalam rumah pastikan yang baik itu dicontohi, yang buruk diteladani, Insyallah.

Comments

Popular Posts