Skip to main content
Keseronokan Mengumpul Pinggan Mangkuk, Tikar, Karpet dan Barang Kemas.
Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca budiman. Alhamdulillah, hujan dah pun turun dan mengurangkan suasana berjerebu. Bila hujan dah turun, janganlah mengeluh pula - seolah-olah hujang itu penghalang kepada kita untuk keluar dari 'pertapaan'. Bila cuaca panas mengeluh, hujan pun mengeluh - itu tandanya kita tak redha dengan pemberian Tuhan.
Hari ini saya nak bercerita tentang keseronokan mengumpul sesuatu barang. Samada ianya adalah sebahagian dari minat, hobi, kemampuan mahupun nafsu, semuanya ada keseronokan pada setiap individu. Mengapa saya menggunakan contoh pinggan mangkuk, tikar, karpet dan barang kemas sebagai contoh? Biasalah, saya ni orang perempuan jadi saya amat tahu dan maklum barang-barang itulah antara koleksi paling popular di kalangan kaum Hawa. Tapi bukan kaum Hawau, ya!
Bukan apa, hari ini saya terdengar perbualan kosong dua orang kaum Hawa. Si A sementara hendak menunggu masuknya waktu Maghrib, beliau pun belek-belek katalog produk jualan langsung milik si B. Bila Si B menghampirinya, Si A pun tersenyum dan berkata "Haa..saja membelek-belek katalog ini. Nak 10 kali dah belek". Si B pun tak kisahlah dia nak belek 200 kali pun, tak rugi rasanya. Jadi Si A pun bercerita "tengok pinggan mangkuk ni macam nak beli tapi kat rumah dah banyak, bersusun". Lantas si B pun tak mau kalah, "A'ah, saya pun, kalau nak saya beli je. Ye lah benda boleh guna, tak pa".
Perbualan di atas nampak biasa tapi yang tidak biasanya, beli pinggan mangkuk mahal-mahal tapi duduknya dalam almari perhiasan saja. Pinggan mangkuk kegunaan harian ala-ala saja. Kalau dari jauh nampak macam design baru, bila tengok dekat-dekat laa..keliling pinggan sumbing. Lebih menyayat hati bila pinggan kegunaan harian yang sama dihidangkan pada tetamu yang biasa datang. Yang 'biasa' datang merujuk kepada adik beradik, anak-anak buah, sepupu sepipi dan ipar. Tetamu yang tak biasa datang macam bakal behsan, bakal mentua, bakal suami, bakal menantu dan bakal apa pun, barulah nak dikeluarkan pinggan mahal. Tapi bila yang 'bakal' tu dah jadi betul, pinggan kegunaan harian digunakan semula pada mereka. Hahaha.. Lagi satu yang tak boleh saya tahan, bila tetamu dihindang air dalam cawan putih. Tak ada cacat celanya pun cawan putih tu, tapi tak sanggup rasanya nak hirup air dari cawan tu bila keliling dan dalam cawan tu BERKERAK (kekuningan). Jadi, apa tujuan sebenar beli pinggan mangkuk dan set cawan mahal-mahal dan banyak-banyak tapi disimpan dalam "lemari" saja Mak Jemah?
Ini kisah tikar dan karpet. Setiap kali malam raya, taukey kedai karpet yang dari Pakistan itu senyum lebar sebab kita berpusu-pusu, berhimpit-himpit ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, kononnya nak 'grab last minute deal'. Karpet yang kononnya tenunan tangan dari Turki dijual pada harga 'runtuh'. Nasib baik kedai karpet tu tak runtuh di malam raya. Bila kita menziarah ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai, kaki kita pun boleh bezakan karpet baru atau dah lama beli. Habis raya, bersusah payah kita gulung karpet itu, tutup di hulu dan hilir karpet tu dengan kain buruk kemudian diikat. Mula-mula saya pun pelik juga kenapa Mak Cik saya berbuat begitu pada segulung karpet? Rupa-rupanya bagi mengelak lipas, tikus atau cicak dari bermain cak-cak dengan beliau bila dia membuka gulungan karpet itu nanti. Sebaik karpet baru disimpan, karpet lama dibentang kembali. Kalau nak tahu, kerja menggulung dan menyimpan karpet adalah salah satu 'task' yang paling saya benci. Lagi bagus lantai tak ada karpet, senang nak menyapu, kan? (walaupun bukan hari-hari saya menyapu).
Tapi ada juga yang rajin beli karpet tapi tak pernah kisah dengan kebersihan karpet. Nampak gebu sungguh karpet itu, bila duduk atas karpet tersebut, terasa ada saja yang menggigit. Pernah alami situasi ini? (Saya sanggup berdiri dalam rumah itu). Bila dibelek-belek karpet yang gebu itu, rupa-rupanya terselit tulang ikan, tulang ayam dan serpihan makanan dicelahan benangnya. Adoi!Padanlah kena gigit dengan semut api.
Bagaimana dengan tikar? Ok, tikar biasanya digunakan ketika kenduri diadakan. Almaklum, bila kenduri, sudah tentu ianya membabitkan makan besar. Maka risiko makanan dan air tumpah amat tinggi. Jadi, eloklah digunakan tikar mengkuang atau plastik. Senang juga, boleh dilap-lap sebaik digunakan. Tapi yang tak moleknya, tikar itu antara barangan rumah yang boleh mendatangkan kemalangan kecil sebab ianya licin jika dibentnag atas lantai 'marble'. Sifat tikar yang ringan boleh juga membuatkan kaki kita tersadung di tikar itu. Sambil bawa pinggan penuh dengan nasi dan lauk ayam masak kicap di dalamnya, dengan penuh hati-hati kita berjalan kononnya takut terlanggar orang lain. Sekali ada budak berlari-lari dan tersadung pula kakinya di tikar dan 'bedebek' jatuh tersungkur 'ngam-ngam' pula depan kita yang tengah lapar ini. Well, you all can continue to imagine what will happen.
Ok, ini paling berharga. Sanggup mati kerananya pun ada. Sanggup mati kerananya oleh si pemakai dan juga si peragut. Apa lagi kalau bukan barang kemas emas berlian intan permata. Ada kerenah seseorang yang banyak duit, makan tak habis. Setiap tiga bulan dia melawat taukey kedai emas yang hampir saja jadi kawan baiknya. Hampir jadi kawan baik sebab dia kena bayar perbezaan harga emas yang ditukar. Kalau taukey kedai emas tu bagi percuma saja barang kemas itu, sah mereka akan jadi kawan baik. Pantang ada rekaan baru, pasti saja tukar. Harga boleh runding, asalkan kesetiaan pelanggan terjamin. Ada yang berbarang kemas sekadar perhiasan. Ada yang berbarang kemas sebab nak menunjukkan akan kemampuan mereka. Ada juga yang berbarang kemas sebagai jaminan di hari 'kemarau'. Namun yang pasti, nilai barang kemas ini sangat tinggi dan menjadi perhatian pada yang hendakmemilikinya dengan jalan mudah. Harus diingatkan, barang emas yang tidak digunakan selama waktu yang ditetapkan adalah wajib dizakatkan ya, Cik Jemah. Bila memakai barang kemas, dinasihatkan beringat-ingatlah sedikit. Ada seorang ini, saya panggil dia "The Real Warga EMAS" sebab barang kemasnya sama tebal dengan daging lengannya. Tudungnya pendek sedikit dari rantai lehernya. Cincinnya pula rasa macam jari saya pula yang ketat sebab lebar cincin pun dah hampir sama lebar dengan kuku ibujari kaki saya. Ada juga yang sangat alah kepada barang kemas. Asal pakai saja barang kemas mesti tercicir. Paling tidak pun, putus. Paling membengangkan, selepas ditanggalkan, lupa pula simpan di mana dan dengan siapa. Ya, sayalah orang itu. Sehingga kini, saya tak ada barang kemas milik peribadi. Hmm.. rasanya tak hina pun kalau tidak pakai atau tidak memiliki barang kemas. Tapi lebih hina rasanya kalau barang kemas bertepek tapi hari-hari makan nasi lauk telur goreng dan hutang keliling liat nak bayar. Mana tidaknya, gaji RM1,300 sebulan tapi RM 1000 digunakan untuk 'main kutu' gelang, 'kutu' rantai' kutu 'subang', 'kutu' cincin dan apa saja lagilah kutu yang boleh di'kutu'kan. Baki lagi RM300 itulah buat beli telur, kicap, beras dan tambang pergi balik kerja. Agaknya kalau adalah 'kutu' gigi emas pun mahu juga dia ambil bahagian.
Saya faham, barang semua dibeli dengan duit sendiri atas usaha masing-masing. Tiada salah pun. Pilihan masing-masing. Cuma, apabila terlalu menyimpan semua barang-barang ini, akhirnya barang-barang itu digunakan pada hari kematian kita, maka seronokkah namanya itu? Kain batik 'lepas' dibeli mahal-mahal, akhirnya digunakan untuk menutup jenazah kita. Karpet mahal-mahal, akhirnya dibentang ketika kenduri arwah kita diadakan. Tikar cantik-cantik akhirnya dikeluarkan dan dibawa ke tanah perkuburan untuk digunakan oleh orang ramai dan imam yang membaca talqin untuk kita.
Lebih menyayat hati, barang-barang ini akhirnya menjadi rebutan anak-anak, cucu, tak ketinggalan menantu perempuan. Pakaian kita juga mungkin disedekahkan pada rumah kebajikan sekiranya waris tidak muat atau tidak berkenan dengan coraknya. Seronokkah apabila akhirnya penat lelah kita mengumpul duit untuk membeli barang-barang ini tapi sekadar disimpan di dalam almari semasa hayat dan hanya digunakan pada hari kematian kita? Disimpan dalam almari, kira boleh lagi. Setidak-tidaknya nampaklah juga. Ini ada pada satu tahap yang simpan bawah katil pun ya juga. Siapa yang hendak tengok? Buka saja kotak,meloncat Cik Lip (lipas)keluar dari persembunyian.
Buatlah pilihan dengan baik. (Habib Jewel ada sale ke?)
Comments
Post a Comment
Sila komen apa-apa pun, tapi tertakluk pada terma dan syarat.