Bila nak kahwin lagi?

Itu soalan yang paling susah nak jawab seumur hidup saya. Seumur hidup bergelar JANDA anak 2. Secara jujurnya, soalan lain pun ada juga diajukan tapi yang ini.....hmmm memang susah nak bagi jawapan.Ada yang kata "awak ni memilih sangat, tu lah pasal tak kawin lagi". Ada juga yang berpendapat, saya nak "enjoy". Tak kurang juga yang berpendapat saya serik. Huh, serik? Tapi tak ramai yang sependapat dengan saya - jodohnya belum tiba kerana Tuhan menguji keimanan saya.

Untuk yang pertama, "awak ni memilih sangat, tu lah pasal tak kawin lagi" - saya nak tanya, masa awak kahwin dulu, awak tak pilih ke calon isteri atau suami? Nak beli nasi lemak lauk ayam pun kita nak memilih bahagian mana yang kita nak, inikan pula manusia yang akan berkongsi hidup, katil, tuala, rumah, kereta dan tak ketinggalan DUIT dengan kita. Ishhhhh......Hendak pula memilih lelaki yang sesuai buat kali ke-2, "of course" akak kena pilih. Kalau tak memilih, laki orang pun hantam jugak, sah-sah saya tidak akan menulis blog ini!

Untuk yang ke-2, saya nak nikmati hidup 'bujang' semula. Saya tak pasti macam mana kenyataan tu boleh disuaipadankan dengan saya. Habis saja kerja, saya balik rumah. Esok pagi, sambung rutin yang sama. Hujung minggu, kalau tak temankan anak lelaki saya memancing, saya duduk di rumah menjahit "cross-stitch". Habis kuat pun bawak makcik atau mak saya pergi pasar. Itu nikmat hidup bujang ke?

Tak kisahlah apa orang nak kata. Saya percaya, apabila doa kita belum lagi dimakbulkan, itu kerana Allah Maha Berkuasa menguji keimanan hambanya. Apabila kita mengaku "aku beriman kepada Allah SWT", maka inilah salah satu ujian yang ALLAH berikan - samada kita redha, putus asa atau meneruskan perjalanan kita sebagai hambanya. Saya percaya, jodoh saya ada di luar sana cuma belum sampai serunya.

Kenapa saya memilih untuk menulis kisah ini? Bukan menunjuk jauh sekali untuk merasa riak. Salah satu dugaan yang paling besar selama menjadi janda ini ialah KEBIMBANGAN DI FITNAH dan menjadi punca terjadinya FITNAH. Inilah kali pertama saya meluahkan kebimbangan saya. Saya selalu bimbang jika gelak tawa saya dan keperamahan saya disalah ertikan sebagai nak kacau rumahtangga orang. Kalau pergi rumah sepupu saya sendiri pun, saya bimbang nak berbual-bual dengan suami mereka kerana BIMBANG ada yang tersalah erti. Kalau saya "chatting" di laman sembang pun, saya berhati-hati agar tidak melayan lelaki yang dah berkahwin. Jadi, apabila dugaan ini datang, sudah tentu saya selalu mengharapkan agar saya akan dengan segera mendapat calon suami yang boleh menerima saya yang stylo ni dan anak-anak saya yang sedang membesar ini seadanya kami. Tapi tidaklah semudah itu. Seperti yang selalu saya kata pada kawan-kawan lama "apa,kau ingat nak cari laki ni macam nak cari ayam? trruit..trruuiit..truiitt.."(and pooffff! there comes my prince charming).

Kadang-kadang apabila terbaca kisah artis wanita janda kahwin lelaki bujang yang lebih muda darinya, wahh..berdetik juga hati, "yer lah pasal kau artis, tua pun ada orang nak punya". Tapi bila kita berbalik kepada kejadian alam, inikan kuasa Allah. DIA yang menentukan.

Pernah juga saya berkawan dengan lelaki muda dari saya. Mula-mula dia panggil saya Kak Watie (warrrgghhhh.....). Lama kelamaan, bila kami selalu berjumpa (dalam kumpulan, bukan berdua-duaan), saya rasa selesa dengan dia. Lebih membuat saya selesa, dia layan anak-anak saya dengan baik. Dia memang 'ngam' dengan budak-budak. Masalahnya ketika itu dia sudah ada kekasih. Tetapi yang gaya 'on-off-on-off' ni. Pada satu ketika, dia panggil saya 'Watie". Saya pun terfikir juga, mana pergi "kak"nya? Hahaha.... Kesimpulannya, perkara begitu boleh terjadi kepada sesiapa saja, bukan hanya artis. Persoalan hendak tak nak, atau ianya bukan tercipta untuk kita. Saya percaya dia bukan tercipta untuk saya. Saya nak sentuh soal serik.

Ramai wanita seangkatan dengan status saya ni selalu berkata, “serik lah dik”. Saya faham “serik” itu ada kaitan dengan “paranoia”, “fobia” tak kurang menjadi “TRAUMA”. Saya faham dan akui, ada sedikit paranoia atau takut serta bimbang ianya berlaku lagi kalau tidak memilih dengan bijak. Dalam hal saya, alhamdulillah ianya tidak berlaku kepada saya selama 2 tahun setengah menikmati hidup di alam perkahwinan. Serik bukanlah perkara utama yang patut dijadikan faktor untuk bersendirian. Serik, pada saya patut dijadikan PELAJARAN dan PENGAJARAN kepada kita semua.

Kesimpulannya, tepuk dada tanyalah iman anda di tahap mana. Kalau masih lagi jauh ke bawah di kaki, cepat-cepatlah mencari kiblat. Percaya atau tidak, tahap keimanan hamba Allah mempengaruhi cara pemikiran dan perlakuan. Di sinilah kita akan tahu bahawa apa yang kita lakukan itu kerana diri sendiri, kerana orang lain atau kerana Allah. Jodoh, pertemuan, ajal dan rezeki adalah sebahagian dari beberapa rahsia Allah SWT. Tawakkal sajalah. Sekian, assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh. Jumpa lagi insyallah.

Comments

Popular Posts