Tijah The Series Episode 4 - Tijah Dalam Dilema
Takut pulak Tijah nak buka bungkusan penghantaran tu. Manalah tau kut kut ada bahan api ke bom ke dalam tu, mahu bergegar satu bangunan ni nanti, fikir Tijah merangka-rangka samada nak dibuka atau tidak bungkusan tu. Tapi siapa pulak yang nak hantar bom pada Tijah? Tijah cucuk lagi satu potong tembikai free dan masukkan ke dalam mulutnya. Sambil krap krup krap krup Tijah mengunyah tembikai, Tijah cuba fikir balik kalau-kalau dia terlupa yang dia ada buat pesanan secara pos. Tapi seingat Tijah, dia tidak ada buat apa-apa pesanan. Tijah simpan bungkusan itu dalam laci bersebelahan begnya. Difikirnya lebih baik buka di rumah. Kalau betul pun dalam bungkusan itu ada bom, sekurang-kurangnya dia seorang saja di rumah, jadi tak ramailah yang akan jadi mangsa serangan bom tu nanti, fikir Tijah.
“Tijah, I need your help,” terdengar suara Mr K memanggil Tijah.
“Yes, Mr K, what I cannot do for you?”, balas Tijah. Terbeliak mata Mr K bila terdengar pertanyaan Tijah. “Tijah, you must do for me, no “cannot”, ok”, balas Mr K.
“Yes Mr K, I joking joking only lah”, tersengih-sengih Tijah cover line.
“Tijah, I need you to run down to 2nd floor and pass this document to Encik Ali. Please go now because he is waiting for this”, minta Mr K. Tijah dengan pantas mengambil sampul surat yang diberikan oleh Mr K kepadanya dan terus melangkah keluar. Tijah terus turun tangga ke tingkat 2. Terhenti langkah Tijah di anak tangga bila terbaca nama syarikat dan nombor lot pejabat yang tertulis di sampul surat itu. Tiba-tiba Tijah terasa yang dia seperti diserang Parkinson. Menggeletar lututnya bila teringat itu adalah pejabat yang Tijah pernah tersalah masuk temph hari. Bertambah ketar lutut kaki tangan dan siku Tijah bila nama “En. Ali Azam” tertulis di sampul surat. Walaupun Tijah dalam tak pasti itu adalah nama sebenar Lelaki Tingkat 2, tapi nama syarikat itu saja sudah cukup untuk membuat dia mendapat Parkinson gejala sementara. Tijah mundar mandir di lobi tangga di tingkat 2. Tijah cuba sedapkan hatinya yang mungkin Ali Azam itu bukanlah Azam si Lelaki Tingkat 2 yang kacak lagi wangi tu. Tijah tarik nafas dalam-dalam agar dapat dikurangkan Parkinson gejala sementaranya itu. Tijah sisip rambutnya yang lurus itu dengan jari jemarinya. Tijah berdehem-dehem agar suaranya tidak serak bila berkata-kata nanti. Tijah rasa Parkinsonnya dah berkurangan dan Tijah tarik pintu kecemasan untuk keluar dari lobi tangga. Tijah terasa pintu kecemasan tu terlalu ringan untuk ditarik sampaikan dia hampir terjatuh kebelakang dan tersandar di dinding. Pada ketika itu terpacul kelibat seorang lelaki yang berbau wangi dihadapan Tijah. “Oops sorry..sorry, are you ok?” Berdegap degup jantung Tijah melihat Azam a.k.a Lelaki Tingkat 2 di hadapannya. Wangi baunya membuatkan Tijah terpaku dan tercegat macam cicak yang melekat di dinding. Tak sedar pulak Tijah yang mulutnya ternganga besar. Ternganga sebab tergamam, terkedu, terkejut, tersandar dan sudah terasa sakit dibahagian sikunya sebab terhantuk ke dinding. Baru Tijah teringat pintu kecemasan itu bukanlah ringan tapi sebab ada orang yang tolak dengan kuat dari bahagian luarnya dan pada masa yang sama Tijah pula menarik pintu itu sekuat hati. Maka terjadilah adegan yang tidak diingini. Melihatkan keadaaan Tijah yang masih lagi melekat di dinding, Lelaki Tingkat 2 itu menggerakkan tangannya di hadapan muka Tijah. Baru Tijah tersedar dan membetulkan posisinya kepada berdiri tegak sambil membetul-betulkan rambutnya. Lelaki menunjukkan isyarat “ok” dan terus berlari ke atas. Terkebil-kebil Tijah ditinggalkan begitu. Menyesal pulak Tijah bila terkenangkan aksi tercegat dia tadi. Sudah rugi satu peluang, sesal Tijah dalam hati. Teringat Tijah akan sampul surat yang Mr K suruh dia hantar ke pejabat “En Ali Azam”. Kelam kabut Tijah tarik balik pintu kecemasan tadi dan menuju ke pejabat “En Ali Azam”. Tijah kuak pintu pejabat tersebut dan menegur receptionist yang memandang Tijah macam Tijah ni nak jual buku. “Hai, saya ada dokumen nak serah pada En Ali Azam”, sambil menunjukkan sampul surat yang sedang dipegangnya. Dengan wajah berkerut-kerut receptionist itu menjawab “En Azam? Dia baru aje keluar tadi, awak ada nampak tak lelaki berbaju ungu tadi?” Terbeliak mata Tijah bila receptionist itu menyebut “ awak ada nampak tak lelaki berbaju ungu tadi”. Memang lelaki yang menolak pintu kecemasan tadi tu berbaju ungu dan..wangi, kata hati Tijah. “Oh, yang baju ungu tu En Ali Azam? Err.. ada. Saya ada selisih dengan dia di tangga tadi dan dia naik ke atas. Tak adalah pulak saya tanya dia ke mana dia nak pergi, kan,” perli Tijah. Mencebik receptionist itu bila terasa dia diperli. “Ok, tak apalah kalau macam tu. Saya tinggalkan dokumen ni pada awak lah ya,” sambil menghulurkan sampul surat kepadanya. Tijah terus keluar dari pejabat tersebut dan ooppss....sekali lagi Tijah terserempak dengan Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam yang wangi tu. Tapi kali ni Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam bukan berseorangan sebaliknya dengan Mr K di sebelahnya. Sekali lagi Parkinson gejala sementara menyerang Tijah. Terketar-ketar lutut Tijah bila melihat wajah Mr K macam nak makan Tijah.
“Tijah, where have you been? How come Mr Ali Azam went up to the office looking for the document?” sergah Mr K sebaik melihat Tijah di muka pintu.
“Err..Mr K, I.. err.. I.. err...” tergagap-gagap menjawab.“Where is the document?” sergah Mr K. Tijah dah bertambah ketar lutut dan tak mampu nak berkata apa-apa lagi melainkan menggunakan isyarat jari menunjuk ke arah receptionist yang terhendap-hendap dari dalam melihat adegan spontan di luar. “It's ok Mr K, let me check with the girl,” pintas Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam sambil masuk ke dalam pejabatnya. Sempat ekor mata Tijah mengekori pergerakan Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam ke dalam. Tijah masih lagi berdiri tegak di hadapan Mr K yang sedang bercekak pinggang macam Nyonya Mansur dalam Ibu Mertuaku. Bezanya Mr K tidak ada sanggul dan berbaju kebaya macam Nyonya Mansor. Cuma cermin mata Mr K saja yang kelihatan sama macam dipakai oleh Nyonya Mansor. Mr K masuk ke pejabat Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam dan berkata sesuatu. Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam tersenyum sambul berkata sesuatu pada Mr K sambil memandang Tijah yang entah kenapa masih tercegat di luar. Sebaik Mr K keluar, dia member isyarat pada Tijah tanda ok dan menyuruh Tijah balik ke pejabatnya. Sepantas kilat Tijah blah dan berlari sehabis laju menaiki tangga sebab tidak mahu bersaing dengan Mr K a..k.a Nyonya Mansor tu. Cepat-cepat Tijah ambil posisi di mejanya dan pura-pura menjawab panggilan telefon, walaupun pada hakikatnya tiada panggilan telefon pun yang masuk ketika itu. Tijah nampak Mr K menolak pintu pejabat dan memandang Tijah. Tijah pura-pura lagi bercakap di telefon sambil matanya menjeling Mr K dengan ekor matanya. Mr K berdiri seketika di sebelahnya. Tijah pura-pura lagi bercakap di telefon sambil berdoa agar Mr K beredar dari situ. Terdengar pula Tijah suara Ms Lam memanggil Mr K dan berkata sesuatu. Segera Mr K beredar dari meja Tijah. Lega sungguh Tijah bila Mr K blah dari situ dan terasa meter panas bahang menggelabah Tijah tadi turun sedikit sedikit. Keluar jugalah peluh jantan Tijah sebab berlari pecut naik tangga dari tingkat 2 ke tingkat 4. Belum pernah lagi Tijah lari selaju dan sekuat hati begitu. Seingat Tijah kali terakhir dia berlari laju ialah ketika zaman dia turun naik bas dulu. Zaman dia main kejar-kejar dengan bas yang hanya tiba setiap setengah jam dan ambil masa 1 jam setengah untuk sampai ke pejabatnya. Tijah pandang jam di dinding, pukul 4.30 petang. Lagi setengah jam dah nak balik, tak sabar betul Tijah nak meninggalkan pejabat dengan segera. Tak sanggup Tijah nak pandang muka Mr K untuk setengah jam yang seterusnya. Terfikir pulak Tijah apa kaitan perniagaan Mr K dengan syarikat Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam tu? Sampaikan dikerahnya Tijah menghantar dokumen tu segera. Nasib baik Lelaki Tingkat 2 a.k.a Ali Azam tu masih wangi dan dapat jugaklah Tijah mengubat ketar Parkinsonnya tadi. Lagi 5 minit pukul 5 petang dan Tijah dah standby barang-barangnya termasuk bungkusan misteri yang diterimanya tadi. Tak sabar Tijah nak buka bungkusan tu dan melihat isinya.
Deringan telefon bimbit Tijah mengejutkannya dari lamunan ketika berhenti di lampu merah ketika dia dalam perjalanan pulang. Terpapar nama Lan Sengal.
“Jah, kau kat mana?”
“dalam kereta, on the way nak balik lah”.
“Jah, kau jadi tak balik kampung? Kalau kau jadi balik aku nak tumpang tau”.
Teringat Tijah yang Budin nak kahwin hujung minggu ni dan sepantas kilat itu juga Tijah teringat kata-kata mak Tijah ada jugak kawan untuk kongsi duit tol dan petrol.
“Jadilah balik. Kalau kau nak balik sekali laaagi bagus, boleh kongsi tol dan petrol,” balas Tijah mencedok bulat-bulat idea emaknya.
“eleh, itu pun nak berkira ke?” Tergelak Tijah bila Azlan cakap begitu. Tijah berjanji akan call balik Azlan bila sampai di rumah nanti sebab Tijah tak guna handsfree ketika itu.
*****************
Cepat-cepat Tijah masuk ke dalam rumah dan kunci pintu. Tijah main campak saja segala kunci dan begnya ke atas meja. Tak sabar rasanya dia nak membuka bungkusan misteri tu. Tijah baca doa dulu sebelum membukanya.Ya lah manalah tau kalau-kalau ada yang nak menganiaya Tijah. Entah bom ke, entah serbuk putih Cesium Nitrate ke, entah dadah ke. Tijah buka bungkusan itu perlahan-lahan. Mulutnya masih terkumat kamit membaca apa saja ayat-ayat lazim Quranul Karim. Bimbang sungguh Tijah. Meter kebimbangan Tijah bertambah naik jarumnya apabila ada kad ucapan di dalamnya. Bungkusan tersebut dibungkus dua lapisan dan pada lapisan kedua itulah kad ucapan itu dilekatkan. Sentimental pulak pengirim bungkusan ni, kata Tijah sendirian. Tijah macam kenal tulisan di sampul tu dan terus mengeluarkan kad ucapan itu. Ternganga Tijah bila kad ucapan bergambar bunga ros itu ditandatangani secara ringkas “Ikhlas, Azlan”. Hanya ada sebaris ayat tertulis di atasnya, “Jah, harap kau suka”. Tijah terus koyakkan lapisan pembungkus yang kedua dan membuka kotaknya. Terkejut beruk Tijah bila melihat ada sehelai blaus ungu di dalamnya. Blaus ungu yang dibeleknya di kedai tekstil sewaktu window-shopping tempoh hari. Azlan yang belikan blaus dan menghadiahkannya pada Tijah. Tak sangka Tijah sentimental juga si Azlan ni. Sengau-sengau Azlan ni pun ada juga sifat gentleman. Senyum Tijah semakin lebar dan sampai ke telinga dan hampir-hampir bertembung senyum tu di belakang kepalanya. Gembira sungguh hati Tijah menerima hadiah misteri ni. Tiada lagi bom mahupun serbuk putih Cesium Nitrate yang boleh merosakkan saluran pernafasan orang yang terdedah kepadanya. Tiada lagi kebimbangan tentang penganiayaan terhadap Tijah. Yang ada hanyalah rasa gembira yang percuma dan juga baju percuma pemberian Azlan. Tijah terus sarung blaus tersebut ke badannya dan mengambil gambar dengan kamera digital Nikon yang baru dibelinya 2 bulan sudah. Berbagai pos maut diambilnya untuk di upload ke dalam Facebook nanti. Tijah juga mahu membuat kejutan pada Azlan. Tijah hendak tag Azlan pada gambarnya nanti dan ucapkan terima kasih dalam komennya. Sambil-sambil dia berposing maut, telefon rumahnya pula berdering. Adus, potong stim betul, bentak hati Tijah. Di capainya gagang telefon dan dengan garangnya berkata “hello”.
“Amboi, garangnya kau menjawab,”
“Eh, mak. Heh heh..sorry ye mak.”
“Jah, jadi ke kau balik minggu ni?”
“Jadi mak, insyallah. Azlan pun balik sama. Dia nak tumpang Tijah. Tijah kata baguslah kalau nak tumpang boleh kongsi tol dan petrol, macam yang mak cadangkan hari tu”, balas Tijah.
“Bagus lah tu. Eh, mak gurau aje lah. Kau jangan nak mintak si Azlan tu kongsi tol pulak. Tak payah lah kau nak berkira dengan dia”. Pelik pulak Tijah dengan emaknya kali ini. Hari tu dia yang beriya-iya bagi cadangan agar Tijah balik kampung dengan Azlan. Kali ni lainlah pula versinya.
“Ler, macam tu pulak mak ni. Ye lah, Tijah tak minta duit dengan dia”, balas Tijah sambil melihat kembali gambar-gambar pos mautnya itu.
“Tijah, mak sebenarnya ada hal nak bincang dengan Tijah. Nanti Tijah balik, kita bincang ya”. Tiba-tiba mak Tijah merungkai maksud panggilan telefonnya. Gulp! Terkedu lagi Tijah hari ini selepas kes dokumen Mr K lambat sampai ke tangan Lelaki Tingkat 2 tadi. Bincang? Apa pulak yang emak Tijah nak bincang ni, tanya Tijah sendirian. Tijah letak kamera Nikonnya di atas meja dan perlahan-lahan melabuhkan punggungnya di kerusi berkusyen empuk yang sudah 3 bulan tidak diganti sarungnya.
“Hal apa mak? Harta pusaka ke?” Tembak Tijah.
“Bukan. Nanti kau balik, kita bincang lah. Ok lah dah Maghrib ni, mak nak solat di surau. Kau jangan lupa bersolat pula,” pesan emak Tijah sebelum meletakkan telefon. Adus, banyak betul surprise hari ini, getus hati Tijah. Mula-mula Lelaki Tingkat 2 pulangkan selendang. Kemudian bungkusan hadiah dari Azlan. Kes Mr K mengamuk pasal dokumen untuk Lelaki Tingkat 2 tadi itu pun kira surprise juga. Sekarang ni mak Tijah pulak yang buat surprise. Eh, entah entah mak nak kahwin lagi tak, tanya hati Tijah. Ketar semula lutut Tijah bila terbayangkan kalau emak Tijah kahwin lagi. Dah berbelas tahun emak Tijah jadi balu, tiba-tiba nak kahwin lagi, aduss. Bimbang juga Tijah kalau benar emaknya hendak kahwin lagi, nanti Tijah akan dapat adik. Hah! Tidak! Tijah cuba menafikan imaginasi luar batasannya biarpun mengetahui yang emaknya dah lama menopause. Terlupa Tijah seketika tentang blaus baru yang masih lagi dipakainya dan gambar-gambar yang diambilnya tadi. Termenung seketika Tijah cuba memikirkan apakah hal yang emak Tijah hendak bincangkan. Tijah bangun dari kusyen empuknya itu dan terus ke bilik air untuk berwuduk. Tijah harap selepas bersolat Maghrib dia akan mendapat ketenangan setelah apa yang berlaku hari ini. Tijah tak mhu lagi dapat Parkinson gejala sementara. Tijah sapu wajahnya dengan air paip sambil berniat wuduk. Dalam hati Tijah, tercuit sedikit kegembiraan terkenangkan hadiah blaus yang Azlan beri. Dia rasa bersyukur kerana selama 2 minggu ini Tuhan menemukan Tijah kembali dengan Azlan yang sentiasa menghiburkan. Tijah akui ini adalah kegembiraan yang dipinjamkan oleh Tuhan kepadanya. Anytime juga Tuhan boleh ambil semula kegembiraan ini. Tijah berdoa agar Tijah dan Azlan akan melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi dari tahap kawan. Tijah melangkah ke biliknya dan menyarungkan telekung sulam Bandung yang dibelinya dulu dan mendirikan solat dengan khusyuknya.
*******************************
Tijah kuak pintu keretanya dan keluar dengan rasa syukur kerana selamat sampai ke kampung halaman. Azlan mengeluarkan beg-begnya dan mengunci pintu kereta. 2 jam setengah memandu di lebuhraya bukanlah perkara asing bagi Azlan dan Tijah. Tijah sengaja suruh Azlan pandu keretanya supaya Tijah dapat menenangkan dirinya sebelum sampai ke kampung sebagai persiapan untuk berhadapan dengan emaknya. Sebelum emaknya memulakan perbincangan, entah apalah halnya, masih lagi membuat Tijah terfikir-fikir. Selain dari rasa gembiranya bila bersama Azlan, Tijah memerlukan satu kekuatan dan ketenangan agar Tijah tidak menggelabah bila perkara yang hendak dibincangkan emaknya nanti membuahkan hasil yang baik untuk semua pihak.
Tijah beri salam dan terjengul emaknya dari dapur. Tersengih-sengih Tijah menyalam dan mencium tangan emaknya. “Azlan ada ke?” tanya emaknya. “ada, dah masuklah rumahnya”, balas Tijah sambil menunjuk ke arah rumah Azlan. “Mak, kejap ya, Tijah nak jumpa Mak Yam,”. Tijah berjalan ke arah rumah Azlan dan memberi salam sambil menyalam tangan Mak Yam, emak Azlan. “Amboi Jah, dah semakin cantik kau ya,” usik Mak Yam. Tersipu-sipu Tijah. Azlan yang berada di sebelah menyampuk, “mestilah cantik, ramai juga orang minat kat dia, mak”. Eh, Azlan ni, bisik hati Tijah, main tambah gula aje, bimbang pulak Tijah nanti kena diabetes. “Eh, tak de lah Mak Yam, Azlan ni main cakap je, dia bukan tau pun siapa-siapa yang minat dan kawan Jah”. Tak semena-mena Azlan mencuit hidung Tijah yang mungil tu. Terkejut Tijah. Ish, dah main cuit-cuit pulak, kata hati Tijah. Mak Yam tergelak dengan kerenah Tijah dan Azlan. Mak Yam memang dari Tijah kecil lagi sudah menyayangi Tijah macam anak Mak Yam sendiri. Apalagi Mak Yam cuma ada Azlan seorang jadi bila ada Tijah, dapat juga Mak Yam merasa mempunyai anak perempuan. Emak Tijah yang dari tadi berdiri di hadapan rumah memerhati kini menghampiri mereka bertiga. Nak tahu juga emak Tijah apalah yang berlaku di antara mereka bertiga tadi sehingga berderai ketawa. Azlan meghampiri emak Tijah dan menyalamnya. Emak Tijah mengusap kepala Azlan dan mengucapkan terima kasih kerana Azlan sudi menemani Tijah dan balik kampung bersama. Setidak-tidaknya, kurang sedikit kerisauan emak Tijah tentang keselamatan anak perempuan tunggalnya. “Jah, minum petang nanti di rumah Mak Yam ye. Mak Yam ada masak pengat pisang kegemaran Tijah. Som, kau pun datang sekali ya,” pelawa Mak Yam. Suka betul Tijah bila Mak Yam masakkan pengat pisang kegemarannya. Mak Yam memang pakar memasak pengat dan masakan emak Tijah pun tak boleh lawan dengan masakan pengat Mak Yam. Tijah menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya dan mengucapkan terima kasih pada Mak Yam. Tijah meminta diri dan mengajak emaknya balik ke rumah sambil mengusap perutnya menandakan yang dia kelaparan. Tersengih-sengih Azlan dan Mak Yam melihat keletah Tijah. Dua beranak tu terus menuju ke rumah sambil mata Azlan mengekori Tijah. Berdebar-debar dada Azlan tak sabar nak beritahu Mak Yam tentang hasratnya nak melamar Tijah. Azlan cuba juga meluahkan hasratnya pada Tijah tapi tak terucap. Azlan hanya mampu berkata kias sepanjang 2 jam setengah perjalanan ke kampung tadi. Azlan amat berharap Tijah memahami kiasan hatinya tadi. Saling kenal mengenali sejak kecil membuatkan Azlan selesa untuk bersama Tijah. Paling Azlan tersentuh hati apabila emak Azlan sendiri amat menyenangi dan menyayangi Tijah. Itu yang lebih penting kepada Azlan. Namun, menyedari kekurangan yang ada pada dirinya, Azlan bimbang kalau Tijah tak sudi menerima lamarannya nanti. Mak Yam memerhati Azlan yang sedang leka melihat kelibat 2 beranak tu hingga hilang dari pandangan. Mak Yam mencuit bahu Azlan dan mengangguk kepala tanda mengajak masuk ke rumah. Mak Yam dapat mengagak ada sesuatu yang difikirkan oleh anak bujangnya. Sesuatu yang berkaitan dengan Tijah. Naluri keibuan Mak Yam dapat merasakan yang Azlan ada hati pada Tijah. Namun Mak Yam biarkan saja anak bujangnya melayan perasaan, biar hilang penatnya dulu, desis hati Mak Yam. Azlan terus menuju ke dapur dan membuka tudung periuk di atas dapur kayu. Menusuk ke hidung Azlan lauk tempoyak udang galah kegemarannya. Hendak pula dimasak menggunakan dapur kayu, lagi bertambah sedap baunya. Azlan ceduk gulai udang masak tempoyak ke dalam mangkuk dan terus menggatah lauk kegemarannya dengan nikmat yang tak terhingga.
Sendawa Tijah tengahari itu paling kuat yang pernah didengari Mak Som selama anak daranya membesar di depan matanya. Tersengih Tijah sebab tak cover line. “Nasib baik dengan mak aje, kalau depan mak mertua kau buat macam ni, huh, buat malu aje”, tegur Mak Som. Tijah ketawa kecil sambil membawa pinggan kotor ke sinki untuk dibasuh. Berbisik juga hati Tijah apa maksud emaknya tadi bila sebut emak mertua. Tijah buat bodoh aje sambil membasuh pinggan dan cawan kegunaan mereka dua beranak. “Tijah, mak nak tanya kau ni,” Mak Som memulakan bicara. “Kau dah ada kawan lelaki ke?” Macam nak terlepas pinggan kaca yang sedang dibilas oleh Tijah tatkala mendengar soalan emaknya. Tidak semena-mena wajahTijah menjadi panas merah. Bukan sebab marah tapi Tijah tak tahu nak jawab apa dan dia dapat merasakan itulah topik perbincangan yang emaknya pernah sebutkan tempoh hari. Entah berapa kali Tijah bilas pinggan yang sama pun Tijah tak peduli sebab fikirannya dah melayang dengan perlbagai andaian dan spekulasi. Tijah merangka-rangka jawapan yang bakal diberikan kepada emaknya. Tijah merangka-rangka samada nak jawab dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Melihatkan Tijah masih lagi tercegat dan tidak berbunyi apa-apa, Mak Som sergah Tijah dengan meninggikan sedikit suaranya, “Jah, kau dengar tak mak tanya ni? Berangan pulak dia di situ!” Kelam kabut Tijah tangkup pinggan yang dibilas berbelas kali tu dan menoleh ke belakang memandang emaknya. “Err..err..apa mak tanya tadi? Tak berapa dengarlah mak,” Tijah cuba cover line sambil kepala otaknya masih lagi mencari jawapan yang sesuai. Kalau dia jawab dia sudah ada kawan lelaki istimewa, nama siapa pulak yang nak dijualnya. Nak sebut nama Azlan, Tijah sendiri tak pasti jika Azlan juga benar-benar ada hati padanya. Kiasan Azlan di dalam kereta ketika dalam perjalanan tadi masih lagi kabur pada Tijah. Setahu Tijah, Azlan jenis straight to the point dan tak pernah bengkang bengkok bila buat statement. Tapi tadi, kiasan Azlan berbunga-bunga siap dengan peribahasa lagi. Kalau Tijah kata dia masih lagi belum ada teman istimewa, Tijah bimbang emaknya akan kecewa kerana itu bermaksud emak Tijah kempunan lagi mendengar Tijah nak kahwin. Mulalah nanti emaknya akan psycho Tijah dengan ayat “emak ni dah tua, nak jugak rasa menimang cucu”. Tijah pandang wajah Mak Som yang ketika mudanya dahulu licin, kini dah berkedut. Tijah cuba nak jawab soalan emaknya dengan soalan tapi Tijah confirm emaknya akan semburnya balik dengan pok pek pok pek pok pek. Mak Som ulang pertanyaannya tadi pada Tijah dan dengan terketar-ketar Tijah menjawab yang dia memang kenal ramai lelaki tapi setakat ni belum ada lagi yang terbuka hati untuknya. Nasib baik Mak Som cool saja mendengar jawapan Tijah. Mak Som tarik kerusi di sebelahnya dan mengajak Tijah duduk di situ agar mudah untuk mereka berdua berbincang. Tak sabar rasanya Mak Som nak bagi tahu hasrat hatinya. “Jah, emak ni dah tua Jah. Entah esok lusa emak pergi. Kau tak nak ke kahwin Jah?”. Tijah sudah duga itu mukadimah emaknya sejak 3 tahun yang lepas. Tijah senyum kelat saja bila emaknya pandang wajah Tijah. “Kalau kau tak ada calonnya, emak ada calonnya kalau kau setuju,” sambung Mak Som. Huh? Calon? Terkejut beruk Tijah bila Mak Som kata dah ada calon untuknya. Tijah rasa ruang makan itu sudah menjadi bulat dan berbalam-balam. Tijah dapat merasakan yang dia sedang menggeletar dan bakal diserang Parkinson gejala sementara. Huh, siapa pulak calon menantu yang malang itu, desis hati Tijah. “Jah, yang kau kaku macam tunggul tu kenapa? Tijah dengar tak mak kata mak ada calon untuk Tijah?”
“Ya..ya..de..de..dengar mak, tapi siapa?” tergagap-gagap Tijah menjawab. Tersenyum Mak Som bila Tijah sudah mula menunjukkan reaksi ingin tahu dan meneruskan perbincangan meja empat segi dengan adanya kabinet dapur. Bagai 2 menteri yang sedang merangka strategi pembangunan negara, Mak Som mencapai satu sampul surat biru dan meletakkan di hadapan Tijah. Sampul surat lagi, desis hati Tijah. Entah kenapa Tijah rasa allergy pula pada sampul surat. Tijah dongak mukanya ke arah Mak Som dan mengangkat keningnya sambil bertanya “apa ni?” Mak Som memuncungkan mulutnya “Tu, gambar calonnya, tengoklah” pinta Mak Som. Huh, gambar rupanya. Macam kes Cik Salmah dalam cerita Bujang Lapok ketika dipinang oleh Sharif Dol. Tapi itu zaman 50-an, belum ada internet dan Facebook. Sekarang zaman IT, satu klik saja dah boleh tengok macam-macam gambar. Namun begitu, Tijah tetap membuka sampul tersebut untuk melihat gambar gerangan calon pilihan emaknya. Tijah renung gambar lelaki bermisai itu puas-puas. Belum pernah dia melihat lelaki ini seumur hidupnya. Mat rempit mana pulak yang menjadi pilihan emak untuk dijadikan laki aku ni, tanya Tijah. Mak Som perhatikan saja gelagat anak dara seorangnya. Mak Som boleh agak yang Tijah macam tak berminat. Tapi Mak Som juga faham mana mungkin dengan gambar saja dapat melembutkan hati Tijah. Mesti diaturkan pertemuan agar Tijah dapat melihat sendiri calon menantu pilihan hati Mak Som. “Itu Faizul anak Hajjah Maimunah, sepupu ipar arwah ayah Tijah,” Mak Som membuka bicara setelah beberapa ketika suasana sunyi. “Sepupu ipar arwah ayah?”Tijah cuba membayangkan salasilah keluarga arwah ayahnya, Hajjah Mainumah adalah sepupu kepada ipar arwah ayahnya. Dalam keadaan dilema itu, sukar sekali untuk Tijah membayangkan salasilah itu. Mungkin jadi salahsalah pula nanti. Ah, lantaklah sepupu ke, sepipi ke, yang nyata, hati Tijah tidak berdetik untuk melaksanakan impian emaknya. Namun sebagai anak, Tijah menghormati cadangan emaknya dan Tijah amat berharap yang emaknya belum lagi membuat sebarang komitmen tentang hasratnya itu.
“Ya, isteri Pak Su Tijah tu, haa..Faizul ini kira anak saudaranya lah. Kebetulan, emak memang kenal dengan Hajjah Maimunah tu. Kami sama-sama sekolah atap masa di Bukit Mertajam dulu. Esok kau bolehlah jumpa dengan mereka sebab si Budin tu kahwin dengan adik si Faizul ni”, panjang lebar Mak Som jelaskan pada Tijah. Tijah playback kata-kata Mak Som - Budin kahwin dengan adiknya si Faizul ni. Bermakna, Tijah akan jadi kakak ipar biras Budin. Budin pernah jadi cinta monyetnya masa di sekolah dulu. Nak tergelak pun ada, nak menangis pun ada. Tijah rasa dunia ini kecil pula. Pusing-pusing jumpa balik orang yang sama, tapi orang yang Tijah harap menjadi teman hidupnya tidak kesampaian tapi ada di depan mata. Macam bintang kejora, boleh dilihat tapi mustahil untuk digapai. Tapi Azlan bukanlah bintang kejora yang sukar digapai. Cuma dia belum pasti samada Azlan juga ada hati padanya dan sudi menerimanya. Tijah lebih selesa dengan Azlan sebab Azlan yang dikenalinya sudah lama dan sudah tahu hati budi masing-masing. Lebih-lebih lagi Azlan sentiasa ada bila Tijah memerlukan teman. Cuma untuk dijadikan teman tidur, kenalah bernikah dulu. Berat pula hati Tijah untuk berkata ya atau pun tidak pada cadangan emaknya. Menurut kata Mak Som, Faizul ialah seorang guru di sekolah teknik di Kuala Lumpur. Beza umur Faizul dengan Tijah ialah 5 tahun. Faizul pernah putus tunang 5 tahun yang lalu dan sampai sekarang belum ada pengganti. Faizul serahkan pada Hajjah Maimunah untuk mencarikan jodohnya. “Baik budaknya Jah, rajin ke masjid. Cikgulah katakan,” Mak Som cuba memancing Tijah dengan menceritakan tentang Faizul. “Asal pergi masjid je baik, asal baik je pergi masjid, asal pergi masjid je cikgu, asal cikgu je dirikan masjid”, ngomel Tijah sendirian. “Apa kau cakap?” jerkah Mak Som. Tersengih Tijah bila menyedari ngomelannya didengar Mak Som. Tijah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tijah benar-benar di dalam dilema. Selama hayatnya, apa saja yang Tijah hendak lakukan, Mak Som tidak pernah membantah. Cuma Mak Som beri sedikit pendapat agar apa yang Tijah hendak lakukan itu difikirnya dahulu pro dan kons nya. Tijah nak berhijrah ke Kuala Lumpur pun Mak Som tidak menghalang malah membantu Tijah mencari kerja yang sesuai untuknya. Tijah nak berkahwin dengan pakwe mat saleh tu dulu pun Mak Som tidak membantah malah beriya-iya mengajar pakwenya itu tentang Islam. Tapi sudah ketentuanNya, mat saleh itu tidak ikhlas nak berkawan dengan Tijah apa lagi nak memeluk Islam. Percintaan mereka putus di tengah jalan. Kali ini, amat sukar untuk Tijah melaksanakan impian Mak Som. Dia masih lagi berharap yang Azlan akan berterus terang dengannya. Jika benar Azlan juga ada hati padanya, macam mana pula Tijah hendak menyampaikan berita itu kepada Mak Som sedangkan Mak Som sudah ada calonnya. Tijah rasa kepalanya semakin berat. Hendak disedapkan hati, dia beritahu Mak Som yang dia hendak bersolat Zuhur dahulu, lepas tu ke rumah Mak Yam pula, nak makan pengat pisang, katanya. “Nanti malam kita bincang lagi ye, mummy!” usik Tijah. Mencebik Mak Som bila Tijah panggilnya Mummy. Tijah melangkah ke biliknya dan mengeluarkan pakaian untuk disalin. Tijah keluarkan blaus ungu yang dihadiahkan oleh Azlan. Tijah usap blaus itu dan terasa sayang sungguh pada blaus itu. Sama seperti dia sudah mula ada perasaan sayang pada Azlan. Tidak semena-mena hatinya merasa sebak dan teringat pada kiasan Azlan ketika dalam kereta tadi. Tijah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana menghadiahkan blaus ungu itu. Tesengih-sengih Azlan berkias “alah Jah tu baru baju, kalau aku kasi cincin, entah macam mana pulak kau suka kan?”. Cincin? Tijah cuba merungkai kiasan Azlan “kalau aku bagi cincin..”. Ketika Azlan berkias begitu, Tijah hanya ketawa kecil sahaja. Rasa menyesal pula Tijah kerana tidak memanjangkan kiasan Azlan itu dengan bertanya akan maksudnya. Tijah letakkan blaus ungu itu baik-baik di tepi katil dan menuju ke bilik air. Terpandang Tijah akan kelibat Azlan di luar rumah berbual-bual bersama Mak Yam. Tijah renung wajah Azlan di sebalik tingkap, dari jauh. Azlan, walaupun engkau sengau, tapi kaulah yang terbaik untuk ku, bisik hati Tijah. Ada seribu harapan pada renungan Tijah dan seribu harapan itu disulami dengan tawakkal dan tawadduknya pada ketentuan Ilahi. Tidak sedar Tijah ada titisan airmata membasahi pipinya. Berbisik hati Tijah, Ya Allah, berikanlah aku petunjukMu.
Bersambung minggu hadapan..insyallah.

Comments
Post a Comment
Sila komen apa-apa pun, tapi tertakluk pada terma dan syarat.