Tijah The Series Episode 3 - Lelaki Tingkat 2

Petang itu Tijah rasa malas nak terus balik ke rumah. Sambil-sambil melambung kunci kereta kesayangnnya tu Tijah merangka-rangka pemikirannya. Hendak baik terus, terasa malas. Hendak bersiar-siar di taman rasa macam minah jiwang pulak. Nak window shopping..ooppss..! Window shopping? Tiba-tiba seperti ada mentol yang terkeluar dari kepalanya bila terfikirkan window-shopping. Tijah simpan semula kunci kereta dalam begnya dan berjalan ke arah pusat membeli belah yang bersebelahan dengan bangunan pejabatnya. Dalam kepala otak Tijah, dia merangka perbelanjaannya bulan ini. Dah hampir 6 bulan Tijah tak beli pakaian baru dan inilah masanya untuk Tijah berbelanja untuk itu. Tijah tak kisah dengan jenama asalkan cantik dan kelihatan sesuai dengan tubunhya yang sedang-sedang saja tu. Tijah pernah membeli sehelai blaus berharga RM19.90. Apabila dipakai dengan seluar yang sesuai, ramai pula yang berkata “cantiknya awak hari ini.”. Huh itu yang buat Tijah lebih yakin bahawa untuk kelihatan cantik, tidak perlu jenama dan pakaian yang mahal.

Tijah masuk ke dalam kedai tekstil berjenama dari India. Tijah selalu juga beli kain dan blaus yang siap dijahit yang dijual di situ. Sambil nak membelek blaus yang tergantung, Tijah terlanggar kaki seorang wanita di kanannya. “Opps, sorry” mohon Tijah. Wanita tinggi lampai lagi cantik tu sekadar memandang Tijah macam tak ada perasaan. Macam cakap dengan orang pekak pun ada, desis hati Tijah. Sudah mohon maaf, pandang semacam pulak. Wanita itu terus berlalu tanpa mengeluarkan sebarang bunyi mahupun ekspresi wajah. Tijah tidak peduli semua itu. Yang Tijah tau kedatangannya di kedai itu adalah untuk menambahkan pendapatan kedai tersebut walaupun dia sedar yang pendapatannya akan berkurangan dengan perbuatannya itu. Tiba-tiba lagu Ruth Sahanaya “kaulah segalanya” berkumandang. Itu ringtone handphone Tijah. Terpampang “Lan Sengal calling”. Senyum lebar Tijah menjawab panggilan Azlan yang sebenarnya seharian berada di bengkel motor belakang pejabat Tijah tu. Tijah pun dengan sukahati bagi tau Azlan yang dia ada di pusat membeli belah tu. “Dengan sepantas kilat aku datang, Jah” balas Azlan sebelum mengakhiri perbualan telefon. Suka betul Tijah bila Azlan dengan tiba-tiba call dia nak pulak berada di kawasan yang berhampiran. Senyum sorang-sorang pulak Tijah ketika itu. Terdengar pula Tijah seperti ada suara lelaki dan perempuan sedang bertekak pasal sesuatu yang sedikit sebanyak mengganggu angannya. Lantak korang la, nak bertekak pun janganlah depan atau belakang aku pulak, bisik hati Tijah. Memang Tijah tak peduli sebab dia akan ditemani oleh Azlan sebentar lagi. Bernyanyi-nyanyi hati Tijah sambil membelek-belek blaus yang berharga bawah RM 30 itu. Sambil membelek blaus tu, Tijah dengan nakal sempat menjeling pasangan yang bertekak di belakangnya tadi. Laaa.. wanita tadi rupanya, kata hati Tijah. Wanita yang Tijah terlanggar kakinya tadi sedang memilih kain tekstil dengan teman lelakinya. Harap saja tinggi lampai dan lawa, tapi budi bahasa tiada, getus hati Tijah. Tijah tak perasan pula bagaimana kacak pula si teman lelaki wanita tersebut. Tapi, kata hati Tijah, kalau dah yang perempuannya cantik, balak pun mestilah hensem.

Tijah nampak bayang Azlan di luar kedai. Tijah lambai pada Azlan yang terjenguk-jenguk mencari Tijah. Senyum simpul Tijah bila Azlan menghampiri. “Kau shopping tak nak ajak aku,” kata Azlan. “Aku window-shopping aje lah Lan. Nak tengok tengok aje dulu, nanti dapat gaji baru aku beli”.Azlan perhatikan saja blaus yang Tijah belek. Sempat lagi Azlan menjeling pada harga baju tu. RM 25.90, murah je, bisik hati Azlan. Tijah ambil satu blaus ungu muda dan mengacukan pada badannya dan berdiri di hadapan cermin. Azlan perhatikan saja gelagat Tijah dan Azlan perasan yang warna blaus tu memang sesuai buat Tijah. “Jah, cantik.” Tegut Azlan. Terkejut Tijah. Terkejut sebab Azlan memujinya cantik buat kali pertama. Tapi, Tijah yang cantik atau blaus ni yang cantik? “Apa yang cantik, blaus ni? Tanya Tijah sambil menunjukkan blaus yang dipegangnya. “Baju tu memang cantik, kenakan kat badan kau laaagi cantik, Jah”, balas Azlan. Berdegup kencang jantung Tijah bila dipuji Azlan. Selama kenal dengan Azlan inilah kali pertama Azlan memujinya sedemikian. “Tu lah, memang cantik tapi tak tau lah pulak kalau blaus ni masih ada bila aku nak beli minggu depan”, luah Tijah.

Azlan melihat jam di tangan yang menunjukkan pukul 7 malam. Tijah masih lagi dilihatnya membelek blaus yang lain. Seingat Azlan, in kali pertama dia melihat Tijah secantik itu. Walaupun sekadar diacukan blausnya di badan, sudah jelas kelihatan cantik padanya. “Jah, jom pegi makan, aku lapar lah”. Aisey, potong stim lah mamat ni, bisik hati Tijah. “Oklah, kali ni biar aku belanja eh?” balas Tijah. “Kalau kau belanja, aku nak makan kat hotel sebelah tu lah”, balas Azlan. “Oit, so many beautiful your face? Banyak lah kau punya hotel. Kedai mamak kat sebelah aje sudah”. Tersengih-sengih Azlan cuba memancing Tijah. Tijah letakkan semula blaus dan berjalan ke arah Azlan. Sambil tu dia terpandang ke arah wanita dan teman lelakinya yang tadi bertekak di belakangnya. Berdegup jantung Tijah bila melihat wajah teman lelaki tersebut. Hah? Macam tak percaya Tijah yang teman lelaki wanita tersebut adalah lelaki yang selalu dia lihat di kawasan pejabatnya dan lelaki yang sama menegurnya di lobby lif ketika dia mengelamun. Lelaki yang sama yang mana Tijah dengan selamba bagi tau “I work here” sedangkan ketika itu Tijah tersilap tingkat dan masuk ke pejabat lelaki itu.Huh, lelaki tingakt 2 tu pakwe si perempuan sombong tu. Tijah gelarkan lelaki tersebut Lelaki Tingkat 2 sebab pejabatnya terletak di tingkat 2. Cepat- cepat Tijah blah dengan muka bera. Terasa betul panas wajahnya akibat refleksi jantung yang berdegup terkejut beruk tu. Nasib baik dia tak nampak aku, bisik hati Tijah.

***********************


Tijah tepuk-tepuk bantal yang sudah menjadi teman tidurnya selama 5 tahun. Sarung bantalnya pun baru saja Tijah tukar setelah sebulan digunakan. Masih gebu lagi bantal-bantal buatan emak Tijah walaupun sudah 5 tahun kekabunya. Pokok kekabu yang ditanam arwah ayah Tijah dibelakang rumahnya itulah yang menghasilkan kekabu dan dibuat bantal. Kekabu itu juga sebahagian dari sumber wang poket Tijah ketika bersekolah dulu. Azlanlah yang selalu jadi mangsa kerahan Tijah mengutip buah kekapas untuk diambil kekabunya. Tijah rebahkan dirinya di atas katil yang masih lagi belum menjadi 4 poster king size bed ala DaVincci idamannya. Sebaik kepalanya diletakkan di bantal empuknya itu, Tijah kenang kembali kisah kebetulan yang berlaku petang tadi. Kebetulan Azlan yang berada di bengkel berhampiran dan menemankannya. Kebetulan Tijah ternampak Lelaki Tingkat 2 di kedai tekstil bersama teman wanitanya yang sombong tu. Tijah teringat pula bila Azlan ajak Tijah balik kampung minggu depan sebab kawan sekampungnya, Budin, nak kahwin. Terkejut juga Tijah sebab tup tup dengar Budin nak kawin minggu depan. Mana tak nya, tidak pula dia mendapat perkhabaran itu dari emaknya yang baru minggu lepas Tijah hubungi. Kata Azlan, mungkin emak Tijah lupa. Mungkin juga, bisik hati Tijah. Tapi Tijah hairan tengok ekspresi muka Azlan yang lain macam benar masa mengajaknya balik kampung. Ekspresi wajah orang yang sungguh gembira dan tersipu-sipu. Eleh Azlan ni, orang lain yang nak kahwin, apasal pulak dia yang tersipu-sipu? Alasan Azlan, dia tumpang gembira sebab kawan baiknya yang dulu minat dengan Tijah dah nak kahwin. Laaa..sebab itu rupanya. Ya, Budin pernah meluahkan perasaannya pada Tijah ketika mereka di tingkatan 5. Ketika itu Budin memang sangat popular di sekolah sebab dia ialah seorang ketua pengawas dan sering menjadi perhatian ramai pelajar senior dan junior baik lelaki mahupun perempuan. Disebabkan Tijah juga aktif berpersatuan yang juga dianggotai oleh Budin, maka mereka sering bertemu dan berbincang. Azlan yang kurang berpersatuan menjadi tempat Tijah meluahkan perasaan betapa dia begitu gembira dapat berjumpa dengan Budin. Pernah juga Budin bagi amaran pada Tijah supaya jangan terlalu rapat dengan Azlan kerana bimbang Azlan akan mempengaruhi Tijah dengan kenakalannya. Tapi Tijah beritahu pada Budin bahawa Azlan kawan baiknya sekian lama dan bukanlah seorang yang jahat. Selang beberapa hari Budin ajak Tijah pergi minum di kantin sekolah dan memberikan sekeping kad ucapan kepadanya. Dipesannya Budin kepada Tijah agar membaca kad ucapan itu bila sampai di rumah. Pelik juga Tijah sebab hari itu bukanlah harijadinya. Bukan juga hari tak jadinya. Huh, berdegap degup jantung Tijah ketika itu. Suspen pun ada. Suspen sampai nak dimasukkan straw ke dalam mulut, dimasukkan batang sudu ke dalam mulut. Aduhai, suspen hilang, malu pulak menerjah. Sebaik Tijah masuk ke bilik, cepat-cepat Tijah buka sampul kad itu. Wooww..gambar bunga ros merah dan hati dan tertulis “Untuk mu..”. Bertambah degap degup jantung Tijah. Kalau bom jangka, dah tentu meletup. Kalau ada doktor disebelahnya, tentu doktor tu terkejut mendengar degup jantung Tijah yang seakan-akan 100km/j. Tercengang mulut Tijah membaca bait-bait tulisan tangan Budin yang tertulis kemas.

“Tijah yang aku minati dalam diam, aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kalau nukilan ini membuatkan kau tak bisa melelapkan mata di malam dingin nanti. Tijah yang cantik, pipi bagai pauh dilayang, rambut ikal mayangmu, keletah dan kecerdikanmu menggugat perasaan ku. Tijah yang aku cemburui, sukarnya untuk aku merahsiakan lagi perasaan ku padamu. Sukarnya juga untuk aku meluahkan hasrat hati ini. Tijah, aku sukakan mu dan sudah mula sayangkan mu. Tijah, sudikah kau menjadi teman hati ku? Yang benar, Shahbudin”

Bukan kepalang lagi gembiranya si Tijah yang dia tidak bertepuk sebelah tangan mahupun bertepuk amai-amai belalang kupu-kupu. Gembira bukan kepalangnya si Tijah bila Budin melamarnya menjadi kekasih hati. Gembira bukan kepalang sehinggakan dia tak sedar yang dia telah tergolek jatuh dari katil. Ahh..itu kenangan lama, bisik hati Tijah. Cinta monyet zaman sekolah. Sekarang Budin dah nak kahwin. Tijah pun sudah tidak ada perasan pada Budin. Tapi Tijah masih lagi tak puas hati kenapa berita ini tidak disampaikan oleh emak Tijah sendiri lebih awal. Setahu Tijah, emaknya lebih laju dari speed broadbandnya yang selalu sangat disconnect tak tentu pasal. Berita dari emaknya lebih cepat sampai sebelum sempat Tijah log in ke facebooknya. Lebih-lebih lagi hal kahwin ni, berita baik, bak kata emaknya, mestilah diberitahu. Tapi yang sebenarnya, itu sebagai peringatan kepada Tijah yang orang lain dah kahwin, tapi Tijah tak lagi kahwin kahwin. Tijah set kan handphone nya dan buat peringatan “call emak” untuk hari esok. Dia mesti tanya emaknya juga pasal Budin nak kahwin ni. Tijah terus lelapkan mata dengan harapan esok akan menjadi hari yang lebih baik dan lebih indah dari hari ini.

Krrrriiiinnngggg!! Tijah jeling di jam loceng yang telah banyak berjasa padanya selama ini. Pukul 7.30 pagi. Tijah tekan butang snooze dan sambung lelapkan mata. Lepas 5 minit jam loceng tu berbunyi lagi. Tijah jeling lagi. Nak tak nak kena bangun juga. Perlahan-lahan Tijah menggerakkan badannya dan bangun sambil mencapai tuala mandinya. Pagi itu Tijah tidaklah kemaruk macam pagi sebelumnya, nak pergi bilik air dibukanya pintu peti ais. Pagi itu Tijah semacam ada semangat baru untuk pergi kerja. Macam orang baru naik pangkat. Tapi Tijah tahu dia takkan dapat naik pangkat sampai bila-bila sebab jawatan Receptionist yang disandangnya ini tak ada jawatan yang seterusnya seperti Senior Receptionist atau Manager, Receptionist. Melainkan Mr K dengan baik hati nak tawarkan jawatan Manager kepada Tijah dan sudah tentu itu mustahil.

Sambil Tijah memandu, Tijah cuba sedaya upaya mengingatkan dirinya agar tidak salah masuk bangunan seperti yang diingatkan oleh Mr K tempoh hari. Lepas tu Tijah ingatkan lagi dirinya agar tidak turun di tingkat yang bukan sepatutnya. Tersenyum seorang Tijah teringatkan kes hari tu. Sengal, getus hati Tijah. Sebaik masuk ke perkarangan bangunan, Tijah menuju ke petak parkir kegemarannya. Tijah perasan ada satu kereta mewah di sebelah petak parkirnya. Selama ini yang Tijah tahu, Ms Lam, setiausaha Mr K yang selalu letakkan keretanya di petak tu. Mustahil lah Ms Lam dah beli kereta baru, mewah pulak tu. Bukanlah Tijah merendahkan kemampuan Ms Lam, tapi setahu Tijah, Ms Lam tu takkan beli kereta semahal itu. Tijah undur keretanya perlahan-lahan bimbang kalau tergesel pulak dengan kereta mewah itu. Kereta mewah macam tu kalau tergesel sikit pun mahu setengah bulan gajinya hangus untuk bayar gantirugi, apa lagi kalau kemek, harus Tijah makan roti Gardenia siang malam pagi petang. Lega hati Tijah bila keretanya selamat diparkirkan. Tijah belek-belek mukanya di cermin, canttekk, bisik hati Tijah memuji diri sendiri. Tijah keluar dari kereta dengan penuh keyakinan. Tijah perasan pintu kereta mewah disebelahnya dibuka dari dalam. Oh ada orang rupanya, bisik hati Tijah. Tak perasan pulak Tijah dalam kereta itu ada orang di dalamnya sebab cermin kereta itu gelap sedikit. Tijah sempat jeling pemandu kereta yang baru hendak keluar dari kereta mewah itu. Macam nak pengsan Tijah bila melihat kelibat Lelaki Tingkat 2 tu keluar dari kereta mewah yang berada di sebelah keretanya.Tijah pun tak pasti apa yang sepatutnya dilakukan ketika itu. Nak blah macam tu aje, macam dah terpaku pulak kakinya, nak berdiri tegak aje kat situ, macam orang bodoh lah pulak. Tijah dapat satu idea. Tijah pura-pura buka semula pintu keretanya konon nak ambil barang yang tertinggal dalam keretanya. Sambil-sambil tu Tijah main jeling-jeling pada kelibat Lelaki Tingkat 2 tu. Tijah perasan dia berdiri tegak di keretanya sambil menghadap kereta Tijah. Aduss..blah lah cepat, kata Tijah dalam hati. Tijah pura-pura lagi cari sesuatu dalam keretanya yang Tijah sendiri pun tak tahu apa nak dicari. Tijah jenis orang yang yang tak suka sepahkan kereta dengan barang-barang apa lagi sampah. Jadi pada ketika itu, Tuhan aje yang tahu apa yang Tijah buat. Jantung Tijah dah macam nak gugur pun ada. Degup pun dah semakin laju, sama laju dengan motorsikal yang Azlan rempit masa dulu. Tijah dah panas dah duduk dalam kereta ni. Tijah redah jer dengan selamba keluar dari kereta. Tijah terus beranikan dirinya pandang lelaki tingkat 2 tadi. Handsome lah pulak, bisik hati Tijah. Dia senyum pada Tijah, Tijah balas balik dengan senyuman yang sudah cukup membuatkan otot-otot wajahnya menegang. Kemudia Lelaki Tingkat 2 tu tunjukkan sesuatu ditangannya. Sehelai selendang merah jambu yang Tijah rasa macam kenal aje. Terbeliak mata Tijah bila teringatkan itu selendang miliknya yang disangkanya tertinggal di pejabat. Tijah pandang Lelaki Tingkat 2 dengan muka yang blur. Tak pasti pulak Tijah itu memang selendangnya atau lelaki tu dah belikan selendang baru untuknya ke. Isshh..keliru pulak Tijah jadinya.
“Awak punya ni..”, Lelaki Tingkat 2 beritahu Tijah sambil menunjukkan selendang itu padanya.
“”Eh, tak lah,” Tijah menafikan.
“Ye, ini awak punya. Tercicir kelmarin masa awak tersalah masuk pejabat saya, ingat tak?”
Hah?? Tersalah masuk pejabat? Arrrrgghhhhh..tidak, tidak..malunya aku..arrgghhh, Tijah menekup dahinya dengan telapak tangannya. Ya Allah, aku ingatkan tertinggal di pejabat, bisik hatinya. Tijah tak perasan yang Lelaki Tingkat 2 tu dah menghampirinya sambil menghulurkan selendang itu pada Tijah. Menusuk ke hidung Tijah bau perfume POLO Sport yang dipakai Lelaki Tingkat 2 tu. Senyum kelat Tijah mengambil mengambil selendang tu. Kelat sebab malu dengan kes hari tu.
“Saya Azam,” lelaki tingkat 2 memperkenalkan diri sambil menghulurkan salam.
“Tijah. Err..Khatijah,” balas Tijah sambil menyambut salam Azam. Bertambah kencang jantung Tijah berdegup setelah bersalaman dengan Lelaki Tingkat 2 tu. Baru Tijah sedar yang dah hampir 15 minit mereka di situ. “Saya nak masuk pejabat ni. Ok See you again. Oooh, sorry, thank you for returning the shawl. Thank you so much, En Azam”, ucap Tijah sebelum berlalu. “Just call me Azam,” balas Lelaki Tingkat 2 sambil tersenyum. Tijah balas senyuman Lelaki Tingkat 2 tu dengan senyuman yang paling ikhlas. Sambil-sambil Tijah tunggu lif datang, Tijah bau selendang yang baru dikembalikan oleh Lelaki Tingkat 2 tu, waahh, wanginya. Melekat bau perfume POLO Sport Lelaki Tingkat 2 tu di selendangnya. Tijah bau lagi telapak tangannya pula, wahh.. melekat juga bau perfume tu di tangannya masa bersalaman tadi. Senyum simpul Tijah sorang-sorang kat situ. Tijah sempat lagi jeling ke arah keretanya, huh, dah tak ada. Lelaki Tingkat 2 dah beredar dengan kereta mewahnya sebaik sahaja dia memulangkan selendang Tijah tadi. Tiba-tiba terdetik di hati Tijah, takkan dia tunggu aku semata-mata nak pulangkan selendang ni? Kemudia Tijah nampak kereta Ms Lam sudah mula memasuki parkir disebelah kereta Tijah. Huh, potong stim!

Tengahari itu Tijah tidak keluar makan pun. Tijah cuma kirim beli buah tembikai potong dengan Ms Lam yang tak pernah miss makan tengahari. Bergegar handphone Tijah dan terpampang “Reminder : Call emak” di skrin handphonenya. Oh baru Tijah teringat yang dia hendak telefon emaknya untuk bertanyakan kisah Budin nak kahwin. Tijah dail nombor telefon emaknya menggunakan telefon pejabat. Jimat sikit credit prepaidnya. Tak berjawab pulak. Pintu pejabat ditolak dan ada seorang lelaki seperti mat despatch menghampiri meja Tijah. “Ada delivery untuk Cik Khatijah binti Abdul Mutalib”, beritahu lelaki itu. Hah? Itu nama aku, kata hati Tijah. 'Tolong sign dan chop kat sini ye kak,” tunjuk lelaki itu ke arah delivery sheet. Tijah membelek-belek bungkusan yang diterimanya. Tak ada pun nama pengirim. Dibeleknya lagi kiri kanan atas bawah bungkusan tu kalau-kalau ada tertulis nama pengirimnya. Lupa pulak hendah ditanya pada budak yang menghantar tadi. Entah-entah Lelaki Tingkat 2 tu hantar tak, detik hati Tijah, berangan. Sambil-sambil membelek dan berfikir gerangan pengirimnya, handphone Tijah bergetar “Emak calling”. Sepantas kilat Tijah tekan butang reject dan mendail semula nombor telefon emaknya menggunakan telefon pejabat. Jimat sikit credit prepaid handphone emaknya dan Tijah punya.
“Assalamulaikum mak, apa khabar”, Tijah memulakan perbualan sebaik sahaja emaknya menjawab.
“Alhamdulillah, sihat je Jah, kau tak makan tengahari ke?”
“Tak lah mak. Tapi Tijah dah kirim beli buah dengan kawan. Mak, Tijah nak tanya, ada ke mak dengar berita Budin nak kahwin Sabtu ni?”tak sabar rasanya Tijah nka tahu hal sebenar dan terus straight to the point.
“Ye lah Tijah. Mak pun baru tau ni. Tu yang mak tak dapat jawab call kau tadi pasal mak baru bercakap dengan Cik Yam kau pasal hal ni. Mak pun terkejut jugak kenapa tak ada angin tak ada ribut, tau tau Budin nak kahwin Sabtu ni. Yang kau pulak tahu dari mana?”
'Dari Azlan. Sebab dia ajak Tijah balik sekali dengan dia”.
“Hah? Azlan? Eh, bila kau jumpa dia? Sihat ke budak tu?” terkejut juga emak Tijah bila terdengar Tijah sebut nama Azlan.
“Selalu jugak jumpa dia sejak minggu lepas sebab bengkel motor kawan dia dekat belakang pejabat Tijah je mak”, terang Tijah.
“Elok la tu kalau kau balik minggu ni dengan Azlan. Ada jugak teman kau dan ada orang kongsi bayar minyak dan tol kau tu nanti.” Ishh..ke situ pulak mak aku ni, bisik hati Tijah.
“Insyallah, mak. Kirim salam ye dengan Mak Yam” Tijah mengakhiri perbualan. Oh, padanlah berita ni tidak sampai pada pengetahuan Tijah terlebih dahulu sebab tukang update berita pun baru dapat beritanya tadi. Tak kisahlah Budin, kau yang nak kahwin, tak payahlah aku pening kepala nak fikir kenapa tiba-tiba aje kau nak kahwin. “Tijah, ini awak punya tembikan potong. Ini hari saya belanja you”, Ms Lam meletakkan sebungkus buah tembikai potong di atas mejanya. Wah, baik betul Ms Lam hari ni, belanja Tijah tembikai. “ Thank you Ms Lam, next time belanja lah I sebiji tembikai pulak, ya”balas Tijah bergurau. Tijah tak lengah lagi dan terus mencucuk sepotong tembikai yang telah dipotong dadu dengan lidi kecil. Dengan penuh nikmatnya dia mengunyah tembikai yang dibelikan oleh Ms Lam. Lebih nikmat bila tembikai itu free. Lantas Tijah teringat akan bungkusan yang baru diterimanya. Tijah renung bungkusan itu. Terhenti seketika dia dari mengunyah tembikai free itu. Siapa yang bagi ni, tanya hati Tijah.

Siapa yang bagi? Kita tunggu lepas raya haji ok....

Comments

Post a Comment

Sila komen apa-apa pun, tapi tertakluk pada terma dan syarat.

Popular Posts