Sayu hati

Salam sejahtera. Kepada rakan-rakan Facebook, pasti teringat post di wall saya tempoh hari yang bertulis 'hati sayu'.

Memang hati saya sayu. Bila mengenangkan hal ini, sebak saya dibuatnya. Basah mata ini dengan genangan air mata. Ini bukan siri terbaru saya. Ini kisah benar.

Seorang pelajar lelaki tingkatan 2, Jack (bukan nama sebenar) telah dikenakan tindakan displin iaitu digantung sekolah selama 3 hari akibat menendang seorang rakan sekelasnya. Pelajar yang ditendang, Mike (bukan nama sebenar) juga digantung persekolahannya kerana dialah yang memulakan sengketa ini. Sebelum ini, kedua pelajar ini telah pun diberi surat amaran oleh guru displin. Sehari sebelum Jack dikenakan tindakan digantung persekolahannya, Jack juga ada menerima surat amaran dari guru displin untuk diberikan kepada ibunya.

Ibu Jack dipanggil ke sekolah untuk menandatangani surat perjanjian untuk menjamin kelakuan anaknya. Ibu Jack yang ingin mengetahui kisah sebenarnya, cuba hendak mendapatkan penjelasan bagaimana dan di mana sebenarnya pergaduhan itu berlaku.

Menurut cerita dari guru displin (yang juga mendapat maklumat dari pelajar lain), Jack yang duduk di barisan belakang telah dibaling pemadam pensil sebesar ibujari oleh si Mike yang duduk di barisan hadapan. Ketika itu, guru Bahasa Malaysia sedang menulis sesuatu di papan hitam. Akibat terkejut dengan balingan tadi, Jack yang duduk di barisan belakang bingkas bangun menuju ke arah Mike dan menendangnya sehingga jatuh. Ketika di dalam keadaan masih tertiarap, Jack terus-terusan menendang Mike tetapi Mike sedikit pun tidak melawan serangan Jack yang sedang naik angin.

Bila terbaca kisah di atas sesiapa pun akan terasa panas hati dengan provokasi si Mike yang sengaja cari pasal dengan orang lain. Menurut guru displin itu lagi, ini bukan kali pertama Mike 'cari pasal' dengan Jack tapi sudah kali ketiga. Mungkin kali ini Jack sudah tidak tahan lantas mengambil tindakan sendiri sedangkan guru ada di dalam kelas dan Jack boleh melaporkannya. Ekoran dari tindakan melulu itulah Jack dikenakan tindakan displin, iaitu digantung persekolahannya.

Ibu Jack seorang yang penyabar. Masih lagi tidak setuju dengan tindakan anaknya menyerang balas Mike dan berharap agar Jack mengawal perasaannya agar perkara sebegini tidak berlaku lagi. Sepatutnya Jack melaporkan kepada gurunya yang berada di dalam kelas.

Setelah berbincang dan memberikan nasihat kepada Jack, guru displin itu tadi meminta ibu Jack menandatangani surat perjanjian yang beliau akan memantau displin anaknya dan sedia maklum jika perkara ini berlaku lagi, Jack bakal berhadapan dengan tindakan dibuang sekolah.

Setelah surat perjanjian ditandatangani, guru displin tadi menyuruh Jack turun ke dewan sekolah menyertai para pelajar lain untuk perhimpunan. Sebaik Jack turun, ibu Jack juga memohon diri. Ketika itulah guru displin tadi memberitahu ibu Jack tentang Mike.

Menurut guru displin itu, Mike dikategorikan sebagai istimewa. Bukan syndrome down, katanya lagi. Tapi Mike ini ada sedikit kekurangan mentalnya. Mike dikatakan pernah menjadi pengawas ketika di tingkatan satu tetapi ditarik balik jawatan itu oleh guru displin ini tadi kerana adaklanya Mike bersikap pelik. Mike kadangkala kelihatan bercakap dan tersenyum seorang diri tanpa sebab. Mike juga gagal menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengawas.

Guru displin itu menceritakan lagi, di sebalik kekurangan mentalnya itu, Mike memang rajin membantu. Mike pernah membantu menyapu kelasnya tapi entah macam mana, sebaik dia selesai menyapu, dia terus mencampakkan penyapu itu lantas terkena pada cermin tingkap kelasnya. Ini menyebabkan cermin tingkap itu pecah.

Tapi Mike tidak mendiamkan dirinya. Mike lantas berjumpa dengan guru displin ini tadi dan dengan sendirinya mengaku telah memecahkan cermin tingkap tersebut. Akibatnya, ibu Mike terpaksa dipanggil ke sekolah untuk membayar gantirugi cermin yang pecah itu.

Untuk kes seperti di atas, ini bukan kali pertama ibu Mike dipanggil oleh pihak sekolah atas masalah displin. Menurut guru displin itu, Mike juga tidak menyerahkan surat penggantungan sekolahnya sehinggalah beliau dimaklumkan oleh Mike sendiri.

Pada satu kes lain, Mike dibawa berjumpa dengan guru displin kerana telah menyebabkan seorang pelajar perempuan bengkak dahi dibaling botol. Mike ketika itu cuba membaling botol airnya ke kipas syiling lantas botol itu terkena pada Jack. Jack yang tidak berpuas hati, membaling semula botol itu ke arah Mike namun tidak kena. Mike pula, mengambil kembali botol tersebut dan membaling tepat ke arah Jack namun sedikit malang, terkena dahi seorang pelajar perempuan yang kebetulan lalu di situ. Jack dan Mike dikenakan tindakan displin.

Setelah mendengar cerita seperti di atas, hati ibu Jack berubah menjadi simpati. Ibu Jack sebenarnya simpati dengan ibu Mike. Ibu Jack tidak dapat membayangkan betapa tertekannya ibu Mike dengan masalah displin anaknya. Ibu Jack teringat kembali bila guru displin tadi mengatakan yang Mike tidak melawan ketika Jack terus-terusan menendangnya. Ini bermakna, Mike bukanlah kaki gaduh jauh sekali 'gangster'. Ibu Jack perlahan-lahan dapat menangkap yang Mike sebenarnya inginkan perhatian dan kawan. Tetapi malang sekali dengan kekurangan mentalnya itu, tiada satu pun pelajar di sekolah itu termasuk Jack mahu berkawan dengannya.

Ketika itulah ibu Jack terasa amat bersalah kerana gagal menyerapkan kepada Jack rasa kasih sayang dan kasihan pada sesama manusia. Mike mencuri perhatian pelajar lain dan guru di sekolah dengan cara yang dia sendiri tidak dapat membezakan akan kesannya. Jack pula hanya ada perasaan memberontak dan angkuh dengan kelebihan yang ada padanya.

Ibu Jack tak sedar yang ada airmata mengalir di pipinya. Ibu Jack sebak dan sayu hatinya. Ibu Jack cuba membayangkan jika Mike itu anaknya. Hati ibu mana yang tidak sedih jika anaknya yang kekurangan dari segi mental disepak begitu? Hati ibu mana yan tidak tertekan apabila kerap kali dipanggil ke sekolah kerana anaknya mempunyai masalah displin? Hati ibu mana yang tidak sedih bila anaknya selalu dipersalahkan atas nama displin sedangkan itu berlaku di luar kemampuannya.

Selepas beberapa ketika di rumahnya, ibu Jack menasihatkan Mike agar tidak lagi membalas dan melayan usikan Mike kerana apa yang dilakukan hanyalah untuk menarik perhatin Jack dan rakan-rakan. Dalam ertikata lain, Mike hendak berkawan dengan Jack dan rakan-rakan yang lain. Ibu Jack menasihatkannya, jika usikan Mike itu benar-benar melampaui batas, laporkan saja pada guru displin dan bukan bertindak melulu.

Dengan rasa penuh kekesalan, ibu Jack memaklumkan pada Jack yang dia amat kasihan pada Mike kerana kekurangannya dan tentu ibu Mike juga berasa sedih dengan hal ini.

Dan ibu Jack juga, setiap kali terkenangkan hal ini, terus mengalirkan airmatanya tanda kesal, sedih, hiba dan sayu sambil berdoa agar Jack memperolehi kesabaran seperti yang ada ibunya.

Comments

Popular Posts