Alkisah..Pak Ayob in love with Mak Wok

DI kampung kediaman Pak Ayob, ada seorang ibut tunggal bernama Mak Wok. Beliau adalah ibu tunggal kepada 7 anak yang kesemuanya telah berkahwin. Walaupun Mak Wok sudah berumur lingkungan 50-an, Mak Wok masih lagi mengekalkan kecantikan wajahnya. Dalam usia sebegitu, bentuk badan Mak Wok masih lagi bergetah sehingga ramai lelaki separuh umur dan suku umur terpikat dengan Mak Wok, termasuklah Pak Ayob.

Mak Wok sebenarnya sudah lama menaruh hati pada Pak Ayob. Pak Ayob juga dalam diam-diam menyimpan hasrat untuk mengorat Mak Wok namun belum berpeluang. Sekadar pandang-pandang, jeling-jeling macam dalam lagu S M Salim tu.

Bagai sudah dirancang, pada suatu pagi yang indah lagi nyaman, Pak Ayob berselisih dengan Mak Wok ketika mereka ke pekan. Bagai mahu gugur jantung Pak Ayob di saat bertentang mata dengan Mak Wok di depan kedai Pajak Gadai Ah Meng. Tersenyum simpul Mak Wok bila dapat bertentang mata dengan Pak Ayob sehinggakan selendang yang dipakainya pun habis berpintal-pintal.

Menariknya pertemuan yang tidak diatur itu, Pak Ayob memulakan tegurannya dengan berpantun :-

Dalam takut ada berani,
Dalam berani ada takut pula,
Bagai berjanji pula kita pagi ini,
Sama warna, sama juga tuju hala.

Mak Wok baru perasan yang warna baju kebayanya sama dengan kemeja Pak Ayob iaitu biru laut. Malu-malu kucing pula Mak Wok bila Pak Ayob sudah mula mengenyit mata pada Mak Wok, Sambil tersipu malu, Mak Wok dengan 'stylo'nya membeli pantun Pak Ayob :-

Pergi merantau berkala-kala,
Kapal berlabuh di Tanah Jawa,
Sama warna sama tuju hala,
Tanda sepakat dan sehati sejiwa.

Bertambah geliat Pak Ayob bila Mak Wok sudah memberi response kepadanya. Pak Ayob girang bukan kepalang. Hasratnya untuk mengorat Mak Wok menunjukkan sinar. Pak Ayob berhasrat pula nak memanjangkan acara mengorat itu untuk mengajak Mak Wok minum bersama.

Antah padi ditampi-tampi,
Padi ditampi dihinggap rerama,
Hajat hati nak minum kopi,
Kalau sudi meh lah minum sama.

Kembang kempis hidung Mak Wok bila lelaki pujaannya mengajak menemaninya minum sama. Mak Wok pun apa lagi, response baik punya dengan pantun juga :-

Kalau padi sudah ditampi,
Beras jangan dilupa pula
Jangankan minum kopi,
ke kilang kopi pun sanggup temankan juga.

Pak Ayob dengan senang hati membalas dengan pantun 2 kerat saja :-

Apa lagi ditunggu,
keda kopi dekat aje tu (sambil menunjuk ke arah kedai kopi di seberang jalan).

Tanpa berlengah, Mak Wok beriringan dengan Pak Ayob sambil melintas jalan. Ketik hendak melintas jalan, sebuah motorsikal ditunggang laju hampir saja melanggar Mak Wok. Sementelah itu Mak Wok terkejut dan hampir saja dia hendak jatuh. Dengan pantas dan 'gentleman'nya, Pak Ayob berjaya menahan Mak Wok dari terus terjatuh sambil memaut pinggang Mak Wok yang masih ramping itu. Di saat itu, mereka bertentang mata lagi. Mak Wok rasa sungguh terkesima dengan kepantasan Pak Ayob memaut pinggangnya dan menyelamatkannya. Tanpa menghiraukan hiruk pikuk di jalanraya dan kenderaan yang lalu lalang, Pak Ayob masih lagi kaku dengan aksinya memapah pinggang Mak Wok sambil sebelah tangannya memegang tangan Mak Wok. Dalam keadaan sebegitu, sempat lagi Mak Wok menjual pantun kepada Pak Ayob :-


Pergi ke kedai membeli jajan,
Jajan di beli budak bernama Atan,
Terima kasih wahai pujaan
Tak ubah bagai hero Hindustan.

Pak Ayob merasakan dirinya bertambah macho dan seolah tidak mahu melepaskan pautannya. Namun, mengenangkan panas matahari pagi sudah tepat-tepat menyuluh ke wajahnya, cepat-cepat Pak Ayob membetulkan posisinya berdiri untuk segera melintas jalan ke seberang. Mak Wok pula tersipu-sipu malu dengan aksi seminit yang sungguh menikam kalbunya. Bagaikan anak dara yang jatuh cinta dengan sang teruna di zaman dulu kala.

Sesampai di kedai kopi yang dituju, Pak Ayob segera memesan makanan kegemarannya. Mak Wok pula, malu-malu kucing, sekadar memesan kopi tarik kurang manis dengan roti bakar.

Keduanya diam seribu bahasa. Hanya pandangan mata sebagai isyarat bahasa perkenalan dan pertemuan mereka. Pak Ayob rasa rugi kalau peluang yang ada tidak digunakan sebaik mungkin untuknya berkenal rapat dengan Mak Wok. Bimbang juga Pak Ayob kalau-kalau ada orang tua lain yang sudah atau akan mencarasnya untuk mengorat Mak Wok. Dengan segala keberanian, ke'macho'an dan kekacakan yang ada, Pak Ayob menjual pantun lagi.

Dua tiga si kucing belang,
Mana nak sama dengan seekor beruang,
Sudah lama hanya dari jauh ku pandang-pandang,
Baru sekarang ada peluang.

Mak Wok dengan 'stylo'nya membeli lagi pantun Pak Ayob :-

Masuk ke hutan memburu rusa,
Rusa di buru untuk sang raja,
Sudah lama rupanya memendam rasa,
Kalau berhajat, jangn lengah, teruskan saja.

Mak Wok sudah mula memberi 'hint' pada Pak Ayob. Sambil mengetuk-ngetuk jari jemarinya di meja, Pak Ayob menjual pantun dengan selamba :-

Bunga ada di depan mata,
Buat hati abang tak senang,
Kalau sungguh bagai dikata,
Esok selepas subuh abang Ayob hantar rombongan meminang.

Mak Wok terus pengsan.

Bersambung …..

Comments

Popular Posts